Assalamualaikum...
Cepat betul masa berlalu, tanpa disedari sudah lama betul tidak menulis di sini. Memang betullah kita disibukkan dengan hal dunia yang bermacam-macam sampai kadang terleka.
Tahun lepas (2025) memang tahun yang sibuk buat keluarga saya. Anak sulung kami sudah tamat belajar dan sudah pun mempunyai kerjaya yang diidamkan. Kami juga sudah menerima menantu. InsyaAllah tahun ini bakal menimang cucu pula, Alhamdulillah.
Kami juga sudah genap setahun tinggal di rumah sendiri. Di kampung yang aman yang turut didiami oleh pelbagai jenis haiwan. Tak pernah sunyi dengan bunyi kicauan burung seawal Subuh hingga ke senja. Saban hari juga dilawati sang monyet dan kerabatnya menunjuk aksi sambil sesekali merosakkan tanaman. Alhamdulillah, itu sahaja yang mampu saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.
Anak kembar saya sudah pun di Tahun Akhir pengajian Ijazah mereka di Universiti Malaya. Mereka sekarang sibuk untuk menamatkan latihan di dalam Pasukan Pegawai Latihan Simpanan (PALAPES). Syukurlah mereka gembira dengan pilihan yang mereka buat. Oh ye.. saya dulu pun pernah berangan nak menyertai PALAPES tapi tak kesampaian kerana tiada kawan. Hahaha... mestilah orang-orang yang mengenali saya akan berasa kelakar mendengar pengakuan ini.
Anak keempat saya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Asasi. Alhamdulillah, beliau mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Saya risau juga kerana saban masa dia asyik bermain game di handphone. Mujurlah keputusan tidak mengecewakan. InsyaAllah pertengahan tahun ini tamatlah Asasi dan akan melanjutkan ke peringkat Ijazah pula.
Anak bongsu saya yang comel telah berpindah sekolah mulai tahun lepas lagi kerana kami berpindah rumah. Saya tahu beliau sedih juga sebab terpaksa meninggalkan kawan-kawan baik tapi apa boleh buat... hidup perlu diteruskan. Cuma di sekolah baru beliau tak dapatlah lagi meneruskan pengajian Kelas Aliran Agama (KAA) kerana belum dilaksanakan lagi di sini. Saya agak surprised juga dengan prestasi anak bongsu saya ini. Sejak dari sekolah lama, beliau masih mengekalkan kedudukan pertama di dalam tingkatan semasa peperiksaan. Kagum juga saya. Saya risau pembelajarannya terganggu dengan persekitaran dan kawan-kawan yang baru. Namun syukurlah beliau dapat menyesuaikan diri dengan baik. Saya berdoa agar beliau terus kekal bersemangat untuk belajar dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun hadapan.
Suami saya pula sudah bertukar tempat kerja. Lebih hampir dengan sekolah anak bongsu saya dan lebih hampir juga dengan rumah. Itulah nikmat kurniaan Tuhan yang tidak diduga.
Segala puji bagi Allah atas limpah kurnia nikmat-Nya kepada kami. Hidup kami sederhana, tidak mewah tapi kami bahagia. Alhamdulillah anak-anak saya berjaya dalam pelajaran di hadapan mata saya tanpa perlu didesak dan diasak mengikut trend semasa. Saya bersyukur kerana nikmat tidak perlu makan gaji dan dapat menumpukan sepenuh masa terhadap rumah tangga. Inilah syurga dunia yang sangat disyukuri. Tinggal satu sahaja lagi hajat saya dan suami, ingin menjadi tetamu-Nya tahun ini. Semoga menjadi kenyataan tanpa sebarang halangan.
Ya Allah, aku bersyukur di atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami dan sesungguhnya kepada Engkau sahaja kami meminta-minta.
"Maka Nikmat Tuhan mana lagi yang kau dustakan...".... Surah Ar Rahman