Dalam artikel terdahulu saya ada terangkan sedikit mengenai Belanja Tetap yang saya definisikan sebagai nafkah kepada isteri, anak2, ibu bapa dan mertua. Di sini saya akan jelaskan lebih lanjut mengapa saya definisikan sebegitu.
Dalam kehidupan kita, siapakah orang2 yang amat berjasa kepada kita dan sentiasa berada bersama kita di kala suka dan duka? Tentulah keluarga bukan? Tak kisah lah sama ada sudah berkahwin atau masih bujang, setiap individu mesti ada keluarga. Jadi, tidak wajar jika kita melupakan keluarga dalam perancangan kewangan kita.
Sama ada suami isteri bekerja, kedua2 makan gaji atau salah seorang berniaga atau isteri tidak bekerja, sebaiknya si suami hendaklah memberi sedikit wang kepada isterinya. Ini adalah kewajipan suami. Walaupun isteri mungkin bergaji lebih besar daripada suami, tidak salah jika suami masih menghulurkan wang kepada isteri tiap2 bulan. Ada keberkatannya di situ.
Anak2 hari ini memerlukan duit lebih dari yang kita jangkakan. Cubalah disiplinkan anak2 dan didik mereka supaya berjimat cermat. Sematkan dalam diri anak2 supaya tidak malu untuk membawa makanan (bekal) dari rumah. Cara ini bukan sahaja boleh jimatkan duit belanja, malah kebersihan dan khasiat makanan yang dibekal ibu adalah terjamin berbanding makanan yang dibeli di kantin sekolah.
Secara umumnya, anak2 hari ini dibekalkan duit sebanyak RM2 ke sekolah. Itu baru satu sesi. Bagi yang bersekolah dua sesi (dengan sekolah agama), belanja akan berganda. Cuba ajar anak dengan mengurangkan duit saku itu. Bukannya kedekut, tapi ajar mereka supaya tahu menghargai kesusahan. Pastikan air minuman dibawa setiap hari, jadi mereka tak perlu membeli minuman.
Ibu bapa adalah orang yang sangat penting dalam hidup kita. Segala jasa dan pengorbanan mereka tidak ternilai dan tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Kebanyakan ibu bapa tidak mengharapkan anak2 membalas jasa mereka dengan wang ringgit tapi itu tak bermakna kita tak perlu beri mereka duit. Pastikan ibu bapa kita diberi wang setiap bulan tanpa gagal. Walaupun mereka jauh, tidak tinggal bersama kita dan sentiasa menolak pemberian kita, jangan sekali-kali abaikan pemberian kepada mereka. Begitu juga kepada mertua. Mereka juga adalah ibu bapa kita. Terutamanya kepada suami yang isterinya tidak bekerja, amat wajar bagi suami untuk memberi wang kepada mertuanya bagi pihak isterinya.
Bagi ibu bapa atau mertua yang tinggal bersama pula, janganlah anggap duit yang kita beri setiap bulan itu banyak sangat kalau merekalah juga yang menolong menjaga anak2 kita dan memasak untuk kita. Cuba renung2kan dan congak2kan. Bandingkan jika anak2 dihantar ke nurseri, taska dan sebagainya. Adakah selayaknya ibu bapa anda dibayar sebanyak itu?
Isteri dan anak2 secara jelas memanglah menjadi kewajiban suami/ayah untuk menanggungnya. Jadi, tentunya mereka tidak diabaikan dalam pengurusan kewangan kita. Tetapi kebanyakan kita tercicir ibu bapa dalam konteks ini. Pemberian kepada ibu bapa, walaupun sedikit, sangatlah besar keberkatannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan, andai kata kita abaikan tanggungjawab ini, hidup tak akan senang. Berapa banyak duit yang dapat pun tak akan dapat membahagiakan hidup. Lebih teruk jika suatu hari nikmat ini ditarikNya kerana kealpaan kita kepada tanggungjawab ini.
Jadi, sama2lah kita ingat mengingati dan janganlah sekali-kali abaikan ibu bapa kita.
No comments:
Post a Comment