Monday, 13 May 2019

Kuih TAKOTA


Selamat Berpuasa!

Hari ini sudah hari ke-8 bulan Ramadhan. Sebagai suri rumah, memang berhempas pulas otak ini kena fikirkan menu setiap hari yang akan memenuhi citarasa setiap ahli keluarga. Bukan senang tau!

Antara kuih kegemaran di bulan puasa ialah kuih Tepung Pelita. Saya percaya semua orang di Malaysia kenal kuih ini. Cuma mungkin namanya berbeza-beza di setiap negeri. Selain tepung pelita, ada sejenis lagi kuih yang seakan serupa yang orang panggil kuih Tako. Sebenarnya, kalau sekali telan, kedua-dua kuih ini macam tiada bezanya. Tetapi, rupa-rupanya ada kelainan di antara kedua-dua beradik ini. Perbezaan utamanya ialah acuan tepung pelita menggunakan daun pisang manakala acuan tako menggunakan daun pandan. Dalam kuih tako juga biasanya ada ketulan kecil sengkuang.

Baiklah, di sini saya nak kongsikan resepi kuih Takota! Kuih apa tu?? Heh..heh.... ia adalah kacukan kuih tepung pelita dan tako. Acuannya saya gunakan daun pandan, tetapi adunannya menggunakan bancuhan tepung pelita. Sebab itu saya namakan kuih Takota!




Langkah pertama ialah membuat acuan untuk kuih. 

Ambil daun pandan - seeloknya yang tua - daun yang besar dan keras. Cuci bersih sehelai-sehelai.


           
Potong daun kepada empat bahagian yang sama besar seperti gambar di atas. Lebihkan sedikit di hujungnya.


            
Lipat daun berselang-seli - anyam hingga berupa mangkuk.


  
'Stapler'kan di hujung daun yang dilebihkan tadi.


               
Dah siap ia akan jadi rupa seperti di atas.


               
Oleh kerana saya budak baru belajar, saiz acuan berbeza mengikut saiz daun. (Kalau orang berniaga itu, tak pasti macam manalah agaknya boleh cantik aje saiznya sama ye??)


Langkah kedua ialah membuat bancuhan bahagian bawah yang berwarna hijau.

Bahan-bahan:-

1 cawan tepung beras
1 cawan gula
5 cawan air
1 sudu makan air kapur
5 helai daun pandan dimesin dengan sedikit air
Pewarna hijau


Caranya:-
Campur semua bahan dan tapis. Masak atas api sederhana. Sentiasa kacau hingga masak (mendidih dengan mengeluarkan gelembung-gelembung). Masukkan ke dalam acuan tadi. Jangan isi penuh sebab nanti nak letak bahagian yang putih pula.


Selesai isi semua acuan, ambil sedikit gula (agak-agak sesudu kecil) dan letak atas bahagian hijau tadi. Gula ini akan mencair sendiri.




Langkah seterusnya ialah membuat bancuhan bahagian atas yang berwrna putih.

Bahan-bahan:-

4 cawan santan
4 sudu besar tepung beras
2 sudu kecil garam


Caranya:-

Campur semua bahan dan tapis. Masak atas api sederhana dan sentiasa kacau supaya ia tidak berketul-ketul. Bila dah masak, masukkan ke atas bahagian hijau dalam acuan tadi. Proses ini kena dilakukan dengan cepat sebab adunan putih ini cepat beku dan akan berketul-ketul dan tidak cantik jika lambat dimasukkan ke dalam acuan.


Oleh kerana semua bahan telah dimasak, kuih dah boleh terus dimakan. Namun, seeloknya simpan dahulu di dalam peti sejuk untuk rasa yang lebih lazat!


Inilah rupa kuih Takota yang telah siap!




p/s   Sebenarnya, kalau tiada daun pandan atau daun pisang, boleh sahaja isi dalam apa-apa mangkuk. Yang pasti rasanya sama! :)





No comments:

Post a Comment