Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian Akhir (Pengajaran & Muhasabah Diri)


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah saw serta keluarga dan sahabat baginda.

 

Saya dan suami telah pun selesai menunaikan ibadat haji, Rukun Islam yang ke-5. Kadang-kadang rasa macam tak percaya. Rasa macam mimpi. Saya pernah bertanya kepada suami – kalaulah tiba-tiba kita bangun tidur, kita berada di Mekah. Di katil maktab. Apa abang nak buat? Suami saya diam sahaja, malas dia nak layan saya… 😂😂😂

 

Beberapa bulan sebelum berangkat ke tanah suci, dunia digemparkan dengan Perang Iran-US. Penutupan Selat Hormuz, kenaikan harga minyak, kebarangkalian kenaikan kos haji, semuanya menyebabkan hati berdebar-debar. Jadi ke tak jadi? Adakah Haji tahun ini akan dibatalkan? Adakah kerajaan akan menangguhkan perjalanan haji tahun ini? Adakah kerajaan Arab Saudi menghalang kemasukan ke tanah suci akibat perang? Macam-macam persoalan timbul sehinggalah hari pertama penerbangan Jemaah bermula (KT1). Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti dijadualkan. Walaupun krisis di rantau Teluk masih lagi belum selesai hingga ke saat artikel ini ditulis, namun saya percaya bagi semua tetamu Allah, tidak ada rasa takut setelah seluruh jiwa raga diserahkan kepada-Nya. Jemaah pergi dan balik dengan rasa gembira dan tidak gusar tentang keselamatan kerana yakin akan pertolongan dan perlindungan Allah. Masya Allah.

 

Sejujurnya, jika diberi peluang untuk menunaikan haji lagi, saya memang ingin pergi lagi. Sekarang baru saya faham kenapa orang-orang dahulu balik sahaja dari haji, daftar semula dan pergi lagi berkali-kali. Baru saya faham bagaimana perasaannya. Malangnya sekarang kita tak boleh buat begitu lagi. Kata pihak TH, haji hanya boleh sekali seumur hidup. Sebab itu lah kena lakukan yang terbaik. Tiada ulangan lagi. Ye! Memang betul. Saya buka aplikasi Thjari, cuba daftar semula. Tak boleh! Pendaftaran hanya dibuka kepada yang belum pernah menunaikan ibadat haji sahaja. Jadi, apa yang boleh diharapkan hanyalah berdoa berlaku keajaiban – manalah tahu tiba-tiba Raja Arab Saudi sendiri yang jemput datang menunaikan haji, memang rezeki yang tidak dijangka!     

 

Kisah Haji Kami – Bahagian 10 (Kemudahan & Saranan)

Ada orang tiap-tiap tahun diberi rezeki ke tanah suci buat umrah dan mungkin juga dah pernah berkali-kali pergi haji. Berbanding dengan mereka, saya yang baru sahaja menunaikan haji sekali dan cuma pernah menjejakkan kaki ke tanah suci sebanyak dua kali, pengalaman dan ilmu yang saya ada hanyalah picisan sahaja.😅 Tapi, ilmu dan pengalaman yang tak seberapa ini saya suka nak kongsikan, manalah tau ada yang mengambil manfaatnya, dapatlah saya meraih sedikit pahala.

 

Pertamanya, saya nak kongsikan berkenaan kemudahan di Mekah dan Madinah, setakat musim haji yang lepas. Saya tahu kemudahan ini sentiasa ditambah baik saban tahun, jadi mungkin ada yang sudah tidak relevan lagi di masa akan datang. Bagi Jemaah Muassasah, biasanya ada 4-5 hotel yang disediakan untuk menempatkan beberapa maktab dalam satu hotel. Setiap hotel ada kemudahan yang berbeza-beza.

 

Seterusnya, saya juga ingin berikan beberapa saranan yang mana jika rasa boleh digunapakai, ikutlah, jika tidak, abaikan sahaja.

 

1.       Khidmat dobi

-  Mencuci pakaian adalah antara persoalan utama yang Jemaah selalu runsingkan. Khidmat dobi layan diri yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di tanah air kita, masih belum ada di tanah suci.

-   Ada hotel yang menyediakan mesin basuh dan tempat jemur pakaian, namun Jemaah perlulah bertolak ansur dan bergilir-gilir menggunakannya kerana terhad.

-  Ada hotel yang hanya menyediakan khidmat dobi berbayar dan tidak menyediakan tempat menjemur pakaian. Biasanya Jemaah akan curi-curi menjemur pakaian di ruang atas bumbung, tetapi biasanya pihak hotel tidak benarkan kerana isu keselamatan.  

-   Perkhidmatan dobi dalam hotel berharga lebih kurang SR20 sekilogram. Manakala dobi di luar boleh didapati dengan harga antara SR8-SR12 sekilogram. Awas! Harga dobi boleh meningkat pada waktu Jemaah balik dari Muassasah kerana permintaan yang tinggi, tapi kita masih boleh tawar menawar.

-    Ada kedai dobi yang menyediakan khidmat mengambil dan menghantar pakaian dobi terus ke hotel. Memang betul ada yang boleh dipercayai, tetapi hati-hatilah juga ada yang scammer. Yang paling penting, buatlah urusan mengambil dan menerima pakaian dobi anda di luar hotel (bukan di dalam hotel) kerana pihak hotel tidak akan benarkan dobi luar masuk ke dalam hotel.    

-   Ada Jemaah yang basuh pakaian sendiri dan jemur di dalam bilik. Jika begini, kena lah dapatkan persetujuan setiap ahli bilik kerana mungkin ada yang tidak selesa. Jika nak basuh sendiri, perlulah ada sabun (saya cadangkan sabun serbuk dalam paket-paket kecil), berus, baldi, tali ampaian, penyangkut dan penyepit baju. Semua ini kalau tak bawa pun tak mengapa kerana ada dijual di sana.

-     Ada Jemaah yang cadangkan bawa dryer, tetapi secara peribadinya saya tidak galakkan kerana membebankan untuk bawa dan harganya pun bukanlah murah. Tidak terlalu efektif.

Kisah Haji Kami – Bahagian 9 (Hari-hari terakhir di Mekah)

Semasa dalam perjalanan pulang ke Mekah dari Mina, di dalam bas tekak saya dah mula gatal-gatal nak batuk. Manakan tidak, dalam khemah di Mina bersahut-sahut Jemaah batuk. Lepas seorang, seorang. Bersahut-sahut dah macam orkestra. Saya pula lupa nak pakai mask. Sebab itulah saya pesan di artikel awal-awal sebelum ini, kita ni terlampau memikirkan apa yang tak boleh dipakai semasa dalam ihram, padahal tempoh berihram singkat sahaja. Disebabkan tak boleh tutup muka semasa dalam ihram, saya terus terlupa yang setelah bertahalul, boleh sahaja nak pakai mask. [Walaupun menurut ustaz boleh pakai mask atas alasan kesihatan dan dikenakan dam sekali sahaja, tapi saya lebih selesa untuk tak pakai mask semasa dalam ihram]😷

 

Walaupun ada lagi 2 minggu sebelum penerbangan pulang ke tanah air, sama lama dengan tempoh berada di Mekah sebelum ke Masyair, tapi suasananya sudah berbeza. Bukan sahaja pada diri saya, tetapi juga persekitaran. Sekembalinya dari Mina, pada malam yang sama, kami ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tawaf dan saei haji. Walaupun tiada had masa untuk melakukannya, tapi kami membuat keputusan untuk menyelesaikan rukun haji secepat mungkin kerana bimbang akan ada keuzuran. Alhamdulillah, pada malam 12 Zulhijjah itu kami selesai mengerjakan kesemua rukun dan wajib haji. Semoga Allah menerima amal ibadat kami..

 

Beberapa hari selepas itu kami tidak dapat ke masjid lagi. Saya kena batuk yang teruk sehingga terbuang air kecil setiap kali batuk. Sekali sekala demam pula mujur tidak teruk. Saya jarang kena batuk, tetapi bila dah kena memang susah nak baik. Batuk saya berlarutan sehingga pulang ke tanah air dan rasanya hampir sebulan kemudian baru betul-betul sembuh. Sangat susah nak mengekalkan wudhu apabila batuk. Bila mengaji asyik tergendala. Nak solat berjemaah pun risau tak sempat habis dah terbuang air. Agak teruk juga keadaan saya sehinggakan terpaksa pakai pampers semasa tidur.

 

Hari berlalu dengan pantas. Rasa sedih sebab tak dapat ke masjid lagi seperti awal-awal sampai. Ada terdengar kata-kata sindiran yang Jemaah tidak lagi ke masjid, tidak lagi mahu solat berjemaah, seperti orang yang dah bergraduasi buang semua buku, baling topi… Sedih mendengar kata-kata begitu. Memang betul solat berjemaah di maktab agak berkurang orang tetapi saya percaya mungkin ramai juga yang kurang sihat seperti saya. Bunyi batuk tidak pernah lekang kedengaran. Tidak langsung pernah terniat menghentikan segala ibadat semata-mata kerana telah selesai kerja haji. Masing-masing tentu ada kekangan dan masalah tersendiri. Kita tak tahu.😞

 

Kisah Haji Kami – Bahagian 8 (Pengalaman di Masyair)

Isnin 8 Zulhijjah bersamaan 25 Mei, pukul 6.30 pagi kami dah bersiap-siap untuk ke Masyair. Pihak TH tegaskan hanya bawa beg tarik 5kg sahaja dan jangan bawa banyak barang. Pergerakan ke Arafah menaiki bas dibuat secara berperingkat mengikut tingkat. Giliran kami lebih kurang pukul 3 petang. Alhamdulillah perjalanan lancar. Walaupun kami telah dimaklumkan mungkin berlaku kesesakan lalu lintas, namun perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang sejam sahaja. Tiada aktiviti tertentu pada hari itu, hanya pergerakan masuk Jemaah secara beransur-ansur.

 

Khemah di Arafah agak selesa. Di luar khemah ada senarai nama ditampal. Jadi, boleh semak nama masing-masing supaya tak tersalah khemah. Malah saya setiap kali keluar, bila nak masuk mesti tengok senarai nama lagi sebab takut terkeliru dengan khemah orang lain. Ada 8 unit penghawa dingin dalam khemah yang saya diami. Tahun ini setiap jemaah dapat sofa bed untuk berehat. Kami solat berjemaah jamak tamam di dalam khemah masing-masing mengikut Imam melalui pembesar suara. Makanan disediakan di luar khemah, layan diri. Ada nasi dan lauk dalam pek ready to eat, buah-buahan, roti dan air.

 

Saya sudah tidak berselera makan sejak beberapa hari sebelum ke Arafah lagi. Mujurlah badan masih sihat dan batuk pun sudah hilang. Oleh kerana cuaca agak panas, memang kebanyakan masa kami hanya duduk dalam khemah. Masing-masing dengan aktiviti sendiri – solat, mengaji, wirid, zikir, makan atau tidur. Tandas di Arafah juga sudah banyak disediakan. Ada tandas duduk, cangkung dan bilik mandi juga. Tapi, oleh kerana bilangan Jemaah yang ramai, masih lah kena beratur setiap kali nak buang hajat dan ada masanya air banjir melimpah di lantai kerana ada sahaja yang tidak mengikut peraturan.

 

Kami dinasihatkan untuk tidur awal supaya badan lebih segar untuk menghadapi hari kemuncak haji esok hari. Walaupun mata tak boleh nak lelap, saya cubalah juga berbaring dan pejamkan mata. Khemah lelaki berada tidak jauh dari khemah perempuan. Suami pula kurang sihat, sekejap seram sejuk, sekejap elok. Katanya dah berbiji-biji Panadol ditelan.  

 

Hari yang dinantikan ~ 9 Zulhijjah : Hari Wuquf di Arafah. Rukun haji yang jika ditinggalkan maka tidak sah lah hajinya. Sebelum subuh saya dah ke tandas. Sekadar cuci muka, gosok gigi, buang air dan berwudhuk, tidak mandi. Pakaian pun tak salin. Selesai solat Subuh, alas perut lebih kurang dan duduk di khemah menanti Zohor. Selesai solat Zohor, khutbah disampaikan. Semua Jemaah mendengar dengan khusyuk dan mengaminkan doa yang dibaca. Air mata tidak dapat dibendung lagi. Bermulalah waktu wuquf dan segala doa dan hajat mulalah dipanjatkan ke Ilahi. Jemaah dinasihatkan kekal berada di khemah sehingga 4 petang kerana cuaca terlalu panas.

 

Setelah solat Asar, saya dan suami bercadang untuk mencari tempat di luar khemah supaya dapat sama-sama berdoa. Walaupun cuaca masih lagi panas, kami tetap luangkan sedikit masa untuk duduk di bawah langit yang terbentang luas memohon agar Allah ampunkan dosa-dosa kami, kabulkan hajat-hajat kami dan terima amal ibadat kami. Terasa sangat singkat kerana bermula pukul 6 petang Jemaah sudah mula dipanggil untuk menaiki bas. KT kami antara yang awal dipanggil. Semua telah sedia berada di dalam bas tetapi bas hanya dibenarkan bergerak ke Muzdalifah selepas masuk waktu Maghrib.

Selimut dan tuala kecil yang diberi kepada Jemaah di Arafah. 
Di Mina juga dapat satu set lagi selimut yang sama dan sehelai tuala mandi.

 

Kisah Haji Kami – Bahagian 7 (Rutin di Mekah)



Tolak tempoh perjalanan pergi balik dan lima malam berada di Madinah, keberadaan kami di Mekah adalah lebih kurang 40 hari. Countdown ke Hari Arafah dari hari kami tiba ke Mekah ialah 20 hari. Nampak lama tapi sebenarnya tak terasa masa berlalu dengan begitu laju.

 

Oleh kerana keadaan kaki saya yang tak berapa kuat (yang sememangnya dah bertahun-tahun begini), rutin harian kami di Mekah agak berbeza dari kebanyakan Jemaah lain. Biasanya, kami keluar dari maktab menuju ke Masjidil Haram seawal 3 pagi untuk menunaikan solat Subuh dan selewat 9 ke 10 malam baru pulang semula ke maktab setelah selesai solat Isya’.

 

Walaupun kata orang maktab kami iaitu Abraj Al Janadriyah adalah yang paling hampir dengan Masjidil Haram berbanding maktab-maktab lain, sebagai seorang yang sedikit kurang upaya, jarak tersebut masih terasa jauh dan memerlukan kudrat yang lebih buat saya. Saya boleh berjalan, tetapi dengan had laju yang perlahan. Jadi, saya perlukan lebih banyak masa untuk sampai ke masjid berbanding orang lain. Sebab itu, saya selalu bagitahu rakan-rakan bahawa saya tidak boleh bersaingan jalan bersama mereka kerana saya ini umpama kura-kura. Saya perlu keluar awal sebelum orang lain bangun tidur dan pulang ke bilik setelah orang lain tidur, bukan kerana saya lebih lama beriktikaf di masjid berbanding orang lain, tetapi kerana saya berjalan perlahan dan perlu ambil masa yang lama untuk sampai ke sesuatu destinasi.

 

Begitulah batasan yang saya kena akui. Suami yang boleh berjalan laju pun terpaksa mengikut rentak saya. Kami sentiasa ke mana-mana bersama dan tidak pernah sekali pun dia tinggalkan saya berjalan sendirian. Tiap-tiap hari dia terpaksa mengurangkan had laju kecuali pada hari Jumaat sahaja di mana saya tidak mengikutnya ke masjid untuk Sembahyang Jumaat. (Di Mekah saya tidak pernah mengikuti sembahyang Jumaat di masjid kerana cuaca yang sangat panas dan sesak)

 

Kisah Haji Kami – Bahagian 6 (KPI dan Tekad Kami)

Semasa dalam kursus-kursus haji, malah dari ceramah dan pembacaan, ada yang mencadangkan jemaah haji meletakkan sasaran tertentu iaitu seperti Key Performance Indicator (KPI) semasa menunaikan haji. Saya sebenarnya kurang pasti sama ada perkara ini penting atau tidak. Hal ini saya ajukan kepada suami. Akhirnya kami membuat keputusan tidak menetapkan sebarang KPI dalam urusan haji kami. Kata suami, kita tak boleh nak menetapkan berapa kali umrah sunat yang kita perlu buat, atau berapa banyak tawaf sunat yang mahu dikerjakan, atau berapa banyak solat sunat yang hendak didirikan. Biarlah orang lain menetapkan sasaran mereka tetapi kami tidak akan berbuat demikian.

 

Kami sependapat bahawa apa yang bakal kami kerjakan nanti bergantung kepada keadaan semasa dan kesihatan tubuh badan. Jadi, kami tidak mahu menetapkan sasaran tertentu semata-mata ingin mengejar angka dan hanya kerana takut ketinggalan dari orang lain, atau apa yang orang sekarang gelar FOMO.

 

Namun begitu, bagi diri saya, hanya ada satu sahaja yang saya hajatkan iaitu khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali di Tanah Suci dan Alhamdulillah hajat tersebut berjaya saya sempurnakan.

 

Selain daripada KPI yang tidak kami tetapkan, kami juga sependapat bahawa pemergian kami ke tanah suci kali ini hanyalah semata-mata untuk beribadat dan mengerjakan haji dengan sesempurna yang mungkin. Kami setuju untuk tidak membeli-belah dan tiada langsung perancangan untuk membeli apa-apa barangan selain sedikit cenderahati untuk anak-anak dan keluarga terdekat sahaja.

 

Oleh kerana tekad yang telah dibuat, Alhamdulillah, sepanjang berada di tanah suci, tiada langsung nafsu untuk shopping buat kami berdua. Walaupun diasak dan puas diperagakan oleh rakan-rakan sebilik, kami sedikit pun tidak tergugat. Mungkinlah agaknya ada yang kata kami kedekut, tapi kami abaikan sahaja. Kami hanya tumpang gembira tengok rakan-rakan membeli-belah dan menghantar bungkusan terus ke tanah air. Memang mudah zaman sekarang. Siapkan duit sahaja maka semua boleh jadi. Perkhidmatan penghantaran barang memang ada disediakan di setiap hotel/maktab. Kami lihat berkotak-kotak setiap hari Jemaah kirimkan barang ke kampung halaman. Dengarnya ada yang 3-4 hari barang dah sampai. Gembira ahli keluarga dah dapat buah tangan walaupun Jemaah belum pulang. 

 

Kami memang tidak bawa tunai yang banyak. Wang yang ahli keluarga bagi, kebanyakannya kami sedekahkan. Di Madinah dan Mekah terutamanya, sudah banyak tempat untuk kita salurkan derma dengan mudah. Misalnya di Menara Jam, di Jabal Omar Mall dan sekitarnya, ada banyak kiosk yang bersedia menerima sedekah, waqaf dan infaq. Bukan setakat waqaf Al Quran, sangat banyak benda lain yang boleh diwaqaf dan infaq. Misalnya kerusi roda, kerusi lipat, makanan untuk berbuka puasa, air minuman di Arafah, sekolah tahfiz, pengajar Al Quran, anak yatim dan banyak lagi. Pada saya, semua itu boleh dipercayai dan beroperasi secara sah kerana mempunyai dokumentasi, laman web dan mempunyai kiosk yang terjamin di dalam bangunan. Transaksi dibuat menggunakan kad, tanpa tunai, yang amat mudah, cepat dan selamat.       

 

Selain daripada kiosk-kiosk, ada juga kedai yang bersedia membantu untuk kita bersedekah. Misalnya, kita hanya bayar kepada mereka untuk barangan yang hendak kita waqafkan seperti Al Quran, sejadah dan sebagainya dan mereka akan membantu untuk menghantar ke dalam masjid atau mengedarkan seperti yang kita mahu. Ada juga beberapa restoran yang menyediakan makanan untuk disedekahkan. Misalnya ada pakej bernilai SR10 untuk satu pek makanan dan minuman, kita bayar dan mereka akan serta merta sediakan makanan dan edarkan kepada orang ramai yang berkeperluan. Jika rasa kurang percaya, semua ini kita boleh saksikan sendiri di depan mata dan tidak peru risau apa yang kita sedekahkan itu tidak ditunaikan.

 

InsyaAllah, walaupun kita bukan orang kaya, bila berada di tanah suci, majoritinya akan menjadi pemurah. Semua orang ingin merebut pahala yang berganda-ganda. Orang sedekah makanan dan minuman sentiasa ada di merata-rata tempat. Air zam zam sentiasa ada secara percuma di masjid dan dataran. Tatkala pulang ke maktab dari masjid, berlori-lori menunggu untuk menghulurkan air minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga. Di maktab, ada sahaja yang pemurah mensabil makanan dan minuman. Di dalam masjid pun, ada sahaja Jemaah yang baik hati menghulurkan gula-gula, kurma dan tisu, semata-mata ingin meraih pahala walaupun kecil.

 

Pendek kata, kita akan jumpa ramai orang baik di tanah suci. Maha Suci Allah, Allah Maha Besar, tiada perkataan yang dapat diungkapkan tentang kekuasaan Allah dan keajaiban bumi suci itu. Sesungguhnya menjadi tetamu Allah merupakan nikmat yang tiada tandingnya. Terima kasih Allah.  

 

Bersambung…


Di luar perkarangan Masjid Nabawi

 

Antara tempat / kiosk yang menerima sedekah / infaq / waqaf di Mekah


Kisah Haji Kami – Bahagian 5 (Madinah yang damai)


Pukul 5.50am kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah Al-Munawwarah. Suasana di lapangan terbang sudah terang seperti pukul 7 pagi di Malaysia. Solat menghormati waktu Subuh telah dibuat semasa dalam kapal terbang. Jemaah terus diarahkan naik bas untuk ke hotel penginapan. Tak perlu masuk ke dalam terminal dan tak perlu lagi berurusan dengan imigresen sebab semuanya sudah diselesaikan semasa di KLIA. Suatu kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Jemaah Malaysia. Alhamdulillah.

 

Lebih kurang 7 pagi, kami tiba di Hotel Anwar Movenpick. Hotel yang sama yang kami pernah diami semasa menunaikan umrah lebih kurang 10 tahun yang lepas. Kata orang, KT kami beruntung kerana hotel ini paling dekat dengan Masjid Nabawi. Syukur sekali lagi.

 

Keadaan hotel tidak banyak berbeza daripada 10 tahun yang lalu. Kami mengimbau kenangan lama. Waktu tu kami dapat bilik berdua. Kali ini berempat. Rakan-rakan sebilik semuanya jemaah dari Putrajaya dan lebih kurang sebaya sahaja, tidak sukar untuk menyesuaikan diri.

 

Hari pertama (hari tiba) tiada apa-apa program dari pihak TH. Jemaah bebas melakukan aktiviti sendiri. Jadi, setelah mengalas perut dan qada’ solat Subuh, kami terus ke Masjid Nabawi untuk persediaan solat Zohor. Oleh kerana kami pernah tinggal di hotel ini, maka tiada masalah untuk mengenal jalan ke masjid. Memang sangat dekat. Keluar dari bangunan hotel, berjalan beberapa meter terus sampai perkarangan masjid. Alhamdulillah, tak sangka akhirnya dikurniakan rezeki dan kesihatan untuk menjejakkan kaki lagi di bumi suci ini. Madinah yang mendamaikan.

 

Kisah Haji Kami – Bahagian 4 (Hari Keberangkatan)

Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Tarikh pendaftaran di Movenpick KLIA ialah pada Selasa 28 April 2026, pukul 8.15 malam (KT36B). Penerbangan ke Madinah dengan Saudi Airlines. Walaupun kami memilih untuk ke Mekah dahulu, tetapi pihak Tabung Haji (TH) menetapkan kami ke Madinah dahulu. Kami akur sahaja dan pasti ada hikmahnya.

 

Kami pilih ke Mekah dahulu kerana fikir biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kami bercadang setelah selesai menyelesaikan kerja-kerja haji dan menyempurnakan semua rukun dan wajib haji barulah lega dan boleh tenang-tenang sahaja di Madinah kelak. Tetapi kita hanya merancang, Allah dah tentukan apa yang lebih baik. Ke Madinah dahulu juga bagus. Di Madinah, kita boleh menyesuaikan diri dengan lebih tenang. Kita dapat mengatur masa, mengenali kepelbagaian tingkah laku manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia, membiasakan diri dengan cuaca dan makanan dan bermuhasabah diri sebelum betul-betul menumpukan kepada ibadat haji.

 

Perjalanan ke Movenpick sebenarnya hanyalah mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja dari rumah kami. Awalnya kami bercadang hendak bergerak selepas solat Asar. Namun, bimbang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas kerana waktu orang balik kerja, tayar bergolek seawal pukul 4.00 petang. Semua anak-anak dan adik beradik saya, ibu dan beberapa orang ipar dan biras turut sama menyertai rombongan ke Movenpick.

 

Lebih kurang 4.50 petang kami tiba di Movenpick. Kami ambil tempat di depan dewan, berkumpul dan meletakkan bekalan yang dibawa. Masa tu, belum ramai orang lagi. Selesai solat Asar di masjid, orang ramai mula memenuhi. Saya bawa bekal kuih karipap, popia sira, nona manis dan air mineral. Bolehlah buat alas-alas perut bagi mereka yang turut serta dalam rombongan… hehehehh..  Saya tengok keliling dah macam pesta. Ramai yang dah bentang tikar, dah keluarkan segala juadah. Meriah!

 

Pukul 6 petang Jemaah dipanggil untuk mengambil gelang bertuah, lencana dan sling bag. Ada dua lencana diberi iaitu kad tabung haji dan kad nusuk. Gelang besi mula dipakai dan sling bag pun mulalah penuh barang.

 

Sebaik sahaja selesai solat Maghrib, lebih kurang 8.15 malam, Jemaah dipanggil masuk ke dewan. Masa tu masing-masing pun mulalah bersalaman dan berpelukan. Ada lah sedikit air mata meleleh juga. Tapi terus terang, saya tak lah rasa sedih sangat. Saya percaya saya dah persiapkan diri dengan sebaiknya dan saya telah pun buat perancangan yang rapi untuk meninggalkan anak-anak. Saya menerima jemputan Allah dengan gembira dan hati yang lapang dan sepanjang masa membuat persediaan, saya juga redha jika saya pergi tidak kembali. Wasiat telah siap saya tulis, pesanan untuk anak-anak pun telah saya titipkan secara bertulis, duit belanja telah ditinggalkan secukupnya dan penjaga serta peneman kepada anak bongsu saya juga telah diuruskan. Tiada apa yang perlu saya risaukan.

 

Sebaik masuk ke dewan, passport dan bagasi diserahkan. Berat beg saya 26.6kg manakala suami saya 24kg. Alhamdulillah, lega beg dah selamat masuk. Setelah selesai urusan beg, lebih kurang pukul 9 malam, kami diberi makan nasi goreng cina dan taklimat ringkas oleh pihak TH. Setelah azan dilaungkan, kami bergerak naik bas menuju ke lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiringi oleh polis. Waktu tu lebih kurang pukul 10 malam. Setibanya di KLIA, terus check-in di Imigresen Arab Saudi dan duduk berehat menunggu dipanggil untuk boarding.

 

Pukul 1.15 pagi kami dipanggil masuk ke dalam kapal terbang dan lebih kurang pukul 2.15 pagi kapal terbang pun mula bergerak. Labbaikallahummalabbaikkk…   

 

Bersambung……



Kisah Haji Kami – Bahagian 3 (Persiapan)

Tawaran haji kami ialah dengan Muassasah. Harga yang dikenakan ialah RM22,500 iaitu kategori M40. Walaupun saya seorang suri rumah, saya tidak layak untuk mendapat harga B40 iaitu RM15,000 kerana nama saya tiada dalam data penerima bantuan sara hidup daripada kerajaan (RAHMAH). Hal ini telah pun saya ambil maklum sebelum-sebelum ini lagi melalui khabar-khabar daripada mereka yang telah mendapat tawaran pada tahun-tahun lepas. Jadi, pada saya tiada gunanya untuk merayu kepada Tabung Haji (TH), sementelah pula pada tahun ini TH malah menggalakkan bakal-bakal haji membayar kos penuh iaitu RM33,300.

 


Ada juga Jemaah yang mendapat tawaran Muassasah tapi memilih untuk mengikut Pengelola Jemaah Haji (PJH) atau yang sering orang sebut “pakej”. Terdapat banyak PJH yang diiktiraf oleh TH dan terpulanglah kepada poket masing-masing untuk membuat keputusan. Tips daripada ustaz yang membimbing kami di Kursus Asas Haji ialah pastikan di mana lokasi tempat tinggal semasa di Masyair yang ditawarkan oleh PJH. Katanya, kalau harga pakej yang sedikit sahaja mahal daripada Muassasah biasanya kemudahannya pun lebih kurang sahaja dengan Muassasah. Tetapi kalau pakej yang beratus ribu tu, besar kemungkinan layanannya memang istimewa.

 

Biasanya setiap tahun TH akan anjurkan karnival bersama PJH di Movenpick KLIA. Para bakal haji yang berminat untuk mengerjakan haji dengan PJH, bolehlah ke sana untuk melihat sendiri tawaran yang diberikan dan boleh berbincang terus dengan pihak yang berkenaan. Saya dan suami memang dari awal lagi tidak bercadang untuk mengambil pakej, maklumlah kocek tidak berapa berisi… hihihi..

 

Persiapan untuk ke tanah suci dibuat dengan debaran. Pelbagai maklumat diterima daripada beberapa group whatsapp dan facebook, juga semasa kursus. Kalau ikutkan, macam-macam benda nak bawa sampai tak muat beg. Checklist dibuat – berhelai-helai. Apa sahaja orang sebut, saya masukkan dalam list. Kalau tak bawa takut nanti nak guna. Tapi kalau nak bawa semuanya memang tak lepas had 30kg bagasi ni.

 

TH beri satu beg tarik (hand carry) untuk muatan 5kg dan satu beg selempang (sling). Tahun ini beg tariknya agak canggih. Boleh ditanggalkan dari besi beroda dan dijadikan beg sandang. Siapa yang tak mahu tarik, dan kuat untuk mengangkut beban, maka bolehlah sandang sahaja beg ini. Beg ini penting kerana inilah beg yang biasanya akan bersama-sama jemaah pada setiap perjalanan. Biasanya dalam beg ini akan diisikan dengan sepersalinan pakaian, ubat-ubatan dan sedikit barang-barang pembersihan diri (toiletries) seperti berus dan ubat gigi dan sabun. Beg ini boleh dibawa naik ke dalam kabin kapal terbang (hand carry).        

 

Sling bag pula digunakan untuk mengisi dokumen penting seperti passport, duit dan barang-barang peribadi yang penting. Kalau nak tahu, beg saya ini dah macam poket Doraemon. Macam-macam ada - cermin mata, tisu, tisu basah, buku yasin, buku mathurat, buku nota kecil, buku doa, tasbih, gula-gula, botol air minuman, botol spray wudhu, sejadah, telekung, payung dan powerbank. (Semasa di Mekah, sos pun saya bawa dalam beg ini sebab mana tau kadang-kadang mungkin nak makan ayam goreng!) Kata orang, beg inilah yang paling power di tanah suci. Askar, polis dan pekerja-pekerja di tanah suci kalau nampak jemaah yang pakai beg ini, akan diberi layanan istimewa. Sebab apa? Sebab di beg berwarna merah ini terpampang bendera Malaysia dan logo Tabung Haji. Kononnya Jemaah Malaysia biasanya diberi layanan baik. Betul ke tak? Wallahua’lam.

 

Selain daripada dua beg ini, TH tak bagi beg besar. Gunalah beg sendiri kalau dah ada, atau belilah baru. Saya beli sebiji di Shopee, murah sahaja dan tahan elok sehingga pulang. Tak perlu pun nak beli yang mahal-mahal di kedai. Berat bagasi yang dibenarkan ialah 30kg. Jadi timbanglah dahulu supaya tak kena caj lebihan. Cuma satu yang saya nak nasihatkan, seeloknya beli beg yang boleh buka di satu permukaan sahaja, yakni tak perlu nak kena buka dua-dua bahagian beg seperti mana yang banyak dijual di pasaran. Sebabnya…. Ruang di bilik hotel Jemaah muassasah yang biasanya dikongsi berempat atau berenam adalah sempit. Kalau masing-masing nak buka beg serentak, memang tak muat! Sarung beg pun penting juga supaya dapat lindungi beg dan kita pun dapat kenal pasti beg kita dengan lebih mudah. Di Shopee banyak jual sarung beg, tapi kebetulan saya jumpa di Mydin dan harganya lebih murah.

 

Kisah Haji Kami – Bahagian 2 (Dokumentasi)

Selepas menerima surat tawaran dan selesai menjalani pemeriksaan kesihatan, perkara yang paling penting ialah menjawab setujuterima tawaran di laman web THjari. Tawaran ini ada tempoh sah lakunya. Jadi pastikan jangan terbabas pula. Sekarang ini, semuanya berlaku dalam talian sahaja. Tak perlu hadir ke pejabat Tabung Haji (TH) dan tak perlu cetak semua dokumen.

 

Seterusnya, kita diwajibkan mengambil suntikan Meningococcal dan dua suntikan tambahan yang tidak wajib tetapi digalakkan iaitu Influenza dan Pneumococcal. Vaksin untuk Covid 19 tidak perlu ambil lagi kerana masih dalam tempoh sah. Jika buat pemeriksaan kesihatan di klinik kerajaan, biasanya mereka akan bagi suntikan wajib ini sekali secara percuma. Jika mengambil suntikan di klinik swasta, harganya pelbagai. Ada yang menawarkan pakej kombo dua atau tiga vaksin sekaligus dengan sedikit penjimatan. Jadi, bolehlah survey klinik/hospital mana yang lebih murah. Pastikan semua suntikan yang kita ambil telah pihak klinik/hospital rekodkan di dalam MySejahtera.

 

Bagi yang sudah ada passport antarabangsa, pastikan tempoh masih sah seperti yang disyaratkan oleh TH. Jika passport sudah tamat tempoh atau bagi yang belum pernah ada passport, pihak imigresen ada menawarkan diskaun sebanyak RM100 kepada bakal haji. Caranya ialah pergi ke kaunter di mana-mana cawangan imigresen dengan membawa bersama surat tawaran haji. Diskaun ini tidak terpakai bagi permohonan dalam talian. Saya pergi ke pejabat imigresen di Putrajaya dan urusan selesai dalam masa yang singkat sahaja. Ada laluan khas untuk bakal tetamu Allah dan bayaran cuma RM100 sahaja. Alhamdulillah. (Untuk tahun hadapan, saya tak pasti)

 

Memandangkan zaman teknologi kini, banyaklah aplikasi (Apps) yang seterusnya kita kena muat turun. Bagi warga emas yang tidak mahir menggunakan telefon pintar terpaksalah belajar atau pun meminta bantuan anak-anak. Antara aplikasi yang perlu dimuat turun ialah Saudi Visa Bio, MyNIISe, Nusuk, Muhsen dan THhujjaj. Saya andaikan yang masing-masing sepatutnya sudah ada aplikasi Thjari dan Mysejahtera.


     

 

Kisah Haji Kami – Bahagian 1 (Tawaran & Pemeriksaan Kesihatan)

Ini ialah cerita tentang perjalanan haji saya dan suami. Cerita dari mula, sebelum bermulanya permusafiran sehinggalah selesai pulang ke tanah air. Agak panjang dan peribadi. Blog ini jarang ada pembaca luar, jadi saya rasa selesa untuk menulis di sini buat tatapan anak cucu di kemudian hari.😊

 


Secara jujurnya, perjalanan haji kami biasa sahaja tetapi ada sedikit ujian pada awalnya. Kami mendaftar haji pada bulan Ogos 2009. Seperti mana kebanyakan orang, kami mendaftar setelah rasa duit dah cukup untuk pergi haji. Tak tahu yang rupa-rupanya dengan deposit RM1,300 sahaja dah boleh daftar haji. Justeru itu anak-anak pun yang semuanya telah kami bukakan akaun Tabung Haji (TH) sejak bayi, kami daftarkan juga. Tahun giliran mereka ialah pada tahun 2081/1504H iaitu 55 tahun lagi!.

 

Menurut rekod di TH pada waktu mendaftar, tahun peruntukan haji kami ialah pada 2027/1448H. Pada tahun 2015, kami mengikuti Kursus Asas Haji (KAH) di Masjid Puchong Perdana dan membuat rayuan haji, tetapi tidak berjaya. Pada tahun yang sama, TH Travel & Services (THTS) ada memberi tawaran untuk menyertai pakej haji bersama mereka. Pada ketika itu harga pakej ialah sekitar RM35,000 – RM190,000. Atas kekakangan kewangan, kami tidak menerima tawaran tersebut. Itulah sekian kalinya kami membuat rayuan dan selepas itu kami tidak buat rayuan lagi. Namun, apabila hati sudah terbuka untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, pada hujung tahun 2015 itu, saya dan suami pergi menunaikan umrah buat kali pertama. Betullah apabila Allah telah seru, maka hamba-Nya tidak akan teragak-agak lagi untuk menyahutnya.

 

Pada tahun 2018, semasa membuat semakan, kami dapati tahun giliran kami telah beranjak ke tahun 2026/1447H. Jadi bersandarkan pada itu, kami membuat keputusan untuk menunggu sahaja giliran kerana mungkin itu yang terbaik Allah telah tetapkan. Kami risau jika beriya-iya buat rayuan tanpa alasan yang kukuh, hanya semata-mata kerana nak cepat tunaikan haji, mungkin itu bukan yang terbaik buat kami.

 

Tahun demi tahun berlalu tanpa kami kisahkan tentang haji sebab percaya pada giliran kami. Cuma apabila tempohnya makin hampir, kami mula buat perancangan tentang perkara-perkara besar dengan mengambil kira kemungkinan ada panggilan haji. Misalnya, perancangan membina rumah dan perkahwinan anak sulung, kami rancang dengan rapi supaya tidak menjejaskan peluang kami ke tanah suci jika ditawarkan. Alhamdulillah, segala perancangan Allah izinkan.

Thursday, 5 March 2026

Dunia maya yang makin mencabar

Salam....

Umur saya dah lebih setengah abad. Saya rasa saya dah tua. Badan semakin tak kuat, banyak fungsi yang dah tak boleh dimaksimakan. Huhuhu... Tapi saya percaya ramai orang di luar sana yang sebaya saya yang sihat walafiat, tiada sakit, tidak rasa tua dan sangat jauh berbeza fizikal dan mental dengan saya. Hmmm... tak payah tengok jauh lah... suami saya sendiri je, dia rasa dia belum tua, selalu perasan muda lagi. Lantak pi lah... :p

Saya suka ukur baju di badan sendiri. Kalau saya rasa saya tak kuat, saya mengaku. Kalau saya rasa tak boleh buat, saya minta bantuan. Kalau saya rasa saya tak tahu, saya tak buat-buat pandai. Mudah je... tak rugi apa pun kalau mengaku lemah. Lemah tak bererti kalah....kan?

Di kala usia yang makin lanjut ni, nak menulis pun jadi semakin malas. Ada beberapa artikel yang saya tulis separuh jalan masih tersimpan sebagai draf dan rasa macam dah basi untuk dipost. Terutamanya artikel berkenaan perkongsian makan angin saya. Dah terperam dekat 10 tahun rasanya... mungkin dah tak relevan pun nak dikongsi lagi.

Dunia maya sekarang memang makin mencabar, terlampau bebas, ekstrim, laju dan tak terkejar dek orang tua lemah macam saya. Tapi saya tak kisah sangat pun. Sehingga hari ini saya masih tiada akaun tik tok dan instagram dan tak pernah rasa rugi pun. Kalau nak tahu pasal dunia, saya jenguk-jenguklah di twitter/X dan facebook sahaja. Sangat konservatif!.

Baru-baru ni kecoh orang pertikai (condemn) pempengaruh masakan. Katanya resepinya tak betul, mencemarkan resepi asal dan macam-macamlah. Saya takde lah nak ambil pot sangat pun pasal ni. Netizen biasalah, benda kecil pun suka je nak besar-besarkan. Cuma saya terfikir, kalaulah sang pengkritik tu semua tengok resepi yang saya kongsikan di blog ini, mahu teruk saya dikecam hingga tutup blog lah agaknya kot. Hahaha...

Saya ni pun jenis yang tak strict to book sangatlah. Ada kalanya kita buat apa yang dan je lah. Nak buat apa menyusahkan diri sangat kan... Hidup ini subjektif. Terlampau rigid akan membuatkan kita stress. Jadi bak kata anak-anak, chill2 aje lah... tak payah stress2. Hmmm betullah tu... :)








Alahai budak asrama...!

Saya ni bukanlah anti budak asrama. Saya sangat tahu bahawa banyak kelebihan memasukkan anak-anak ke sekolah berasrama penuh. Sebab tu ramai ibu bapa yang beriya-iya nak anak mereka masuk asrama. Pelbagai usaha dibuat untuk memastikan anak-anak dapat belajar di sekolah berasrama penuh (SBP) termasuklah MRSM. Sebagai satu kemenangan jika berjaya. Cuma yang menghairankan saya, bila dah hantar anak ke asrama tu, biarlah mereka hidup berdikari. Ini tidak! Tiap-tiap hujung minggu pergi jenguk anak. Kalau yang dekat ok lagi tapi yang jauh pun sanggup memandu beratus kilometer semata-mata nak jenguk anak. Sibuklah nak hantar makanan, macam di asrama tak diberi makan. Sibuk jugalah asal ada peluang nak bawa anak balik. Tak faham lah...!

Sepatutnya kalau kita dah buat keputusan nak anak duduk di asrama, berilah sepenuh kepercayaan supaya mereka dapat hidup berdikari. Tak payah lah dok risau sangat. Kalau sayang sangat anak tu, tak sanggup berpisah, tak percaya anak boleh hidup berdikari, maka tuan puan tak payahlah sibuk nak masukkan anak ke asrama. Tiru je lah macam saya! Hahahaa... Anak saya pun pernah dapat tawaran SBP tapi siang malam saya menangis sebab tak sanggup berpisah. Akhirnya tak jadilah. Sampailah dah lepas SPM baru saya bersedia melepaskan mereka tinggal di asrama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Bila dah bersedia, takde lah sedih dan risau tak pasal-pasal. Haissshhhh....






Tuesday, 3 March 2026

Syurga dunia

Assalamualaikum...


Cepat betul masa berlalu, tanpa disedari sudah lama betul tidak menulis di sini. Memang betullah kita disibukkan dengan hal dunia yang bermacam-macam sampai kadang terleka.

Tahun lepas (2025) memang tahun yang sibuk buat keluarga saya. Anak sulung kami sudah tamat belajar dan sudah pun mempunyai kerjaya yang diidamkan. Kami juga sudah menerima menantu. InsyaAllah tahun ini bakal menimang cucu pula, Alhamdulillah.

Kami juga sudah genap setahun tinggal di rumah sendiri. Di kampung yang aman yang turut didiami oleh pelbagai jenis haiwan. Tak pernah sunyi dengan bunyi kicauan burung seawal Subuh hingga ke senja. Saban hari juga dilawati sang monyet dan kerabatnya menunjuk aksi sambil sesekali merosakkan tanaman. Alhamdulillah, itu sahaja yang mampu saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepada kami. 

Anak kembar saya sudah pun di Tahun Akhir pengajian Ijazah mereka di Universiti Malaya. Mereka sekarang sibuk untuk menamatkan latihan di dalam Pasukan Pegawai Latihan Simpanan (PALAPES). Syukurlah mereka gembira dengan pilihan yang mereka buat. Oh ye.. saya dulu pun pernah berangan nak menyertai PALAPES tapi tak kesampaian kerana tiada kawan. Hahaha... mestilah orang-orang yang mengenali saya akan berasa kelakar mendengar pengakuan ini. 

Anak keempat saya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Asasi. Alhamdulillah, beliau mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Saya risau juga kerana saban masa dia asyik bermain game di handphone. Mujurlah keputusan tidak mengecewakan. InsyaAllah pertengahan tahun ini tamatlah Asasi dan akan melanjutkan ke peringkat Ijazah pula.

Anak bongsu saya yang comel telah berpindah sekolah mulai tahun lepas lagi kerana kami berpindah rumah. Saya tahu beliau sedih juga sebab terpaksa meninggalkan kawan-kawan baik tapi apa boleh buat... hidup perlu diteruskan. Cuma di sekolah baru beliau tak dapatlah lagi meneruskan pengajian Kelas Aliran Agama (KAA) kerana belum dilaksanakan lagi di sini. Saya agak surprised juga dengan prestasi anak bongsu saya ini. Sejak dari sekolah lama, beliau masih mengekalkan kedudukan pertama di dalam tingkatan semasa peperiksaan. Kagum juga saya. Saya risau pembelajarannya terganggu dengan persekitaran dan kawan-kawan yang baru. Namun syukurlah beliau dapat menyesuaikan diri dengan baik. Saya berdoa agar beliau terus kekal bersemangat untuk belajar dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun hadapan.

Suami saya pula sudah bertukar tempat kerja. Lebih hampir dengan sekolah anak bongsu saya dan lebih hampir juga dengan rumah. Itulah nikmat kurniaan Tuhan yang tidak diduga.

Segala puji bagi Allah atas limpah kurnia nikmat-Nya kepada kami. Hidup kami sederhana, tidak mewah tapi kami bahagia. Alhamdulillah anak-anak saya berjaya dalam pelajaran di hadapan mata saya tanpa perlu didesak dan diasak mengikut trend semasa. Saya bersyukur kerana nikmat tidak perlu makan gaji dan dapat menumpukan sepenuh masa terhadap rumah tangga. Inilah syurga dunia yang sangat disyukuri. Tinggal satu sahaja lagi hajat saya dan suami, ingin menjadi tetamu-Nya tahun ini. Semoga menjadi kenyataan tanpa sebarang halangan.

Ya Allah, aku bersyukur di atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami dan sesungguhnya kepada Engkau sahaja kami meminta-minta.

"Maka Nikmat Tuhan mana lagi yang kau dustakan...".... Surah Ar Rahman      









Wednesday, 15 January 2025

Buat atau beli rumah?

Kalau tengok iklan-iklan di web, terutamanya oleh golongan kontraktor, kita mesti biasa terjumpa kata-kata macam ini ---> "Buat apa beli kalau boleh buat sendiri?"

Ramai yang kata kenapa berhabis duit membeli rumah yang dah siap jika kita boleh membuat sendiri rumah impian dengan harga yang lebih murah!

Kalau tengok statement ini, memang menarik! Siapa yang tak nak memiliki rumah impian dengan harga yang lebih murah? Semua mesti mahu kan!

Tetapi sebenarnya, pada pendapat saya, itu hanyalah indah khabar dari rupa. Mungkin ada yang tidak bersetuju, tapi di artikel ini, saya ingin kongsikan kenapa saya berkata demikian. Sekali lagi, ini hanyalah pendapat peribadi saya, kalau tak suka, abaikanlah.

Sekarang ini, harga sebuah rumah baru di Lembah Kelang, dibeli daripada pemaju adalah dalam anggaran RM700,000.00 - RM800,000.00. Ini adalah bagi rumah teres lot tengah dengan anggaran keluasan binaan 1,500 - 1,800 kaki persegi. Memang mahal! 

Manakala jika ingin membina rumah sendiri, harga yang banyak disebut-sebut oleh kontraktor adalah di sekitar RM180.00 - RM200.00 per kaki persegi. Sebagai pengiraan mudah, andaikan luas rumah yang sama seperti di atas, harga kasar rumah jika dibina sendiri ialah dalam anggaran RM270,000.00 - RM360,000.00. Nampak menarik bukan?