Salam Ramadhan,
Hari ini saya nak kongsikan resepi yang paling rare.... resepi warisan keturunan yang saya belum pernah makan lagi di mana-mana selain yang dimasak oleh kaum keluarga, sanak-saudara saya sahaja.. :)
Resepi ini adalah warisan Allahyarhamah ibu saudara saya. Semoga ilmu yang dikongsi ini menyumbang kebaikan yang berterusan kepadanya di sana, Insya Allah.
Walaupun nama resepi ini ialah Nasi Beriyani, namun jangan bayangkan seperti nasi beriyani yang biasa kita makan. Ia tak sama langsung dengan nasi beriyani mamak, nasi beriyani gam atau apa-apa sahaja nasi beriyani yang biasa kita jumpa di pasaran. Hahh... sebab itulah saya cakap rare... :)
Resepi ini sangat mudah dimasak dan tidak dijemu dimakan. Ia juga bolehlah dikategorikan sebagai makanan sihat kerana kurang minyak. Berikut ialah resepinya:-
Bahan-bahan dan cara untuk memasak nasi:-
- 3 cawan beras basmathi - basuh dan rendam lebih kurang setengah jam. Kalau nak guna beras wangi atau apa-apa beras pun boleh - basuh dan toskan, tak perlu rendam.
- Panaskan kuali dan masukkan 3 sudu minyak sapi. Bila minyak dah panas, masukkan sehelai daun pandan yang telah dibasuh dan diikat.
- Tumiskan 2 biji bawang merah, 2 biji bawang putih dan seinci halia yang telah dihiris sehingga naik bau.
- Masukkan 3 cawan air dan sesudu garam. Biar seketika.
- Tuangkan ke dalam beras tadi (dalam rice cooker), tekan `cook' dan lebih kurang 15 minit nasi akan masak!
Bahan-bahan dan cara untuk memasak ayam:-
- Seekor ayam - dipotong berapa? Ikut suka. Cuci bersih, toskan dan masuk ke dalam periuk.
- 3-5 biji buah tomato yang masak dicuci dan dipotong 4-6 - masukkan ke dalam periuk yang ada ayam tadi.
- 5-10 biji cili hijau dicuci dan dipotong lebih kurang 1-2 inci - masukkan ke dalam periuk tadi.
- Masukkan 3-5 sudu besar cili kisar, 2 sudu besar bawang merah yang telah dikisar, 1 sudu besar bawang putih yang telah dikisar dan 1 sudu besar halia yang telah dikisar.
- Masukkan sebutir bunga lawang, sebatang kayu manis, 5 biji buah pelaga dan 5 butir bunga cengkih
- Masukkan garam dan perasa secukupnya
- Tak perlu tambah air kerana air ayam akan keluar menjadi kuah.
- Gaulkan semua, pasang api dan biarkan hingga ayam masak... mungkin lebih kurang 30-45 minit.
Inilah rupa ayam dan semua bahan-bahan masukkan ke dalam periuk.
Nota:-
- Sukatan adalah anggaran sahaja. 3 cawan beras saiz sederhana adalah untuk hidangan 5-7 orang
- Sukatan air bergantung pada jenis beras masing-masing.
- Kalau suka nasi lebih berminyak boleh lebihkan minyak sapi atau tambah minyak masak.
- Sukatan bawang dan garam juga bergantung pada citarasa sendiri - boleh ditambah atau dikurangkan.
- Kuantiti buah tomato dan cili hijau juga adalah anggaran kerana bergantung kepada saiz. Cuma untuk resepi ini, lebih banyak tomato dan cili digunakan, lebih sedap.
- Jika mengikut resepi di atas, lauk ayam akan berkuah kerana ayam akan mengeluarkan air yang banyak bila dimasak. Jika tak mahu banyak kuah, ayam boleh digoreng lemah terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan bahan-bahan lain.
Cara hidangan:-
Ada tiga kaedah untuk menghidang resepi ini iaitu:-
Kaedah Pertama:
Apabila nasi sudah masak, keluarkan sebahagiannnya, masukkan lauk ayam yang telah dimasak ke dalam nasi dan timbuskan semula dengan nasi yang telah dikeluarkan tadi. Inilah yang dinamakan Nasi Beriyani Ayam Tersorok - sebab ayamnya disorok di dalam nasi :)
Kaedah Ke-2:
Nasi dan lauk tidak digabungkan semasa masak. Semasa nak makan, ambil sesenduk nasi letak dalam pinggan. Ambil seketul lauk ayam letakkan atas nasi, dan kambuskan dengan sesenduk nasi lagi.
No comments:
Post a Comment