Tuesday, 8 January 2019

Anak saya biasa-biasa aje..

Pernah suatu ketika ada orang membangkitkan isu anak-anak di Malaysia yang "didera" seawal usia empat tahun oleh ibu bapa sendiri. Ada yang mengatakan ini adalah suatu malapetaka kerana di usia semuda itu anak-anak telah diasak untuk mempelajari banyak perkara.

Saya bersetuju dengan pendapat tersebut. Malah, saya lebih konservatif daripada itu.

Baru-baru ini pula riuh berkenaan isu Sekolah Berasrama Penuh. Ada yang melenting, ada yang menyokong. Pada saya, hal ini sedikit pun tidak menjejaskan apa-apa. 

Bagi saya, sudah pun namanya kanak-kanak, mengapalah kita terlampau mendesak mereka untuk "pandai" dan serba-boleh akan segalanya? Sedangkan ramai orang dewasa sendiri pun yang masih "bodoh", inikan pula anak-anak kecil mahu disogokkan supaya menjadi manusia sempurna!

Walaupun ada lah juga belajar sampai ke universiti, namun saya rasa dalam banyak hal saya masih berfikiran kolot. Saya percaya masyarakat di luar sana rata-ratanya tidak bersetuju dengan pemikiran saya. Pada saya, biarlah kolot asalkan punya nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian yang tinggi.

Kesemua lima orang anak saya, hanya saya hantar ke tadika pada usia enam tahun. Itu pun sekadar tadika biasa-biasa sahaja - yang paling hampir dengan rumah. Tidaklah saya berkeinginan untuk menghantar mereka ke tadika-tadika yang perlu membayar beratus-ratus sebulan semata-mata kerana mahu anak pandai cakap orang putih atau cakap cina atau cakap arab.   

Alhamdulillah, kesemuanya boleh membaca, mengira dan menulis sama seperti kanak-kanak lain yang ke sekolah tadika mahal. Mereka ke sekolah dengan rela hati, tidak perlu dipaksa - sehinggakan ke tahap mereka sendiri meminta untuk dihantar ke sekolah. Mereka hanya belajar apa yang diajar oleh guru di tadika, makan minum dan bermain sesuka hati. Saya tidak pernah memaksa mereka untuk belajar bermati-matian untuk mendapat tempat pertama di kelas, jauh sekali menghantar tuisyen di usia itu.


Kesemua anak saya juga bersekolah kebangsaan dan sekolah agama yang biasa-biasa sahaja - yang berhampiran dengan rumah. Tiada seorang pun yang dihantar ke sekolah berasrama penuh mahupun asrama harian. Bagi saya, jenis dan nama baik sekolah tidak menjanjikan apa-apa jika diri sendiri tidak rajin belajar.

Memang diakui, anak-anak saya hanyalah pelajar biasa-biasa sahaja. Bukan murid cemerlang dan bukan juga murid kesayangan guru. Namun mereka tidak bodoh, jauh sekali keciciran dalam pelajaran. Walaupun jarang-jarang mendapat tempat pertama, kedua mahupun ketiga, tetapi keputusan mereka masih boleh saya terima, setimpallah dengan usaha mereka yang tidak seberapa. 

Di kalangan rakan-rakan saya, ramai yang tersilap tanggapan. Pada mereka, sebagai anak seorang yang pernah bergelar 'best student' kononnya di sekolah, anak-anak saya dianggap sentiasa cemerlang dalam pelajaran seperti ibu mereka. Mereka juga fikir saya selalu mengajar dan mendesak anak-anak saya supaya sentiasa 'score' dalam peperiksaan.

Semua tanggapan itu meleset. Saya bukanlah seperti yang dijangkakan. Kebebasan diberikan sepenuhnya kepada anak-anak saya untuk menentukan masa depan mereka. Saya biarkan mereka belajar sendiri dan berusaha mengikut kemampuan diri. Yang penting bagi saya ialah kesedaran diri sendiri untuk belajar demi diri sendiri, bukan untuk orang lain. 

Aku perlu berusaha untuk kelangsungan hidup aku sendiri, bukan atas paksaan orang lain.
Aku yang akan menentukan hala tuju masa depan aku sendiri, bukan orang lain. 
Jika aku mahu berjaya, aku mesti berusaha. 

Tidak mudah untuk menerapkan kesedaran dan keinsafan ke dalam diri anak-anak seperti itu, tetapi itulah yang cuba saya lakukan. Saya mahu mereka berusaha atas kesedaran diri sendiri, bukannya atas paksaan ibu bapa.

Namun begitu, sebagai ibu bapa tentulah dorongan dan motivasi masih perlu diberikan. Oleh itu, saya mahu kesemua anak saya membesar di hadapan mata. Jika dihantar ke asrama pada usia remaja, betapa ruginya masa yang ada untuk kita membimbing mereka.

Proses pembelajaran dari kanak-kanak ke alam remaja bukan hanya terhad kepada akademik sahaja. Mereka juga perlu diasuh dalam aspek lain kehidupan. Bila berada di rumah, mereka perlu membantu membuat kerja rumah - memasak, mencuci, mengemas, bercucuk-tanam, bertukang dan bermacam lagi kemahiran hidup yang tidak boleh dipelajari di asrama.

Pergaulan dengan rakan sebaya juga lebih mudah dipantau jika mereka sentiasa berada di hadapan mata. Dalam dunia moden yang saya percaya penuh dengan segala jenis ancaman, memang terlalu mencabar untuk memastikan anak-anak kita sentiasa selamat dari segi fizikal dan mental. Banyak anasir yang dengan mudah dapat menjerat mereka ke jalan yang salah.

Pendidikan agama sangat perlu dititik-beratkan. Tanpa didikan agama, dengan mudah hidup terpesong. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh ibu bapa sendiri, bukan diserahkan kepada guru. Kitalah yang perlu memastikan mereka tidak meninggalkan sembahyang, berpuasa dan mengaji Al-Quran. Kita juga yang perlu menjadi contoh supaya boleh dijadikan tauladan - jangan pandai menyuruh tetapi diri sendiri tidak buat!

Membesarkan anak bukanlah seperti menternak ayam, kambing mahupun lembu. Tugas dan tanggungjawabnya sangat besar. Amanah yang Allah berikan akan dipersoalkan di hari kemudian kelak. Justeru itu juga, saya rela mengorbankan kerjaya demi memastikan anak-anak saya membesar di hadapan mata, makan dari hasil air tangan saya, mendengar leteran saya sebaik sahaja celiknya mata dan sentiasa ada di sisi mereka di dalam apa jua keadaan.

Wang ringgit memang penting untuk kelangsungan hidup di zaman yang mencabar ini, tetapi nilai kehidupan dan matlamat hidup sebenarnya tidak harus diperjudikan. Untuk mengumpul kekayaan, sampai mati pun tidak akan pernah puas. Jika hendak difikir pinjaman rumah dan kereta yang belum langsai, bayaran itu ini yang belum habis, maka kita terpaksa terus bekerja setiap hari, memang tiada kesudahannya.

Bersyukur dengan apa yang ada. Hidup tidak perlu mewah untuk bahagia. Jaga keluarga, jaga anak-anak, jaga suami dan yang paling penting jaga hubungan kita dengan Allah, InsyaAllah Dia akan permudahkan. Amiin. 







p/s  Ini hanyalah cerita peribadi saya. Tiada niat untuk memperkecilkan orang lain yang tidak sependapat dengan saya. Masing-masing ada cara dan kehendak sendiri. Saya hormati prinsip masing-masing. Tulisan ini hanyalah sekadar perkongsian satu kisah dalam 32 juta penduduk Malaysia.. Manalah tahu boleh mengetuk pintu hati sesiapa! ;)

No comments:

Post a Comment