Saturday 29 September 2012

Belanja tetap



Dalam artikel terdahulu saya ada terangkan sedikit mengenai Belanja Tetap yang saya definisikan sebagai nafkah kepada isteri, anak2, ibu bapa dan mertua. Di sini saya akan jelaskan lebih lanjut mengapa saya definisikan sebegitu.

Friday 28 September 2012

Pengurusan kewangan keluarga

Sebelum saya berkongsi pengalaman semasa bekerja, rasanya eloklah saya kongsikan sedikit pengetahuan bagaimana menguruskan kewangan keluarga terlebih dahulu. 

Walaupun mungkin nampak mudah dan remeh-temeh bagi sesetengah orang, namun sebenarnya tanpa bajet dan perancangan kewangan yang rapi setiap bulan, berapa banyak gaji / pendapatan yang diperolehi setiap bulan tak kan pernah cukup. Baru tengah bulan dah semput dan mula nak meminjam sana sini. Kalau yang bujang pula, mulalah ikat perut makan maggi aje.

Insiden2 sebegitu sepatutnya tak terjadi terutamanya kepada mereka yang bergaji tetap setiap bulan. Kita dah tahu berapa yang kita akan dapat setiap bulan, maka sewajarnya kita dah boleh merangka berapa yang kita boleh belanjakan.

Jadi, di sini saya nak kongsi satu template ringkas yang boleh diguna pakai setiap bulan supaya duit yang kita dapat tiap2 bulan takkan tersasar jauh.




Dimulakan dengan pendapatan:-
  • Senaraikan semua pendapatan yang kita dapat setiap bulan. Misalnya gaji dan elaun tetap. Kalau yang ada rumah, kereta atau sebagainya yang disewakan, juga senaraikan sewa yang diterima. 
  • Bagi yang ada kerja sambilan, senaraikan juga. Jika pendapatan bagi kerja sambilan tidak tetap, letakkan anggaran paling rendah.
  • Bagi yang menjalankan perniagaan sampingan, boleh juga masukkan anggaran pendapatan daripada perniagaan. Tetapi, jika perniagaan merupakan punca utama pendapatan, maka eloklah membuat penyata akaun berasingan yang khas untuk perniagaan dan tak perlu dicampurkan.
  • Jika suami isteri bekerja, boleh dicampurkan atau boleh juga dibuat dua template berasingan untuk suami dan isteri - mengikut persetujuan masing2.

Seterusnya, ke bahagian perbelanjaan:-
  • Mula2 senaraikan belanja tetap. Belanja tetap mengikut definisi saya ialah belanja wajib yang mesti kita keluarkan tiap2 bulan. Dengan kata lain, boleh juga diklasifikasikan sebagai nafkah. Jadi, termasuk di bawah belanja tetap ini ialah nafkah untuk isteri, belanja sekolah anak2 dan pemberian kepada ibu bapa dan mertua. (Saya akan kongsikan dengan lebih lanjut berkenaan ini di artikel akan datang)
  • Kedua, senaraikan belanja aset. Belanja ini adalah ansuran untuk pinjaman yang kita buat untuk membeli kereta, rumah dan sebagainya. Jika ada barang2 atau peralatan rumah yang dibeli secara ansuran, misalnya pembelian melalui potongan kad kredit tanpa faedah, juga boleh disenaraikan di bawah kategori ini.
  • Ketiga, lain2 belanja. Ini termasuklah sewa rumah (jika tinggal di rumah sewa), belanja utiliti (air, elektrik, astro, celcom, maxis, unifi dan sebagainya), belanja dapur, petrol, tol, parking dan lain2. Bayaran2 ad-hoc seperti cukai tanah, cukai pintu, IWK, insuran dan road-tax kereta juga termasuk di bawah belanja ini.
  • Keempat, peruntukan untuk simpanan. Seeloknya, kita bajetkan sedikit (kalau tak boleh banyak) untuk simpanan terutamanya untuk kecemasan. Kaedah simpanan ini terpulanglah kepada kesukaan masing-masing. Kalau yang boleh berdisiplin menyimpan sendiri dalam tabung di rumah, boleh juga lakukan demikian. Tetapi, jika kita bukanlah orang yang kuat disiplin, eloklah menyimpan di dalam institusi yang berlesen seperti bank, tabung haji dan ASB. (Rujuk artikel akan datang untuk maklumat lanjut). Selain daripada itu, peruntukkanlah sedikit untuk saham akhirat iaitu sedekah/waqaf/infaq. Ini boleh dilakukan sama ada melalui institusi zakat, tahfiz, masjid, individu dan apa-apa sahaja yang kita suka.
Setelah selesai, campurkan kesemua pendapatan dan tolaklah jumlah perbelanjaan. Anda bolehlah tengok sama ada terdapat lebihan atau kurangan. Kalau pendapatan melebihi perbelanjaan, ini petanda yang baik. Anda boleh peruntukkan lebihan itu kepada simpanan atau jika simpanan sudah memadai, maka lebihan itulah yang layak dienjoykan!

Tapi, kalau perbelanjaan melebihi pendapatan, maka anda perlu berbuat sesuatu. Semak semula senarai perbelanjaan tadi. Pastikan mana2 belanja yang boleh dikurangkan, cuba kurangkan. Tapi awas! Belanja tetap dan belanja aset sepatutnya tidak boleh dipotong! Kerana kalau anda gagal bayar ansuran kepada bank atau lain2 pemiutang, buruk akibatnya. Anda boleh disenarai-hitamkan dan boleh juga dikenakan tindakan undang2. Cuba hindari perkara2 seperti ini berlaku. 

Kalau anda benar2 buntu kerana tidak dapat kenal pasti di mana puncanya kekurangan pendapatan anda berbanding perbelanjaan walaupun setelah disemak berkali2, di sini saya beri satu tips:- Cuba perhatikan belanja aset anda. Adakah mungkin anda terlampau banyak berhutang untuk membeli aset? Jika ya, buatlah sesuatu. Mungkin belum tiba masanya lagi untuk anda membeli rumah atau menukar kereta atau menambah peralatan2 rumah. Ukurlah baju di badan sendiri!

Pengurusan kewangan memerlukan disiplin. Cubalah perlahan2 InsyaAllah boleh. Alah bisa, tegal biasa. Kalau dah biasa, InsyaAllah, duit anda akan sentiasa cukup walaupun gaji tak besar.

Selamat Mencuba!