Assalamualaikum...
Saya pasti kebanyakan daripada kita, jika diberi peluang, mempunyai rezeki yang lebih, tentu berkeinginan untuk melihat negara orang. Jarang sangat saya rasa, berjumpa dengan orang yang memang tidak suka untuk pergi makan angin.
Namun, bukanlah semua orang berkesempatan untuk melancong. Ada orang yang memang sanggup ikat perut semata-mata untuk mengumpul duit bagi membolehkan melancong setiap tahun. Bagi orang seperti ini, biarlah tidak ada rumah besar, tidak ada kereta baru dan tidak hidup mewah asalkan dapat melihat negara orang dan menambah pengalaman.
Ada pula orang yang tidak pernah terfikir langsung untuk memperuntukkan sejumlah wang untuk pergi melancong. Mereka hanya menumpukan kepada kehidupan seharian dan berpendapat dapat hidup selesa pun sudah memadai. Melancong bagi mereka hanya membazirkan wang sahaja.
Satu lagi golongan ialah orang-orang kaya ~ yang sudah tentunya tidak kisah bila-bila masa sahaja boleh pergi melancong. Wang tidak menjadi masalah bagi mereka, dan tentu sekali corak dan gaya perjalanan mereka juga jauh berbeza.
Bagi saya, melancong memanglah seronok. Selain daripada dapat melihat negara orang ~ yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan; melancong juga dapat merehatkan minda, mengeratkan hubungan suami isteri / keluarga dan mensyukuri nikmat keagungan Tuhan.
Apabila kita melancong, bukan sekadar untuk berseronok-seronok, tetapi menghayati setiap kejadian dan keindahan alam yang diciptaNya serta menginsafi diri betapa kerdilnya di alam yang luas ini.
Saya pernah melawat beberapa negara - tetapi tidaklah banyak mana pun. Di antara yang yang pernah dilawati itu, ada yang memang sudah pergi sekali teringin nak pergi lagi. Ada juga yang sudah pergi sekali, rasanya cukuplah sekali. Dengan kata lain, tidak semua pengalaman melancong itu indah-indah sahaja. Yang penting, daripada setiap perjalanan itu, kita dapat banyak pengajaran yang boleh dijadikan panduan hidup.
Sebenarnya, untuk melihat negara orang, tidaklah semestinya mempunyai bajet yang besar. Maknanya, bukan orang berada sahaja yang boleh pergi melancong. Dalam dunia tanpa sempadan ini, sesiapa sahaja boleh pergi melancong. Bak moto AirAsia ~ now everyone can fly.
Sekarang ini, terma 'backpackers' sangat popular di kalangan orang-orang yang gemar mengembara / melancong. Ada banyak komen yang saya baca berkenaan backpackers ini. Rakyat Malaysia khasnya, sudah ramai yang menjadi backpackers. (Kalau nak tahu berkenaan backpackers ini, silalah google sendiri ye!)
Satu pilihan lagi ialah dengan mengikut agen pelancongan. Kalau kita malas untuk buat kerja lebih, membayar agen pelancongan adalah pilihan terbaik. Daripada tiket penerbangan, penginapan, makanan dan tempat-tempat untuk dikunjungi, semuanya akan diuruskan oleh agen. Bahkan jika yang memerlukan visa, agen juga akan menguruskannya. Anda hanya perlu sediakan wang dan bersiap-siap untuk berangkat. Tetapi awas! Jangan tertipu dengan agen yang tidak berdaftar dan penuh dengan tipu muslihat.
Bagi saya, jika mengikut agen pelancongan, pergerakan adalah terbatas. Kita perlu mengikut jadual yang disediakan dan tidak boleh bergerak secara bersendirian. Selain itu, pakej yang ditawarkan oleh agen pelancongan agak mahal berbanding jika kita menguruskan sendiri.
Saya bukanlah backpackers. Tetapi dalam setiap perjalanan, memang sebolehnya saya akan meminimakan perbelanjaan. Oleh itu, merancang dan mengurus perjalanan sendiri menjadi pilihan. Pada saya, yang penting kita hendak melihat tempat orang, menikmati perbezaan iklim dan menghayati budaya penduduk tempatan. Jadi, bila mencari tempat tinggal, tidaklah perlu hotel 5 bintang ~ cukup sekadar ada ruang untuk tidur, mandi dan solat. Jika ada ruang memasak adalah lebih baik kerana dapat menjimatkan kos makanan.
Bila pergi melancong, tidur tidak perlu sampai 8 jam, makan janganlah memilih - cukup sekadar tidak lapar dan masa perlu digunakan sepenuhnya untuk menjelajah ke merata ceruk yang mungkin. Kalau hendak tidur lama-lama, cerewet pasal makanan, perlu selalu berehat-rehat, bagi saya, baiklah duduk di rumah sahaja!
Berikut ini ialah langkah-langkah ringkas jika hendak melancong dengan bajet terhad:-
- Tempah tiket penerbangan semasa syarikat-syarikat penerbangan membuat promosi. Sebagai menyokong syarikat tempatan, saya biasa tempah tiket MAS atau AirAsia sahaja. Tetapi, jika anda tidak kisah menaiki penerbangan lain, boleh sahaja tinjau di laman web seperti Flight Network, Skyscanner dan lain-lain.
- Jika anda pergi sendirian atau dengan pasangan sahaja, pilihlah tarikh yang bukan waktu cuti sekolah. Biasanya harga tiket pada tarikh bekerja adalah lebih murah berbanding hari cuti terutamanya cuti sekolah.
- Bila sudah beli tiket secara online, cepat-cepatlah mohon cuti (terutama bagi yang bekerja makan gaji dan susah nak dapat cuti)
- Pastikan buku merah (passport) anda masih hidup. Jika tiada passport, sila buat dengan segera.
- Bagi negara yang memerlukan visa, pastikan anda membuat permohonan dan meneliti syarat-syaratnya.
- Mulakan kajian ke atas destinasi pelancongan anda. Buka peta dan pastikan tempat yang ingin dituju - tempat-tempat menarik, tempat makan dan tempat tinggal.
- Jika sudah menetapkan ingin tinggal di mana (contohnya di pusat bandar atau di tempat ramai penduduk Islam atau berdekatan dengan tempat makan atau berhampiran dengan pengangkutan awam dan sebagainya), cari tempat penginapan. Anda boleh layari banyak laman web yang menawarkan pelbagai jenis tempat tinggal dan harga. Bergantung kepada bajet anda, sila setkan semasa pencarian.
- Jika ada masa, perhatikan trend nilai tukaran matawang asing. Bila anda rasa sesuai, cepat-cepatlah tukar duit RM kepada matawang destinasi yang anda tujui. Pastikan anda tahu matawang yang betul! Jika anda rajin, bandingkan harga beberapa pengurup wang. Ini agak sukar pada kali pertama, tetapi jika anda sudah pernah lakukan, di masa-masa akan datang ianya tidak lagi susah.
- Sekiranya anda orang yang menitikberatkan soal risiko, sila ambil insuran perjalanan. Juga, jangan lupa membawa ubat demam, ubat selesema dan balm sebagai langkah berjaga-jaga.
- Buat keputusan sama ada anda ingin menyewa portable / pocket wifi. Terdapat juga perkhidmatan yang boleh dihubungi secara online. Perkhidmatan internet sangat diperlukan jika melancong bersendirian kerana kita perlu selalu merujuk kepada peta dan lain-lain panduan.
- Hubungi syarikat telekomunikasi anda yang berkaitan beberapa hari sebelum berlepas berkaitan international roaming dan data plan yang ditawarkan, jika ada.
- Buat senarai semak (checklist) berkenaan perkara yang perlu anda lakukan, barang-barang yang perlu dibawa dan tempat-tempat yang dituju. Dengan adanya perancangan yang baik, kita dapat menjimatkan masa perjalanan.
- Kemaskan barang-barang anda ~ pastikan berat bagasi tidak melebihi yang ditetapkan. Semak syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Kunci beg anda menggunakan TSA lock.
- Jika ke negara yang sukar mendapatkan makanan halal, dinasihatkan membawa makanan seperti biskut dan mi segera. Jika kemudahan dapur disediakan di tempat penginapan, boleh juga membawa sedikit beras, garam, gula dan sebagainya. Sila juga dapatkan seketul sabun taharah.
- Sekiranya anda melancong pada musim sejuk, pastikan pakaian yang sesuai dan mencukupi dibawa - seeloknya sebagai hand luggage. Ini bagi mengelakkan risiko sekiranya bagasi anda lewat atau hilang dan anda tidak kesejukan.
Senarai di atas dibuat berdasarkan pengalaman peribadi saya sahaja. Anda mungkin ada cara yang lebih baik dan boleh dikongsikan di ruangan komen jika sudi.
Dalam artikel seterusnya, saya akan berkongsi pengalaman saya melancong ke Jepun. Ianya bukanlah tips atau panduan untuk melancong ke Jepun, tetapi sekadar perkongsian beberapa maklumat yang jarang orang perkatakan, yang mungkin boleh dimanfaatkan bersama.
Saya bukanlah orang yang pakar dalam bidang pelancongan, bukan juga orang yang sering mengembara. Jika ada maklumat yang kurang tepat, mohon perbetulkan. Tujuan saya cuma satu - bagi anda yang pertama kali mahu menjejakkan kaki ke negara matahari terbit, artikel-artikel tersebut mungkin boleh memberikan sedikit gambaran dan panduan.
Selamat membaca dan moga bermanfaat!
I like! Thank you!
ReplyDelete