Wednesday, 15 January 2025

Jual Rumah – Bahagian 1

    Ini adalah perkongsian pengalaman saya menjual rumah. Rumah yang saya beli dan pernah diami selama beberapa tahun, dan kemudian saya jual atas sebab-sebab tertentu. Saya bukanlah agen hartanah.

    Rumah pertama ialah di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor. Bukit Sentosa ini terletak bersebelahan dengan Bukit Beruntung. Mungkin ramai yang lebih familiar dengan Bukit Beruntung. Secara jujurnya, saya beli rumah di kawasan itu kerana pernah curi-curi dengar ibu bapa saya bercerita berkenaan kawasan tersebut dan mereka seakan berminat. Untuk menggembirakan hati mereka, dalam diam-diam  saya menggunakan pinjaman perumahan kakitangan (ketika itu saya bekerja di bank) untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat yang berkeluasan 18’ X 65’. Harga jualan ialah RM79,000.00 sahaja. Pada tahun 1990an harga itu memang murah, kalau sekarang tentulah lagi.

    Kami pernah tinggal di rumah tersebut selama lebih kurang 2-3 tahun sahaja. Berulang-alik dari Rawang ke Kuala Lumpur memakan masa lebih sejam. Keluar gelap, balik pun dah gelap. Keadaan rumah pula sejak handing over memang kurang memuaskan. Banyak kerosakan dan kecacatan. Talam Corporation / Maxisegar ialah pihak pemaju yang tidak bertanggung jawab. Sehingga tamat tempoh DLP (Defect Liability Period) rumah masih tidak dibaiki dengan sempurna. Selepas melahirkan anak kembar, kami membuat keputusan untuk meninggalkan rumah tersebut. Tidak sanggup rasanya menempuh kesesakan lalu lintas setiap hari dengan tanggungjawab sebagai ibu yang semakin bertambah dengan bertambahnya bilangan anak.

    Ketika itu projek jalanraya di kawasan itu masih belum bermula, malah mungkin belum ada dalam perancangan pun. Jalan pintas Rawang (Rawang Bypass) belum wujud. Kawasan Bukit Beruntung yang kononnya akan membangun dengan banyaknya projek pembangunan yang dicadangkan, nampaknya tidak menjadi. Banyak rumah di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa yang terbengkalai, tidak berpenghuni, ditinggalkan begitu sahaja. Tidak terkira banyaknya rumah yang dilelong. Banyak rumah yang tidak pernah didiami sejak dibeli menjadi semakin buruk dan usang.

    Rumah tersebut kami dapat sewakan selama beberapa bulan. Sewa bulanan hanya RM200.00 sahaja. Memang tak pulang modal untuk bayar ansuran pinjaman pun. Namun, penyewa tak kekal lama. Maklumlah banyak pilihan. Rumah kosong merata-rata.

    Setelah beberapa tahun terbiar kosong, kami nekad untuk melepaskannya daripada terus menanggung kerugian. Pada ketika itu media sosial tidak lagi berperanan penting. Kami cuma mengiklankan dengan cara menampal nombor telefon di tingkap rumah. Alhamdulillah, dengan izin Allah ada yang menghubungi dan berminat.

    Proses jual beli pada ketika itu saya rasa agak mudah dan tidak mengambil masa terlampau lama. Mungkinlah kerana kami menjual dengan harga murah, bukan sahaja di bawah harga pasaran, malah lebih rendah daripada harga belian. Semua urusan kami lakukan sendiri tanpa bantuan agen hartanah.

    Saya tidak ingat berapa lama keseluruhan proses selesai sebab sudah lebih 10 tahun berlalu. Seingat saya, pernah berjumpa dengan pembeli sekali sahaja untuk menyerahkan kunci rumah dan kemudian urusan dokumentasi diuruskan oleh peguam. Tiada sebarang keuntungan yang kami dapat, tapi hasil jualan cukup-cukup untuk menyelesaikan pinjaman perumahan. Walaupun rugi, saya puas hati.

Tinggal kenangan

    Rumah kedua yang saya jual memberi pengalaman yang menguji kesabaran. Berbeza sekali dengan pengalaman menjual rumah pertama, proses jual beli rumah kedua ini mengambil masa hampir dua tahun untuk selesai. Lama kan! Sebagai panduan dan rujukan untuk diri saya sendiri, saya akan menulis secara terperinci di dalam artikel seterusnya. Manalah tahu mungkin ada juga pembaca yang ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan ini. Teruskanlah membaca!











No comments:

Post a Comment