Wednesday, 24 April 2024

Resepi Popis

Popis ialah singkatan bagi Popia Pisang. Makanan ni asalnya diperkenalkan kepada saya oleh anak-anak. Maklumlah budak-budak.... ada sahaja makanan baru yang viral, yang trending mesti mereka nak cuba. Mereka beli dan bagi saya rasa. Mulanya rasa pelik. Sebab dah biasa makan popia mestilah intinya sayur. Ini tiba-tiba pula pisang yang biasa kita makan sebagai pisang goreng tapi dah dibalut pula dengan kulit popia.

Yang menariknya saya rasa mungkin pada toppingnya. Ada yang dihias dengan coklat, cheese, biscoff, nutella, cornflakes, oreo dan macam-macam lagilah. Budak-budak bila nampak cantik je, mereka memang senanglah tertarik.

Bukan susah pun nak buat popia pisang ni. Cuma perlukan dua bahan utama sahaja iaitu kulit popia dan buah pisang. Toppingnya ikutlah apa yang ada di dapur. 

Kebelakangan ini, pokok pisang di belakang rumah menjadilah pula. Dah beberapa kali pisang nangka dan rastali berbuah (of course lah bukan pokok pisang yang sama berbuah banyak kali.. anak-anaknya lah 😂). Oleh kerana stok pisang yang banyak, sampai jemu pula nak makan pisang goreng sahaja, maka pada suatu hari, saya terfikir untuk mencuba buat popia pisang ini. Di sini, saya kongsikan bahan dan cara membuatnya:-


Bahan-bahan:-

Kulit popia - jenama apa ikut suka. Saiz pun ikut suka.
Buah pisang - pada saya, pisang nangka lebih sedap. Tapi boleh je kalau nak guna pisang lain.
Putih telur / tepung jagung - sebagai gam
Minyak masak - untuk menggoreng

Topping : coklat cair (saya suka Berylls), susu pekat, parutan keju, cornflakes dan lain-lain ikut suka


Cara-caranya:-

  • Pisang dibuang kulitnya dan dipotong mengikut saiz yang anda suka. Bergantung juga kepada saiz kulit popia yang digunakan.
  • Letakkan pisang di atas kulit popia dan lipat, gulung seperti popia biasa.
  • Lekatkan / gam dengan tepung jagung yang telah dibancuh dengan air atau jika tiada, gunakan putih telur.
  • Setelah selesai menggulung, goreng dalam minyak yang telah panas (deep fry).
  • Dah selesai menggoreng, bolehlah dihiaskan dengan topping mengikut kesukaan anda. 


Popis sedap dimakan sejurus selepas disediakan. Garing, rangup di luar, lembut di dalam. Lebih elok kalau makan terus sampai habis jangan simpan-simpan. Sebab kalau dah sejuk tak boleh nak panaskan lagi jika telah diletak topping. Tetapi, kalau anda buat banyak, boleh simpan dalam peti sejuk (tak payah goreng), bila nak makan barulah digoreng. Cubalah! Walaupun awalnya rasa pelik, tapi bila dah makan berkali-kali, sedap juga.. 😋😋  

  




No comments:

Post a Comment