Wednesday, 20 May 2020

Nostalgia Hari Raya

Assalamualaikum...

Hari ini hari ke 27 berpuasa. Maknanya lagi 3 hari umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tahun ini pastinya sambutan Hari Raya amat berbeza. Semuanya gara-gara wabak Covid-19 yang menyerang umat manusia. Rakyat Malaysia khasnya, tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri. Melainkan mereka yang tinggal berhampiran dengan ibu bapa di dalam negeri yang sama, mereka yang kampung halamannya jauh pasti akan terasa kesedihan kerana tidak dapat menyambut Hari Raya bersama sanak saudara terutamanya ibu bapa.

Menyebut tentang Hari Raya ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya menyambut Hari Raya sejak lebih empat dekad yang lalu...  pengalaman ini memang sangat berbeza dan pastinya akan menjadi kenangan selamanya.


Sejak lahir, saya tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Bapa saya juga dilahirkan di Kampung Baru, maka kami sememangnya anak jati Kuala Lumpur. Di tanah pusaka Kampung Baru itu, terdapat tiga buah rumah yang didiami oleh tiga beradik termasuklah bapa saya. Nenek saya juga tinggal bersama. (Datuk saya telah meninggal dunia semasa saya berumur dua atau tiga tahun.... dah tak berapa ingat)

Bapa saya mempunyai lapan orang adik beradik, beliau adalah yang bongsu. Kakak sulungnya mempunyai lapan orang anak juga dan adik beradik beliau yang lain secara puratanya mempunyai 2 - 6 orang anak. Jadi, bayangkanlah betapa besarnya keluarga ini!

Kata orang beraya di KL tak meriah, tak macam di kampung-kampung lain. Tapi, bagi kami anak jati KL, sambutan Hari Raya lebih meriah di sini. (Sehingga kini, walaupun telah mempunyai kampung lain ~ mertua di Johor, saya masih tetap merasakan beraya di KL 10 kali lebih meriah!)

Kebiasaannya sehari sebelum Hari Raya adalah hari yang paling meriah dan menggembirakan. Bagi ibu bapa saudara saya yang tinggal di negeri lain, mereka biasanya akan pulang ke rumah kami. Hari memasak rendang, ketupat dan kuah kacang memang sangat memenatkan tetapi menggembirakan. 

Keliling rumah telah dihias indah dengan pelita yang biasanya bapa saya mulai pasang pada malam tujuh likur. Bermain bunga api, menyusun baju dan kasut raya menjadi aktiviti yang paling digemari. Selain itu, menggantung kad hari raya menjadi hiasan rumah juga tidak terkecuali.

Pagi raya, subuh-subuh hening kami semua mesti dah bangun. Dalam kegelapan subuh itu juga, ibu bapa saudara serta sepupu-sepupu yang tak terbilang ramainya telah tiba. Masing-masing datang membawa juadah yang dimasak di rumah masing-masing. Bersalam-salaman menjadi aktiviti yang riuh rendah. Duit raya pada ketika itu tidak begitu popular lagi... jika ada yang memberi membuatkan kami begitu teruja.

Selesai bersalaman, saprah dibentang dan segala jenis hidangan yang dibawa oleh setiap keluarga dihidangkan. Kami membaca doa beramai-ramai dan menikmati juadah yang terhidang. Ini adalah juga momen yang tidak didapati lagi sekarang. Kebiasaanya setiap keluarga masak juadah yang sama - ketupat, rendang dan kuah kacang. Jadi, paling kurang, akan ada 5-6 jenis masakan yang sama nama tetapi berbeza rasa.. hi..hi..hi... kadang-kadang tuan empunya sendiri pun boleh keliru dengan masakan mana yang dibawa. Itu belum lagi masuk cerita kuih dan kek raya. Yang paling popular ialah tart nenas dan samperit. Dua jenis kuih ini memang menjadi tradisi keturunan kami hingga kini.

Hmmm... kalau nak cerita pasal makanan memang tak habis. Selesai makan, kaum bapa akan pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Kg Baru yang terletak tak berapa jauh dari rumah kami. Kaum ibu pula biasanya tinggal di rumah meneruskan makan, bersembang dan mengemas. Saat mengemas paling mengelirukan... sebagai tuan rumah, kami terpaksa menyimpan lebihan makanan, menyalin mangkuk tingkat dan membalas dengan juadah yang kami sediakan. Begitulah tradisinya setiap tahun...

Nenek saya meninggal dunia semasa saya berumur 12 tahun. Setelah ketiadaan nenek, tradisi sambutan Hari Raya seperti itu masih diteruskan selama beberapa tahun sahaja. Betullah kata orang, jika sudah tiada orang tua, hubungan anak-anak mulai sedikit renggang. Walaupun masih berkumpul di pagi raya, tidak semua adik beradik ada. Tambahan pula masing-masing pun sudah berkeluarga dan bercucu sendiri. Jadi, kemeriahan itu semakin berkurangan.

Selepas bapa saya bersara, kami pindah ke Kg Nakhoda. Ibu dan bapa saudara juga ramai yang dah tiada. Kami menyambut Hari Raya dalam suasana keluarga yang lebih kecil. Saya empat beradik, abang ipar, mak dan babah. Sambutan di tempat baru meriah dengan kumpulan takbir yang berkunjung dari rumah ke rumah pada malam raya. Kami masih mengekalkan tradisi membuat ketupat, rendang dan kuah kacang sehari sebelum raya dan berkumpul di awal pagi raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. 

Kini keluarga kami dah menjadi lebih besar. Mak dah ada 4 orang menantu dan 13 orang cucu. Suasana pada Hari Raya lebih riuh rendah. Malam Raya sangat dinantikan terutamanya oleh anak-anak saya kerana mereka berpeluang mengumpul duit raya semasa bertakbir dari rumah ke rumah. 

Tetapi tahun ini genap tiga tahun bapa saya dah tiada. Kemeriahan beraya memang semakin pudar, apatah lagi di kala usia sendiri semakin menjangkau banyak. Bagi kita orang dewasa, Hari Raya mungkin sudah tidak semeriah mana, tetapi inilah pula peluang bagi anak-anak mencipta kenangan mereka. Yang pastinya kenangan beraya bagi anak-anak takkan sama lagi...

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN   





No comments:

Post a Comment