Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Tarikh
pendaftaran di Movenpick KLIA ialah pada Selasa 28 April 2026, pukul 8.15 malam
(KT36B). Penerbangan ke Madinah dengan Saudi Airlines. Walaupun kami
memilih untuk ke Mekah dahulu, tetapi pihak Tabung Haji (TH) menetapkan kami ke
Madinah dahulu. Kami akur sahaja dan pasti ada hikmahnya.
Kami pilih ke Mekah dahulu kerana fikir biarlah
bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kami bercadang setelah
selesai menyelesaikan kerja-kerja haji dan menyempurnakan semua rukun dan wajib
haji barulah lega dan boleh tenang-tenang sahaja di Madinah kelak. Tetapi kita
hanya merancang, Allah dah tentukan apa yang lebih baik. Ke Madinah dahulu juga
bagus. Di Madinah, kita boleh menyesuaikan diri dengan lebih tenang. Kita dapat
mengatur masa, mengenali kepelbagaian tingkah laku manusia yang datang dari
seluruh pelosok dunia, membiasakan diri dengan cuaca dan makanan dan
bermuhasabah diri sebelum betul-betul menumpukan kepada ibadat haji.
Perjalanan ke Movenpick sebenarnya hanyalah
mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja dari rumah kami. Awalnya kami
bercadang hendak bergerak selepas solat Asar. Namun, bimbang tersangkut dalam
kesesakan lalu lintas kerana waktu orang balik kerja, tayar bergolek seawal
pukul 4.00 petang. Semua anak-anak dan adik beradik saya, ibu dan beberapa
orang ipar dan biras turut sama menyertai rombongan ke Movenpick.
Lebih kurang 4.50 petang kami tiba di
Movenpick. Kami ambil tempat di depan dewan, berkumpul dan meletakkan bekalan
yang dibawa. Masa tu, belum ramai orang lagi. Selesai solat Asar di masjid,
orang ramai mula memenuhi. Saya bawa bekal kuih karipap, popia sira, nona manis
dan air mineral. Bolehlah buat alas-alas perut bagi mereka yang turut serta
dalam rombongan… hehehehh.. Saya tengok
keliling dah macam pesta. Ramai yang dah bentang tikar, dah keluarkan segala
juadah. Meriah!
Pukul 6 petang Jemaah dipanggil untuk mengambil
gelang bertuah, lencana dan sling bag. Ada dua lencana diberi iaitu kad
tabung haji dan kad nusuk. Gelang besi mula dipakai dan sling bag pun
mulalah penuh barang.
Sebaik sahaja selesai solat Maghrib, lebih
kurang 8.15 malam, Jemaah dipanggil masuk ke dewan. Masa tu masing-masing pun
mulalah bersalaman dan berpelukan. Ada lah sedikit air mata meleleh juga. Tapi
terus terang, saya tak lah rasa sedih sangat. Saya percaya saya dah persiapkan
diri dengan sebaiknya dan saya telah pun buat perancangan yang rapi untuk
meninggalkan anak-anak. Saya menerima jemputan Allah dengan gembira dan hati
yang lapang dan sepanjang masa membuat persediaan, saya juga redha jika saya
pergi tidak kembali. Wasiat telah siap saya tulis, pesanan untuk anak-anak pun
telah saya titipkan secara bertulis, duit belanja telah ditinggalkan secukupnya
dan penjaga serta peneman kepada anak bongsu saya juga telah diuruskan. Tiada
apa yang perlu saya risaukan.
Sebaik masuk ke dewan, passport dan
bagasi diserahkan. Berat beg saya 26.6kg manakala suami saya 24kg.
Alhamdulillah, lega beg dah selamat masuk. Setelah selesai urusan beg, lebih
kurang pukul 9 malam, kami diberi makan nasi goreng cina dan taklimat ringkas
oleh pihak TH. Setelah azan dilaungkan, kami bergerak naik bas menuju ke
lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiringi oleh polis. Waktu tu
lebih kurang pukul 10 malam. Setibanya di KLIA, terus check-in di
Imigresen Arab Saudi dan duduk berehat menunggu dipanggil untuk boarding.
Pukul 1.15 pagi kami dipanggil masuk ke dalam
kapal terbang dan lebih kurang pukul 2.15 pagi kapal terbang pun mula bergerak.
Labbaikallahummalabbaikkk…
Bersambung……
No comments:
Post a Comment