Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 5 (Madinah yang damai)


Pukul 5.50am kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah Al-Munawwarah. Suasana di lapangan terbang sudah terang seperti pukul 7 pagi di Malaysia. Solat menghormati waktu Subuh telah dibuat semasa dalam kapal terbang. Jemaah terus diarahkan naik bas untuk ke hotel penginapan. Tak perlu masuk ke dalam terminal dan tak perlu lagi berurusan dengan imigresen sebab semuanya sudah diselesaikan semasa di KLIA. Suatu kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Jemaah Malaysia. Alhamdulillah.

 

Lebih kurang 7 pagi, kami tiba di Hotel Anwar Movenpick. Hotel yang sama yang kami pernah diami semasa menunaikan umrah lebih kurang 10 tahun yang lepas. Kata orang, KT kami beruntung kerana hotel ini paling dekat dengan Masjid Nabawi. Syukur sekali lagi.

 

Keadaan hotel tidak banyak berbeza daripada 10 tahun yang lalu. Kami mengimbau kenangan lama. Waktu tu kami dapat bilik berdua. Kali ini berempat. Rakan-rakan sebilik semuanya jemaah dari Putrajaya dan lebih kurang sebaya sahaja, tidak sukar untuk menyesuaikan diri.

 

Hari pertama (hari tiba) tiada apa-apa program dari pihak TH. Jemaah bebas melakukan aktiviti sendiri. Jadi, setelah mengalas perut dan qada’ solat Subuh, kami terus ke Masjid Nabawi untuk persediaan solat Zohor. Oleh kerana kami pernah tinggal di hotel ini, maka tiada masalah untuk mengenal jalan ke masjid. Memang sangat dekat. Keluar dari bangunan hotel, berjalan beberapa meter terus sampai perkarangan masjid. Alhamdulillah, tak sangka akhirnya dikurniakan rezeki dan kesihatan untuk menjejakkan kaki lagi di bumi suci ini. Madinah yang mendamaikan.

 

Semasa menunaikan umrah dulu, rasanya tempoh yang ada sangatlah singkat. Tak sempat pun nak berjalan-jalan ke seluruh perkarangan masjid. Jadi, kali ini, walaupun hanya lima malam berada di Madinah, kami mengambil kesempatan untuk meneroka ke seluruh pelosok yang mampu. Dapatlah beberapa kali tawaf keliling masjid, mengenali pintu-pintu utama dan keluar masuk dari pagar ke pagar (gate).

 

Dari hotel Movenpick, gate yang paling biasa kami lalu ialah nombor 328.  Bagi Jemaah wanita, selepas masuk gate ini, belok kiri dan carilah pintu nombor 17. Tapi pintu ni cepat tutup. Kalau nak sembahyang di dalam masjid melalui pintu ini, kena datang sejam awal sebelum masuk waktu solat. Jika tiada masalah untuk berjalan jauh sedikit, mara ke depan lagi dan carilah pintu nombor 25. Di situ ruang solat untuk wanita lebih luas dan ada peluang untuk solat di dalam walaupun datang lewat.

 

Saya suka pergi awal ke masjid supaya dapat tempat duduk yang selesa untuk sembahyang sunat dan mengaji. Biasanya tempat yang saya tuju ialah yang paling hujung berhampiran dengan rak Al-Quran dan mudah nak ambil air zam zam. Sama ada di pintu 17 atau 25, sudah ada favourite spot saya dan sebolehnya saya akan tuju ke situ. Tapi, kadang kala tak berjaya juga.  Ada masanya terlewat sedikit, favourite spot kita dah ada orang ambil dan yang paling malang lagi, dalam masjid dah penuh dan kita diarahkan sembahyang di perkarangan sahaja.

 

Perkarangan Masjid Nabawi walaupun di bawah cuaca panas, kita tidak akan terasa sangat panas. Banyak kipas berair di setiap tiang dipasang dan pada waktu siang semua kanopi dibuka. Bumi Madinah juga sentiasa berangin membuatkan kita rasa selesa walaupun solat di luar masjid.   

 

Hari ke-2 di Madinah ada taklimat dari TH dan ziarah sekeliling masjid.  Manakala pada hari ke-3, TH bawa kami untuk ziarah luar. Tempat pertama yang dibawa tentulah Masjid Quba’. Berbanding dengan 10 tahun lepas, saya rasa dah banyak perubahan pada Masjid Quba’. Perkarangannya nampak lebih luas dan teratur. Tiada lagi peniaga-peniaga di tepi-tepi masjid. Selesai solat sunat, kami dibawa ke Jabal Uhud. Di persekitaran Jabal Uhud juga sudah sangat berbeza. Banyak kiosk jualan dan ada juga laluan untuk mendaki bukit yang dikenakan tiket. Akhir sekali kami dibawa ke ladang kurma – yang sebenarnya hanyalah kedai kurma sahaja. Seperti mana sebelum ini, tiada pun lawatan melihat pokok kurma di dalam ladang sebenar. Suasana di dalam kedai tetap sama – peniaga menjerit melelong-lelong jualan dengan meriah. Kami, seperti biasa juga, cuma makan apa yang dihalalkan dan pulang dengan tangan kosong sahaja.

 

Hari ke-3 iaitu hari ziarah luar, jatuh pada hari Jumaat. Jadi, dari ladang kurma kami semua bergegas balik ke hotel dan terus menuju ke masjid untuk sembahyang Jumaat. Saya berpeluang untuk turut serta tapi hanya dapat duduk di perkarangan masjid sahaja. Itulah kali pertama saya mengikuti solat Jumaat di Madinah. Walaupun tak faham khutbah yang dibaca, tapi rasa seronok sebab macam dengar orang mengaji sepanjang khutbah…hihihi…

 

Hari ke-4 kami dijadualkan untuk masuk ke Raudhah secara berkumpulan. Jemaah lelaki dan wanita ada slot waktu yang berbeza. Berbanding dahulu, proses untuk masuk ke Raudhah nampak lebih tersusun. Jemaah berkumpul di perkarangan masjid mengikut KT dan kemudian beratur masuk ke laluan yang ditetapkan sehingga ke dalam masjid. Namun, masa yang diperuntukkan tetap singkat. Rasa tak puas dan seperti hajat tidak kesampaian. Jadi, saya buka aplikasi Nusuk dan buat tempahan untuk masuk semula ke Raudhah secara individu pada keesokan harinya.

 

Oh ye.. sehari sebelum bertolak ke Mekah, Jemaah semua dikehendaki menyiapkan bagasi untuk dihantar dahulu ke Mekah. Maknanya, pada hari ke-5, semua beg besar telah pun dikunci dan diletakkan di lobi hotel untuk diangkat oleh petugas mengikut masa yang ditetapkan. Jadi, bersama-sama Jemaah hanya tinggal beg tarik 5kg dan sling bag. Dalam beg ini lah kita sediakan sepersalinan dan barang-barang keperluan yang penting.

 

Pada pagi hari ke-6, Jemaah diminta bersedia di bilik masing-masing dengan siap berpakaian ihram. Jemaah akan dipanggil turun untuk menaiki bas ke Mekah mengikut giliran. Kami tiba di Madinah pada Rabu pagi dan bertolak ke Mekah pada Isnin pagi. Jadi, kami berada di Madinah selama 5 malam sahaja. Tempoh yang singkat tetapi meninggalkan banyak memori yang indah yang tak akan dilupakan sampai bila-bila.

 

Lebih kurang pukul 8 pagi bas pun bergerak meninggalkan bumi Madinah menuju ke Mekah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! 

 

Bersambung…





No comments:

Post a Comment