Tuesday 27 May 2014

After 24 years....

Semasa di bangku sekolah, saya merupakan seorang murid yang pendiam ~ bukan saya yang cakap, tapi semua kawan-kawan dan guru-guru yang cakap macam tu. Saya rasa dulu saya tak banyak cakap bukan sebab pemalu, tapi sebenarnya saya tak ada idea nak bersembang...

Sejak membesarkan anak yang kedua dan ketiga (kembar) barulah saya rasa "volume radio" saya kuat sikit... :) Dah tak boleh nak slow mode, apatah lagi mute. Mungkin juga selari dengan tuntutan kerja pada masa itu yang memerlukan saya berjumpa dan bercakap dengan ramai orang setiap hari.

Nalurinya, saya rasa memang saya tidak pendiam. Kalau kena masa, tempat dan orangnya, saya boleh jadi orang yang banyak mulut. Saya rasa saya juga mempunyai "bakat" untuk banyak bercakap, cuma saya sendiri yang rasa kurang selesa bila dah bercakap banyak...

Baru-baru ini, dengan izin Allah, saya dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan sekolah yang ada di antaranya sudah 24 tahun tak pernah berjumpa. Bersyukur dengan teknologi moden, media sosial banyak membantu kami berjejak kasih. Ramai yang terkejut apabila saya (yang dikatakan sebagai pendiam) yang telah menganjurkan small reunion itu.

Walaupun dah lama tak jumpa, kebanyakannya masih tidak berubah dan boleh dikenali dengan mudah. Pertemuan singkat itu sangat memberi kesan bukan sahaja kepada diri saya tapi juga kepada seluruh keluarga. Anak-anak kagum melihat ibu mereka masih dapat berhubung dengan kawan-kawan yang dah lama terpisah.  

Banyak kenangan lama diimbas kembali. Kebanyakannya yang mencuit hati dan membuatkan kami semua tak kering gusi. Walaupun di laman sosial ada yang nampak berbeza penampilan tetapi bila berjumpa kami semua sama sahaja seperti di alam persekolahan 24 tahun yang lalu. Tiada tangisan emosi atau lakonan kepura-puraan. Semuanya jujur seadanya. Itulah sahabat sejati!

Saya bangga mempunyai rakan-rakan seperti mereka. Walaupun dahulu saya bukanlah rakan yang baik kepada mereka (sebab saya kurang bergaul dan bercakap), namun mereka masih mengingati saya dan sudi menjejakkan kaki ke rumah saya. Terima kasih sahabat!

Memang tidak dapat dinafikan pengalaman di alam persekolahan adalah yang terindah. Pada waktu itu, kita tak endah erti perbezaan kaum, agama, keturunan, kenegerian dan sebagainya. Persahabatan yang terjalin hanyalah berasaskan kepercayaan dan keserasian. Alangkah indahnya jika semua itu dapat diteruskan. Tiada sengketa dan salah faham. Saya sangat berharap ikatan persahabatan dengan rakan-rakan di alam persekolahan dapat terus kukuh hingga akhir hayat. Buanglah segala rasa ego atau rendah diri. Kita semua adalah sahabat ~ tidak mengira pangkat, darjat, kedudukan, kemewahan mahupun status kekeluargaan. Pengalaman mematangkan kehidupan seseorang dan memang benar pengalaman adalah suatu pelajaran yang sangat berharga.

Saya sayang semua kawan-kawan saya! 



Saturday 10 May 2014

ALOHA......!!!


Hawaii ~ satu nama yang sangat sinonim dengan "Hawaii Five-O". Betul kan?

Bila sebut Hawaii je kita mesti terbayangkan drama bersiri yang popular sejak 20 tahun lalu lagi rasa-rasanya. Kini, drama tersebut telah pun berwajah baru dengan para pelakon baru. Namun sebenarnya, saya sendiri tak berapa minat menontonnya...hi..hi...

 


Hawaii, sebuah negeri dalam Amerika Syarikat, bukanlah destinasi pelancongan yang popular bagi kita rakyat Malaysia (pendapat saya). Ini adalah kerana iklim dan suasananya tidak banyak berbeza dengan Malaysia. Kepulauan yang terletak di tengah Lautan Pasifik, barat daya Benua Amerika, tenggara Jepun dan barat laut Australia ini beriklim tropika. Tiada empat musim kecuali di beberapa tempat yang ada salji seperti di kawasan pergunungan.


Pantainya memang cantik; bagi peminat aktiviti sukan air seperti surfing dan snorkeling, memang akan teruja. Tapi, saya rasa di Malaysia pun apa kurangnya....






Dalam artikel ni, cuma nak kongsi beberapa tips jika ke Hawaii, khasnya ke Honolulu, ibu negeri Hawaii.