Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 3 (Persiapan)

Tawaran haji kami ialah dengan Muassasah. Harga yang dikenakan ialah RM22,500 iaitu kategori M40. Walaupun saya seorang suri rumah, saya tidak layak untuk mendapat harga B40 iaitu RM15,000 kerana nama saya tiada dalam data penerima bantuan sara hidup daripada kerajaan (RAHMAH). Hal ini telah pun saya ambil maklum sebelum-sebelum ini lagi melalui khabar-khabar daripada mereka yang telah mendapat tawaran pada tahun-tahun lepas. Jadi, pada saya tiada gunanya untuk merayu kepada Tabung Haji (TH), sementelah pula pada tahun ini TH malah menggalakkan bakal-bakal haji membayar kos penuh iaitu RM33,300.

 

Ada juga Jemaah yang mendapat tawaran Muassasah tapi memilih untuk mengikut Pengelola Jemaah Haji (PJH) atau yang sering orang sebut “pakej”. Terdapat banyak PJH yang diiktiraf oleh TH dan terpulanglah kepada poket masing-masing untuk membuat keputusan. Tips daripada ustaz yang membimbing kami di Kursus Asas Haji ialah pastikan di mana lokasi tempat tinggal semasa di Masyair yang ditawarkan oleh PJH. Katanya, kalau harga pakej yang sedikit sahaja mahal daripada Muassasah biasanya kemudahannya pun lebih kurang sahaja dengan Muassasah. Tetapi kalau pakej yang beratus ribu tu, besar kemungkinan layanannya memang istimewa.

 

Biasanya setiap tahun TH akan anjurkan karnival bersama PJH di Movenpick KLIA. Para bakal haji yang berminat untuk mengerjakan haji dengan PJH, bolehlah ke sana untuk melihat sendiri tawaran yang diberikan dan boleh berbincang terus dengan pihak yang berkenaan. Saya dan suami memang dari awal lagi tidak bercadang untuk mengambil pakej, maklumlah kocek tidak berapa berisi… hihihi..

 

Persiapan untuk ke tanah suci dibuat dengan debaran. Pelbagai maklumat diterima daripada beberapa group whatsapp dan facebook, juga semasa kursus. Kalau ikutkan, macam-macam benda nak bawa sampai tak muat beg. Checklist dibuat – berhelai-helai. Apa sahaja orang sebut, saya masukkan dalam list. Kalau tak bawa takut nanti nak guna. Tapi kalau nak bawa semuanya memang tak lepas had 30kg bagasi ni.

 

TH beri satu beg tarik (hand carry) untuk muatan 5kg dan satu beg selempang (sling). Tahun ini beg tariknya agak canggih. Boleh ditanggalkan dari besi beroda dan dijadikan beg sandang. Siapa yang tak mahu tarik, dan kuat untuk mengangkut beban, maka bolehlah sandang sahaja beg ini. Beg ini penting kerana inilah beg yang biasanya akan bersama-sama jemaah pada setiap perjalanan. Biasanya dalam beg ini akan diisikan dengan sepersalinan pakaian, ubat-ubatan dan sedikit barang-barang pembersihan diri (toiletries) seperti berus dan ubat gigi dan sabun. Beg ini boleh dibawa naik ke dalam kabin kapal terbang (hand carry).        

 

Sling bag pula digunakan untuk mengisi dokumen penting seperti passport, duit dan barang-barang peribadi yang penting. Kalau nak tahu, beg saya ini dah macam poket Doraemon. Macam-macam ada - cermin mata, tisu, tisu basah, buku yasin, buku mathurat, buku nota kecil, buku doa, tasbih, gula-gula, botol air minuman, botol spray wudhu, sejadah, telekung, payung dan powerbank. (Semasa di Mekah, sos pun saya bawa dalam beg ini sebab mana tau kadang-kadang mungkin nak makan ayam goreng!) Kata orang, beg inilah yang paling power di tanah suci. Askar, polis dan pekerja-pekerja di tanah suci kalau nampak jemaah yang pakai beg ini, akan diberi layanan istimewa. Sebab apa? Sebab di beg berwarna merah ini terpampang bendera Malaysia dan logo Tabung Haji. Kononnya Jemaah Malaysia biasanya diberi layanan baik. Betul ke tak? Wallahua’lam.

 

Selain daripada dua beg ini, TH tak bagi beg besar. Gunalah beg sendiri kalau dah ada, atau belilah baru. Saya beli sebiji di Shopee, murah sahaja dan tahan elok sehingga pulang. Tak perlu pun nak beli yang mahal-mahal di kedai. Berat bagasi yang dibenarkan ialah 30kg. Jadi timbanglah dahulu supaya tak kena caj lebihan. Cuma satu yang saya nak nasihatkan, seeloknya beli beg yang boleh buka di satu permukaan sahaja, yakni tak perlu nak kena buka dua-dua bahagian beg seperti mana yang banyak dijual di pasaran. Sebabnya…. Ruang di bilik hotel Jemaah muassasah yang biasanya dikongsi berempat atau berenam adalah sempit. Kalau masing-masing nak buka beg serentak, memang tak muat! Sarung beg pun penting juga supaya dapat lindungi beg dan kita pun dapat kenal pasti beg kita dengan lebih mudah. Di Shopee banyak jual sarung beg, tapi kebetulan saya jumpa di Mydin dan harganya lebih murah.

 

Berkenaan barang-barang yang hendak dibawa, saya nasihatkan kepada bakal-bakal haji, bawalah ikut keperluan diri sendiri sahaja dan jangan ikut sangat apa yang orang kata/cadangkan. Kita lebih tahu apa keperluan badan kita berbanding orang lain. Jadi, jangan bawa benda-benda yang kita rasa tak perlu dan memberatkan beg. Nanti kita sendiri juga yang susah.

 

Kita (atau pun saya lah sendiri) sering risau tentang pakaian semasa dalam pantang ihram. Tak boleh wangi, tak boleh tutup muka, tak boleh itu ini. Macam-macam yang kita risaukan. Tetapi ketahuilah bakal-bakal haji, tempoh kita berihram sebenarnya tak lama mana pun. Bagi yang mengerjakan Haji Tamattuk, paling lama pun hanyalah 3-4 hari sahaja. Pekerjaan haji sebenar bermula pada 8 Zulhijjah iaitu hari Jemaah bertolak ke Arafah. Bermula 8 Zulhijjah inilah kita berniat dan memakai ihram. Seterusnya kita kekal berihram pada Hari Arafah 9 Zulhijjah dan 10 Zulhijjah di Mina. Sebaik sahaja kita selesai melontar Jamratul Kubra pada 10 Zulhijjah, jemaah dah boleh bertahalul awal dan melepaskan 10 daripada 13 larangan ihram. Jadi, sebenarnya tidaklah terlalu lama pun kita dalam pantang ihram. Malah, semasa kita mengerjakan umrah wajib dan sunat pun, biasanya kita hanya berihram selama sehari sahaja.

 

Namun begitu, bagi jemaah yang mengerjakan haji Ifrad, tempoh ihram mereka mungkin lebih panjang. Walaupun begitu, kebiasaannya hanya mereka yang tiba di Mekah lewat iaitu menghampiri Hari Arafah yang akan memilih haji ifrad. Dan biasanya mereka yang datang dengan PJH. Tapi, tidak dinafikan, ramai juga yang mengerjakan haji ifrad walaupun tiba awal di Mekah. Jadi, apa yang saya ceritakan di atas dan seterusnya nanti hanyalah terpakai untuk mereka yang buat Haji Tamattuk seperti kami.

 

Oleh itu, sebenarnya bagi Jemaah Haji Tamattuk, tak perlulah sangat kita nak risau dan nak beli sabun yang tiada pewangi, tisu yang tiada pewangi dan sebagainya. (Hehehee… sebab persoalan inilah yang jemaah suka tanya kalau ada soal jawab). Semasa di Arafah dan Mina, ada orang yang tak sempat pun nak mandi. Membasuh pakaian jauh sekali. Jadi, tak guna pun sabun yang tiada pewangi tu. Semasa kursus-kursus di surau dan masjid, biasanya akan ada syarikat yang menjual keperluan haji seperti ini (sabun, tisu, pelembap, pencuci muka, tuala dan sebagainya) yang tiada pewangi dan harganya pun boleh tahan mahal. Saya tak beli pun.

 

Semasa dalam ihram, kita disunatkan memakai pakaian berwarna putih. Kaum lelaki tiada masalah kerana kain ihram memang biasanya warna putih. Tetapi bagi orang perempuan, ada yang memilih untuk memakai putih dan ada yang tidak. Ramai yang tidak mahu mengenakan pakaian putih sebab risau jarang dan kotor. Jadi, saya suka nasihatkan kepada bakal-bakal hajjah, kalau yang ragu-ragu nak pakai putih ke tidak, saya cadangkan bawalah sehelai/sepasang sahaja. Pakailah pakaian putih semasa dalam ihram yang sehari (umrah) dan tiga hari (haji) itu sahaja, semoga beroleh pahala sunat. Semasa hari-hari lain, tak perlulah pakai kalau rasa tak selesa.

 

Bagi Jemaah muassasah, biasanya akan berada di Tanah Suci dalam tempoh lebih kurang 40-50 hari, termasuk 5-6 hari di Madinah. Saya dan suami dapat berada di sana selama 47 hari. Nampak macam lama tapi sebenarnya sekejap je masa berlalu. Jadi, sebenarnya, barang yang kita nak bawa tu lebih kepada keperluan selama lebih kurang 40 hari (tolak waktu di Masyair). Bagi kaum wanita, tiada beza sangat pakaian semasa ihram dan bukan ihram. Jadi, tiada masalah. Tetapi, bagi kaum lelaki, jika yang difikirkan hanyalah pakaian semasa ihram iaitu tidak boleh memakai pakaian berjahit, tidak boleh berkasut atau berselipar tutup jari, tidak boleh tutup kepala dan sebagainya, risaulah pula banyak keperluan lain yang tertinggal.

 

Bagi Jemaah lelaki, memakai kain ihram cumalah paling lama 3-4 hari sahaja. Jadi, sepanjang lebih kurang 40 hari lagi, janganlah lupa membawa pakaian biasa secukupnya. Baju melayu, kurta, jubah, t-shirt, kemeja, seluar, seluar dalam, kain pelikat, kasut, setokin dan kopiah adalah pakaian yang lebih banyak digunakan di tanah suci berbanding kain ihram. Sebagai contoh, setokin memang tak boleh dipakai semasa dalam ihram, tetapi semasa bukan dalam ihram, elok memakai setokin dan kasut untuk menjaga kesihatan kaki kerana kita akan banyak berjalan, ke masjid dan juga semasa melontar.

 

Kita selalu dipesan, semasa di tanah suci, jaga tutur kata. Setiap makanan yang dihidangkan, makanlah dengan sopan dan jangan mencela makanan walaupun tidak kena dengan selera kita. Mengikut pengalaman saya, makanan di Madinah agak sedap. Selama 5 hari di Madinah, setiap hidangan kami makan dengan licin dan berselera. Tak tahulah sama ada memang sedap atau hanya kena dengan selera kami sahaja. Manakala di Mekah, pada kami masakannya agak berbeza dengan Madinah dan kurang kena dengan selera kami. Oleh itu, kami biasanya akan makan bersama makanan tambahan yang dibawa dari tanah air. Misalnya sambal dan lauk-pauk ready to eat (RTE). Jadi, bagi Jemaah yang agak cerewet dengan makanan, silalah bawa sedikit makanan tambahan untuk menambah selera.

Sambal yang dibeli semasa Kursus Perdana


Bab makanan ni penting sebab kita mesti makan supaya badan sihat dan bertenaga. Memang betul makanan tengahari dan malam disediakan dan memang betul bekalan makanan InsyaAllah sentiasa ada. Makanan yang orang sedekah juga tidak putus terutamanya semasa sarapan pagi. Kedai makan dan restoran juga banyak. Memang tak perlu risau sangat tentang makanan sebab mudah sahaja dapat makanan halal. Cuma, tekak kita orang Melayu yang kadang-kadang teringinkan juga rasa masakan Melayu. Tambahan pula bila dah 2-3 minggu makan air tangan orang. Jadi, pentinglah juga kita bawa serba sedikit apa-apa makanan penambah selera secara berpada-pada. Tak perlulah bawa banyak hingga penuh beg, ala kadar sahaja.    

Makanan RTE yang diperolehi semasa Kursus Perdana


Kalau nak diceritakan tentang persiapan barang-barang ni, memanglah banyak. Sehingga ke hari terakhir sebelum bertolak, barulah beg masing-masing boleh ditutup dan dikunci. Kalau tidak, setiap hari ada sahaja yang nak ditambah. Sebenarnya, tentang barang-barang ni tak perlulah risau sangat. Kalau tak bawa atau terlupa bawa pun tak mengapa. Sebab di Mekah dan Madinah ada banyak kedai dan semua barang yang kita perlukan ada dijual di sana. Kalau awak berduit dan tak nak susah payah angkut beg yang berat, bawa sahaja duit dan belilah semuanya di sana. Mudah!    

 

Bersambung……


Makanan segera pengubat selera


No comments:

Post a Comment