Selepas menerima surat tawaran dan selesai
menjalani pemeriksaan kesihatan, perkara yang paling penting ialah menjawab
setujuterima tawaran di laman web THjari. Tawaran ini ada tempoh sah lakunya.
Jadi pastikan jangan terbabas pula. Sekarang ini, semuanya berlaku dalam talian
sahaja. Tak perlu hadir ke pejabat Tabung Haji (TH) dan tak perlu cetak semua
dokumen.
Seterusnya, kita diwajibkan mengambil suntikan Meningococcal
dan dua suntikan tambahan yang tidak wajib tetapi digalakkan iaitu Influenza
dan Pneumococcal. Vaksin untuk Covid 19 tidak perlu ambil lagi
kerana masih dalam tempoh sah. Jika buat pemeriksaan kesihatan di klinik kerajaan,
biasanya mereka akan bagi suntikan wajib ini sekali secara percuma. Jika
mengambil suntikan di klinik swasta, harganya pelbagai. Ada yang menawarkan
pakej kombo dua atau tiga vaksin sekaligus dengan sedikit penjimatan. Jadi,
bolehlah survey klinik/hospital mana yang lebih murah. Pastikan semua
suntikan yang kita ambil telah pihak klinik/hospital rekodkan di dalam
MySejahtera.
Bagi yang sudah ada passport
antarabangsa, pastikan tempoh masih sah seperti yang disyaratkan oleh TH. Jika passport
sudah tamat tempoh atau bagi yang belum pernah ada passport, pihak
imigresen ada menawarkan diskaun sebanyak RM100 kepada bakal haji. Caranya
ialah pergi ke kaunter di mana-mana cawangan imigresen dengan membawa bersama
surat tawaran haji. Diskaun ini tidak terpakai bagi permohonan dalam talian.
Saya pergi ke pejabat imigresen di Putrajaya dan urusan selesai dalam masa yang
singkat sahaja. Ada laluan khas untuk bakal tetamu Allah dan bayaran cuma RM100
sahaja. Alhamdulillah. (Untuk tahun hadapan, saya tak pasti)
Memandangkan zaman teknologi kini, banyaklah
aplikasi (Apps) yang seterusnya kita kena muat turun. Bagi warga emas yang
tidak mahir menggunakan telefon pintar terpaksalah belajar atau pun meminta
bantuan anak-anak. Antara aplikasi yang perlu dimuat turun ialah Saudi Visa
Bio, MyNIISe, Nusuk, Muhsen dan THhujjaj. Saya andaikan yang
masing-masing sepatutnya sudah ada aplikasi Thjari dan Mysejahtera.
Secara sepintas lalu, saya akan terangkan serba
sedikit mengenai aplikasi-aplikasi tersebut. Aplikasi Saudi Visa Bio adalah
yang paling penting kerana ini adalah permohonan untuk mendapatkan visa haji.
Sila pastikan permohonan dibuat mengikut arahan dengan teliti kerana prosesnya
agak mencabar. Bagi permohonan yang berjaya, anda akan mendapat pengesahan
melalui emel dengan nombor visa. Cetakan emel ini diperlukan oleh TH
bersama-sama passport kelak. Aplikasi ini hanya digunakan sekali sahaja
(untuk permohonan tersebut), dan selepas itu tidak digunakan lagi.
Aplikasi MyNIISe ialah untuk kegunaan
imigresen. Passport diperlukan untuk aplikasi ini dan prosesnya mudah.
Hanya ikutlah arahan hingga selesai.
Aplikasi Muhsen rasanya baru diperkenalkan
tahun ini. Dalam aplikasi ini kita boleh tengok jadual perjalanan haji seperti
hari berlepas, tarikh ke Mekah/Madinah, tarikh menghantar beg, tarikh ke Arafah
dan sebagainya. Di dalam aplikasi ini juga kita boleh tahu nama hotel
penginapan semasa di Mekah dan Madinah. Bagi setiap perjalanan yang telah
selesai, anda boleh memberi penilaian (rating). Jika saya tidak silap, aplikasi
ini berkait dengan sekumpulan pekerja di Tanah Suci yang dinamakan Muhsen yang
bertugas membantu Jemaah haji. Antara tugas mereka yang terdiri daripada
penduduk tempatan (ada juga pelajar yang bekerja sambilan), kebanyakannya muda,
ialah membantu memandu arah dalam pekerjaan haji.
Bagi musim haji, aplikasi Nusuk hanya digunakan
untuk memohon slot memasuki Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah. Walaupun Jemaah
haji Malaysia diberi satu peluang khas untuk memasuki Raudhah secara
berkumpulan mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak Saudi, namun individu
boleh memohon secara dalam talian melalui aplikasi Nusuk untuk masuk ke Raudhah
lagi mengikut slot-slot masa yang ditawarkan. Selain itu, Aplikasi Nusuk juga
mempunyai butiran diri individu dan kelulusan visa haji seperti mana kad
fizikal Nusuk (bertindak seakan kad pengenalan haji) yang wajib dipakai
sepanjang berada di Tanah Suci.
Aplikasi THhujjaj hanya boleh dimuat turun oleh
Jemaah yang akan berangkat ke tanah suci. Hal ini akan dimaklumkan oleh TH dari
semasa ke semasa. Maksudnya, bukan semua orang boleh muat turun aplikasi ini.
Secara umumnya, aplikasi ini mengandungi maklumat berkenaan pekerjaan haji,
nota dan soal jawab haji.
Aplikasi MySejahtera penting kerana ia
mengandungi rekod kesihatan dan vaksin. Seandainya diminta oleh pihak berkuasa,
kita hanya perlu menunjukkan aplikasi ini. Manakala aplikasi THjari ialah
butiran akaun TH dan maklumat berkaitan haji.
Selain itu, bakal-bakal haji juga dikehendaki
menyediakan 2 keping gambar berlatar belakang putih mengikut saiz yang
ditetapkan. Adalah sangat penting untuk memastikan kedai gambar mengikut saiz
yang ditetapkan oleh pihak TH, kerana sebarang kelainan saiz akan menyebabkan
anda terpaksa mengambil gambar semula.
Setelah siap semua dokumen dan aplikasi,
tunggulah arahan / pengumuman dari TH tentang tarikh penyerahan passport.
Tarikh ini berbeza mengikut pejabat pengendali masing-masing. Biasanya passport
akan diminta untuk diserahkan ke TH tak lama sebelum berangkat. Apabila
semua telah diserahkan, maka debaran seterusnya ialah menunggu tarikh berangkat
pula!
Bersambung……
No comments:
Post a Comment