Saturday 12 November 2016

Roti sapu kaya

Bila musim cuti sekolah, stok makanan di rumah perlu ditambah kerana budak-budak biasanya bila ada di rumah, perut mereka sentiasa hendak diisi.

Salah satu makanan popular di rumah saya ialah roti. Sebuku roti Gardenia yang panjang (Jumbo/Bonanza), boleh habis sekali hadap sahaja. Biasanya roti dimakan dengan telur, sardin, mentega, peanut butter, kaya dan jem. Malah roti boleh juga dicicah dengan kuah kari, sambal dan bermacam lagi.  



Di sini saya kongsikan resepi home made kaya. Bahan-bahan dan cara membuatnya tidak susah. Anda boleh buat banyak-banyak dan simpan di dalam peti sejuk. Tanpa sebarang bahan pengawet, ia boleh tahan sehingga berbulan-bulan lamanya.

Saturday 5 November 2016

Hujan emas di tanah airku...


Alhamdulillah, saya rasa saya dah menjejakkan kaki ke setiap negeri di Malaysia. Dari Perlis....sampailah ke Sabah.... macam lirik satu lagu yang dulu-dulu selalu nyanyi tapi sekarang dah tak berapa ingat. Ke luar negara, pernah lah juga. Tapi tidaklah sekerap mana. Insya Allah, kalau ada rezeki teringin juga nak round the world in 360 days...hu..huuuuuuuuuuuuu....

Sebenarnya apa tujuan kita melancong atau mengembara? Bagi saya, supaya kita dapat tengok negeri orang, Apa yang cantik, baik, menarik, kita jadikan contoh dan apa yang hodoh, buruk dan rumit, kita jadikan tauladan. Pada saya, seindah mana dan sehebat mana pun negara orang, baiklah juga negara sendiri. Seteruk mana pun Malaysia di pandangan orang, tetap tiada tandingannya bagi diri saya. Inilah tanah tempat tumpahnya darahku...

Friday 4 November 2016

Part 6 : Sayonara

Sepuluh hari menjelajah Jepun bukanlah masa yang lama. Tambahan pula dua hari perlu ditolak atas urusan rasmi. Walaupun sebahagian besar tempat-tempat menarik di Jepun telah dilawati, namun sebenarnya masih banyak lagi yang tidak sempat diterokai.

Dalam lima artikel yang lepas, banyak yang telah saya ceritakan berkenaan JR Pass. Tidaklah saya mendapat apa-apa faedah pun kerana mempromosikan pass tersebut. Tetapi saya percaya, jika ada yang membaca artikel-artikel tersebut tentu terbuka minda untuk mengkaji apa yang saya katakan.

Di dalam kebanyakan blog berkaitan pengembaraan ke Jepun, saya dapati tidak ramai yang berkongsikan berkenaan perkara ini. Justeru itulah saya sangat berharap perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh ramai pembaca. 

Membeli pass-pass yang saya cadangkan dalam artikel-artikel terdahulu merupakan saranan kepada pelancong yang pertama kali melawat Jepun. Pass-pass itu dapat memberi panduan perjalanan kepada kita yang tidak ada idea langsung ke mana hendak dituju.

Namun begitu, bagi mereka yang sudah biasa dan bagi mereka yang tidak suka terikat dengan pilihan tertentu, mungkin merasakan menggunakan pass menyekat kebebasan. Jadi, terpulanglah kepada penilaian masing-masing.

Seperkara lagi yang ingin saya kongsikan ialah berkenaan HyperDia. HyperDia merupakan laman web yang menyediakan jadual perjalanan keretapi dan kapal terbang di Jepun. Laman ini akan mencadangkan beberapa pilihan laluan ke destinasi yang dituju, lengkap dengan tarikh, masa, stesen dan nombor trek. Ianya sangat membantu untuk kita merancang perjalanan.

Contoh jadual yang terdapat di HyperDia


Meninggalkan Jepun dengan seribu kenangan manis akan selalu tersimpan di hati. Benarlah kata pepatah; "Jauh perjalanan, luas pemandangan". Indahnya Jepun, majunya Jepun, hebatnya Jepun memang saya kagumi. Namun Malaysia tiada galang gantinya. Sayonara Japan!


Part 5 : Amazing Osaka

Semasa membuat keputusan untuk ke Jepun, tempoh untuk berangkat cuma lebih kurang dua bulan sahaja lagi. Seperti mana yang saya beritahu dalam artikel sebelum ini, ia bukanlah percutian sebenarnya. Jadi, tarikhnya sudah terikat.

Memandangkan masa yang agak suntuk, kami tidak dapat membeli tiket penerbangan pada harga yang murah. Apabila dibandingkan penerbangan ke Osaka dan Tokyo, kami dapati tambang ke Osaka lebih murah ketika itu. Oleh yang demikian, kami pun membuat keputusan membeli tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur - Osaka Kansai.

Pada hari ketibaan di Osaka, kami terus mengaktifkan JR Pass dan meluncur terus menaiki shinkansen ke Tokyo. Sebenarnya, terdapat tiga pilihan untuk ke Tokyo dari Osaka iaitu penerbangan domestik, keretapi, shinkansen dan bas. Pada awalnya kami bercadang untuk menaiki bas malam kerana berdsarkan pembacaan kami, ramai juga yang mengesyorkan menaiki bas malam ini. Selain daripada tambangnya lebih murah, kita juga boleh jimat kos penginapan satu malam.

Namun begitu, apalah gunanya kami membeli JR Pass jika tidak menggunakannya secara optimum! Perjalanan menaiki shinkansen dari stesen Shin Osaka ke Tokyo cuma mengambil masa selama tiga jam. Pada hari yang sama, kami telah berada di dua daerah berlainan di Jepun. Bukan sahaja menjimatkan masa bahkan juga tenaga.

Part 4 : Menyapa Keindahan Kyoto

Daripada kajian tidak rasmi yang saya jalankan, ramai di kalangan kawan-kawan saya mengatakan Kyoto adalah tempat paling menarik di Jepun. Walaupun memang benar alam semulajadi Kyoto sangat indah, tetapi saya tidak bersetuju dengan mereka. 

Masing-masing mempunyai pandangan dan citarasa tersendiri yang tidak boleh dipersoalkan. Kalau anda rasa Kyoto yang paling best, itu adalah hak anda! Saya menghargainya.

Bagi saya, Kyoto memang cantik. Sangat berbeza dengan Tokyo dan Osaka yang hiruk-pikuk, Kyoto lebih aman damai terutamanya di bahagian pedalaman. Keindahan alam semulajadinya juga sangat menakjubkan. Pendek kata, luas mata memandang, nyaman udara dihirup, duduk bersantai di tepi sungai rasa seperti tidak mahu pulang lagi..

Part 3 : Apa ada di Tokyo?



Pada saya, Tokyo ada segalanya. Sebuah bandar yang sangat sibuk, walau sesak dengan jutaan manusia dan pengangkutan awam - terutamanya jaringan keretapi yang luar biasa, namun masih memelihara budaya dan mempunyai tatasusila yang tinggi.

Jika melawat Jepun dan tiada masa untuk menerokai ke seluruh kepulauan ini, maka Tokyo adalah tempat terbaik untuk mengenali Jepun.



Kalau sukakan kehijauan dan keindahan alam semulajadi, boleh pergi ke Imperial Palace East Garden, Ueno Park, Shinjuku Gyoen dan Koishikawa Korakuen. Semua tempat ini terletak dalam bandar.

Part 2 : Mengejar Gunung Fuji


Bersua lagi...

Seperti dijanjikan, saya sambung pengalaman bercuti ke Jepun.

Dalam artikel yang lepas, saya telah bercerita tentang JR Pass dan keistimewaannya. Kali ini saya ingin menyambung sedikit lagi bagaimana saya menggunakan JR Pass untuk melawat Gunung Fuji.

Harapan saya untuk ke Gunung Fuji nampaknya masih belum kesampaian. Walaupun kunjungan ke Jepun kali ini sepatutnya telah masuk musim bunga, namun atas perubahan cuaca global, musim sejuk masih belum berakhir dan saya agak terkilan kerana tidak dapat melihat keindahan sakura.  

Dengan adanya JR Pass, kami bercadang untuk ke Gunung Fuji secara day trip sahaja. Trip pertama ialah melihat Gunung Fuji dari Tasik Kawaguchiko. Dari Stesen Tokyo, kami menggunakan JR Pass ke Mitaka/Takao dan seterusnya menaiki Limited Express Azusa menuju ke Otsuki. Dari Otsuki, tiada laluan yang boleh menggunakan JR Pass, jadi kami perlu melalui Fujikyo Railway menuju ke Kawaguchiko dengan tambang Yen1,140 seorang. Keseluruhan perjalanan dari Tokyo ke Kawaguchiko ini mengambil masa lebih kurang 2 jam.

Part 1 : Meneroka Jepun dengan JR Pass

Di antara negara yang saya pernah lawati, saya suka untuk berkongsi pengalaman bercuti ke negara matahari terbit ~ Jepun.



Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tokyo ialah pada tahun baru 2015. Tetapi pengalaman selama hanya dua malam di sana agak tidak memuaskan hati kerana masa yang amat suntuk. Banyak tempat yang hanya sempat dijenguk-jenguk sekadar syarat sampai sahaja. Banyak pula tempat yang tutup kerana cuti tahun baru. Agak malang rasanya kerana tidak membuat perancangan yang betul.

Kali kedua, perancangan dibuat dengan lebih teliti. Walaupun bukanlah benar-benar percutian (kerana tujuan sebenarnya adalah atas urusan suami), namun saya telah membuat lebih kajian dan perancangan agar masa yang diperuntukkan dapat dimaksimakan.

Di sini, saya akan kongsikan serba-sedikit pengalaman makan angin di negara matahari terbit itu. Saya tidak akan menulis itinerary saya secara terperinci kerana terdapat banyak blog lain yang memberi panduan dan tips melancong ke Jepun yang bagus-bagus belaka. Saya juga telah merujuk kepada blog-blog tersebut yang sangat informatif dan membantu perancangan percutian kita.

Seperti biasa, saya suka menulis yang umum-umum sahaja berdasarkan pengalaman peribadi. Kalau suka, teruskanlah membaca.. :)

Makan angin dengan bajet terhad

Assalamualaikum...

Saya pasti kebanyakan daripada kita, jika diberi peluang, mempunyai rezeki yang lebih, tentu berkeinginan untuk melihat negara orang. Jarang sangat saya rasa, berjumpa dengan orang yang memang tidak suka untuk pergi makan angin.

Namun, bukanlah semua orang berkesempatan untuk melancong. Ada orang yang memang sanggup ikat perut semata-mata untuk mengumpul duit bagi membolehkan melancong setiap tahun. Bagi orang seperti ini, biarlah tidak ada rumah besar, tidak ada kereta baru dan tidak hidup mewah asalkan dapat melihat negara orang dan menambah pengalaman. 

Ada pula orang yang tidak pernah terfikir langsung untuk memperuntukkan sejumlah wang untuk pergi melancong. Mereka hanya menumpukan kepada kehidupan seharian dan berpendapat dapat hidup selesa pun sudah memadai. Melancong bagi mereka hanya membazirkan wang sahaja.

Satu lagi golongan ialah orang-orang kaya ~ yang sudah tentunya tidak kisah bila-bila masa sahaja boleh pergi melancong. Wang tidak menjadi masalah bagi mereka, dan tentu sekali corak dan gaya perjalanan mereka juga jauh berbeza.

Apa-apa pun, masing-masing ada pendapat tersendiri...




Friday 21 October 2016

Lambaian Kaabah

Assalamualaikum..

Sudah hampir setahun saya memeram artikel-artikel ini. Kadang-kadang fikir nak kongsi pengalaman, tapi kadang-kadang risau jika disalah-tafsirkan.

Pengalaman saya menjejakkan kaki buat pertama kali ke tanah suci dan mengerjakan umrah buat pertama kali dalam hidup ini, mungkin bukanlah suatu pengalaman yang hebat bagi sesetengah orang. Biasa-biasa sahaja...

Saya tidak berniat untuk berkongsi tips atau 'mengajar' berkaitan ibadah ini kerana saya sangatlah tidak layak. Apa yang ingin saya kongsi cumalah sedikit pengetahuan dan pengalaman umum yang amat cetek. Bagi saya, apa yang saya lalui itu adalah suatu perkara yang baru tapi bagi orang lain mungkin itu tiada apa-apa signifikannya. Jadi, kalau ada yang "baru" seperti saya, harap boleh manfaatkan serba sedikit apa yang saya kongsi. 

Segala yang baik itu adalah dariNya, segala yang buruk itu adalah atas kelemahan saya. Wallahu'alam. 


Doa

Berdoa ~ nampak sangat simple tapi sering diabaikan.

Paling kurang, selepas solat, panjatkanlah doa kepadaNya, pohonlah apa sahaja padaNya. Namun saya sering alpa. Lepas solat, tak sabar-sabar nak tanggalkan telekung atas alasan panas. Baca doa, zikir ala kadar sekadar syarat. Jarang benar bersungguh-sungguh. 

Itulah lumrah manusia seperti saya. Sering lalai dan ambil mudah. Tidak sedar betapa hebatnya kuasa "berdoa". 

Pengalaman di tanah suci membuka mata saya seluas-luasnya tentang 'the power of DOA'. Memang benar kata orang, apa sahaja yang terlintas di hati secara ikhlas, walaupun tidak dilafazkan, Allah makbulkan. Subhanallah, Maha Suci Allah. Allahuakbar, Allah Maha Besar. 

Mustajabnya doa dan agungnya tanah suci itu memang sukar saya huraikan. Saya akui memang benar segala apa yang orang katakan, segala apa yang diceritakan oleh ibu bapa, saudara-mara, rakan-rakan tentang kehebatan tanah haram itu. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Di sana, segala yang kita fikirkan mustahil, tidak mustahil boleh berlaku... hanya berdoa dan berserah padaNya. Di sana, sesuatu yang sukar boleh jadi mudah. Sesuatu yang pelik boleh jadi realiti. Masya Allah.

Saya sering 'membebel' kepada anak-anak ~ kalau tak pernah minta, siapa yang nak bagi? Kalau berkehendakkan sesuatu, mesti kita minta dari ibu, abah. Dan bila diminta, kadang-kadang ditunaikan, kadang-kadang tidak. Samalah permohonan kita kepada Allah. Kalau kita tak pernah meminta, memohon apa yang dihajati, adakah Allah nak beri?

Mahu keputusan peperiksaan yang baik? Mohonlah dengan Allah. Nak pandai, cantik, bijak? Mohonlah dengan Allah. Apa sahaja permintaan, mohonlah dengan Allah. Allah tentu makbulkan kalau kena caranya. Tapi adakah kamu minta? Saya pasti jarang sangat anak-anak saya meminta dariNya.

Itulah ruginya kita. Ruginya saya kerana "lupa" hendak meminta dariNya. Pengajarannya ialah berdoalah tidak kira bila dan di mana. Bukan hanya terbatas kepada berdoa selepas solat, tetapi bila-bila sahaja kita rasa mahukan sesuatu, berdoa dan minta hanya padaNya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

Ya Allah, ampunkanlah hambaMu yang alpa ini.   

Menziarah Bumi Nabi

اللهم صل عل سيد نا محمد وعل ا ل سيد نا محمد

Bumi Madinah Al-Munawwarah pada penghujung tahun amat nyaman. Suhu yang sejuk tetapi tidak melampau, sangat selesa untuk berulang-alik ke Masjid Nabawi.

Sebagai orang yang pertama kali menjejak kaki ke bumi bertuah ini, banyak perkara yang saya tidak tahu. Menziarahi makam Nabi dan berdoa di Raudhah menjadi impian setiap yang hadir di tanah haram ini. Rupa-rupanya hendak masuk ke Raudhah bukanlah senang. Ada waktu dan peraturannya bagi orang-orang perempuan.

Nasihat saya kepada yang masih belum menjejakkan kaki ke Raudhah, persiapkanlah diri dengan kekuatan fizikal. Sebabnya, kita seakan berada di garisan lumba lari 100 meter berpagar..,.

Pertama kali dibawa masuk ke Raudhah, kononnya secara berkumpulan mengikut agen masing-masing. Namun di pertengahan jalan, saya telah terpisah dari kumpulan. Kami diarahkan supaya solat sunat - dhuha dan lain-lain sementara menunggu giliran. Namun sebaik selesai bersolat, saya dapati saya telah ditinggalkan. Tidak mengapalah... mungkin silap saya sendiri.

Menjadi Tetamu Allah

Alhamdulillah... 

Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan saya menjadi tetamuNya buat pertama kali. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda. 

Bagi kebanyakan orang mungkin dah biasa pergi ke Tanah Suci, malah ada yang dijemput sebagai tetamu Allah setiap tahun. Tapi bagi saya, dah lebih 40 tahun baru berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah. Syukur tak terhingga atas rezeki yang dilimpahiNya.



Di sini saya ingin berkongsi kisah jujur, sebagai panduan jika ada yang mempunyai jalan hidup seperti saya...