Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 6 (KPI dan Tekad Kami)

Semasa dalam kursus-kursus haji, malah dari ceramah dan pembacaan, ada yang mencadangkan jemaah haji meletakkan sasaran tertentu iaitu seperti Key Performance Indicator (KPI) semasa menunaikan haji. Saya sebenarnya kurang pasti sama ada perkara ini penting atau tidak. Hal ini saya ajukan kepada suami. Akhirnya kami membuat keputusan tidak menetapkan sebarang KPI dalam urusan haji kami. Kata suami, kita tak boleh nak menetapkan berapa kali umrah sunat yang kita perlu buat, atau berapa banyak tawaf sunat yang mahu dikerjakan, atau berapa banyak solat sunat yang hendak didirikan. Biarlah orang lain menetapkan sasaran mereka tetapi kami tidak akan berbuat demikian.

 

Kami sependapat bahawa apa yang bakal kami kerjakan nanti bergantung kepada keadaan semasa dan kesihatan tubuh badan. Jadi, kami tidak mahu menetapkan sasaran tertentu semata-mata ingin mengejar angka dan hanya kerana takut ketinggalan dari orang lain, atau apa yang orang sekarang gelar FOMO.

 

Namun begitu, bagi diri saya, hanya ada satu sahaja yang saya hajatkan iaitu khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali di Tanah Suci dan Alhamdulillah hajat tersebut berjaya saya sempurnakan.

 

Selain daripada KPI yang tidak kami tetapkan, kami juga sependapat bahawa pemergian kami ke tanah suci kali ini hanyalah semata-mata untuk beribadat dan mengerjakan haji dengan sesempurna yang mungkin. Kami setuju untuk tidak membeli-belah dan tiada langsung perancangan untuk membeli apa-apa barangan selain sedikit cenderahati untuk anak-anak dan keluarga terdekat sahaja.

 

Oleh kerana tekad yang telah dibuat, Alhamdulillah, sepanjang berada di tanah suci, tiada langsung nafsu untuk shopping buat kami berdua. Walaupun diasak dan puas diperagakan oleh rakan-rakan sebilik, kami sedikit pun tidak tergugat. Mungkinlah agaknya ada yang kata kami kedekut, tapi kami abaikan sahaja. Kami hanya tumpang gembira tengok rakan-rakan membeli-belah dan menghantar bungkusan terus ke tanah air. Memang mudah zaman sekarang. Siapkan duit sahaja maka semua boleh jadi. Perkhidmatan penghantaran barang memang ada disediakan di setiap hotel/maktab. Kami lihat berkotak-kotak setiap hari Jemaah kirimkan barang ke kampung halaman. Dengarnya ada yang 3-4 hari barang dah sampai. Gembira ahli keluarga dah dapat buah tangan walaupun Jemaah belum pulang. 

 

Kami memang tidak bawa tunai yang banyak. Wang yang ahli keluarga bagi, kebanyakannya kami sedekahkan. Di Madinah dan Mekah terutamanya, sudah banyak tempat untuk kita salurkan derma dengan mudah. Misalnya di Menara Jam, di Jabal Omar Mall dan sekitarnya, ada banyak kiosk yang bersedia menerima sedekah, waqaf dan infaq. Bukan setakat waqaf Al Quran, sangat banyak benda lain yang boleh diwaqaf dan infaq. Misalnya kerusi roda, kerusi lipat, makanan untuk berbuka puasa, air minuman di Arafah, sekolah tahfiz, pengajar Al Quran, anak yatim dan banyak lagi. Pada saya, semua itu boleh dipercayai dan beroperasi secara sah kerana mempunyai dokumentasi, laman web dan mempunyai kiosk yang terjamin di dalam bangunan. Transaksi dibuat menggunakan kad, tanpa tunai, yang amat mudah, cepat dan selamat.       

 

Selain daripada kiosk-kiosk, ada juga kedai yang bersedia membantu untuk kita bersedekah. Misalnya, kita hanya bayar kepada mereka untuk barangan yang hendak kita waqafkan seperti Al Quran, sejadah dan sebagainya dan mereka akan membantu untuk menghantar ke dalam masjid atau mengedarkan seperti yang kita mahu. Ada juga beberapa restoran yang menyediakan makanan untuk disedekahkan. Misalnya ada pakej bernilai SR10 untuk satu pek makanan dan minuman, kita bayar dan mereka akan serta merta sediakan makanan dan edarkan kepada orang ramai yang berkeperluan. Jika rasa kurang percaya, semua ini kita boleh saksikan sendiri di depan mata dan tidak peru risau apa yang kita sedekahkan itu tidak ditunaikan.

 

InsyaAllah, walaupun kita bukan orang kaya, bila berada di tanah suci, majoritinya akan menjadi pemurah. Semua orang ingin merebut pahala yang berganda-ganda. Orang sedekah makanan dan minuman sentiasa ada di merata-rata tempat. Air zam zam sentiasa ada secara percuma di masjid dan dataran. Tatkala pulang ke maktab dari masjid, berlori-lori menunggu untuk menghulurkan air minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga. Di maktab, ada sahaja yang pemurah mensabil makanan dan minuman. Di dalam masjid pun, ada sahaja Jemaah yang baik hati menghulurkan gula-gula, kurma dan tisu, semata-mata ingin meraih pahala walaupun kecil.

 

Pendek kata, kita akan jumpa ramai orang baik di tanah suci. Maha Suci Allah, Allah Maha Besar, tiada perkataan yang dapat diungkapkan tentang kekuasaan Allah dan keajaiban bumi suci itu. Sesungguhnya menjadi tetamu Allah merupakan nikmat yang tiada tandingnya. Terima kasih Allah.  

 

Bersambung…


Di luar perkarangan Masjid Nabawi

 

Antara tempat / kiosk yang menerima sedekah / infaq / waqaf di Mekah


No comments:

Post a Comment