Wednesday, 15 January 2025

Kisah Rumah Lagi...

        Dalam tiga artikel sebelum ini saya dah ceritakan kisah saya menjual rumah dan akhirnya tinggal di rumah sewa sahaja.

        Sebenarnya, tinggal di rumah sewa atau di rumah sendiri atau tinggal di rumah ibu bapa / keluarga, bukanlah ukuran kebahagiaan dan kemewahan seseorang individu / sesebuah keluarga. Masing-masing mempunyai citarasa dan rezeki yang telah Allah tentukan. 

        Pernah terdetik di fikiran saya mencemburui rakan-rakan sebaya yang telah pun hidup selesa di rumah milik masing-masing. Pernah juga iri hati melihat rakan-rakan sebaya yang mampu hidup di rumah mewah sedangkan tahap pendidikan dan kerjaya kami setaraf sahaja.

        Namun, bila direnungkan kembali, benarlah kebahagiaan itu bukan terletak pada rumah milik siapa. Masing-masing dengan rezeki masing-masing yang Allah kurniakan. Rezeki saya mungkin bukan pada memiliki rumah mewah di usia muda, mungkin juga bukan pada harta benda, tapi rezeki saya ialah keluarga yang sederhana, hidup bahagia dan tenteram kurniaan Tuhan. Alhamdulillah, bersyukurlah kita seadanya.
 
        Sebenarnya setiap pilihan itu ada baik buruknya bergantung kepada cara penerimaan kita sendiri. Misalnya, ada orang yang memilih untuk hidup di rumah sewa sepanjang hayatnya, bukan kerana tidak mampu membeli rumah sendiri, tetapi kerana rasa lebih selesa tidak terikat dengan sebarang komitmen dan hutang. Iya lah, jika hendak memiliki rumah sendiri, sebenarnya ada juga banyak kos tersembunyi selain daripada harga rumah. Bayaran bulanan pinjaman bank, bayaran cukai tanah dan cukai pintu, insurans, bayaran penyelenggaraan adalah contoh komitmen yang perlu dilangsaikan mengikut masa. Semua ini mungkin tidak perlu diambil peduli sekiranya menyewa ~ hanya pastikan bayaran sewa rumah dibuat setiap bulan dan hal-hal lain tuan rumah yang akan uruskan.

        Tetapi bagi yang berfikiran lebih konvensional, memiliki rumah sendiri seperti suatu kemestian bila sudah berumahtangga. Tak kira lah rumah pangsa, teres atau apa pun, asalkan mempunyai rumah atas nama sendiri (walaupun sebenarnya masih dicagarkan kepada bank) sudah cukup memuaskan. Golongan ini akan rasa puas hati kerana tidak perlu memikirkan risiko "dihalau" tuan rumah dan tiba-tiba perlu berpindah. Hinggakan ada yang berfikir, kalau aku mati, mati di rumah sendiri, sekurang-kurangnya anak bini ada tempat berteduh dan tidaklah merempat.

        Kedua-dua pemikiran tidak salah. Kedua-dua pilihan ada baik buruknya. Bergantung kepada gaya hidup dan perancangan masa depan masing-masing, kedua-dua pilihan boleh mendatangkan banyak faedah jika direncana dengan baik dan tidak mustahil juga mendatangkan musibah jika tidak kena caranya. Jadi, tepuk dada, tanya selera.

           
        Sekadar berkongsi pengalaman, saya dan suami pernah membeli sebuah pangsapuri pada awal perkahwinan, dengan harga yang berpatutan, dengan tujuan sebagai pelaburan. Alhamdulillah setakat ini masih mempunyai penyewa dan merupakan pelaburan yang menguntungkan. Namun, sekali sekala, tatkala rumah tidak mempunyai penyewa, atau ketika menghadapi kerenah penyewa yang mendukacitakan, terlintas juga di fikiran untuk leburkan sahaja pelaburan kami ini.

        Kami adalah golongan konvensional yang berfikir memiliki rumah sendiri itu adalah kemestian. Rumah kedua dibeli kononnya untuk didiami sebab telah pun mempunyai seorang cahaya mata. Hendak hidup dengan keluarga sendirilah cadangnya. Namun faktor jarak dan masa membantutkan perancangan. Kami kemudiannya berpindah ke rumah sewa yang berhampiran dengan rumah ibu bapa saya dan meninggalkan rumah pembelian kami kosong.

        Tak lama selepas itu, oleh kerana ahli keluarga makin bertambah, kami membeli sebuah lagi rumah yang lebih hampir dengan rumah ibu bapa saya, dengan harapan akan tinggal di situ hingga akhir hayat. Namun kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Rumah kesayangan kami terpaksa ditinggalkan dan kami kemudiannya tinggal di kuarters kerajaan.

        Pengalaman tinggal di kuarters kerajaan selama tujuh bulan di Malaysia Timur membuka minda kami. Sekembalinya kami ke Lembah Kelang, kami terus memohon menetap di kuarters kerajaan kerana rumah milik kami telah pun ada penyewa dan tidak sampai hati untuk menamatkan kontrak yang belum pun cukup setahun. Sedar tak sedar, kami telah menginap di kuarters selama lebih 10 tahun. Keselesaan hidup tanpa gangguan "tuan rumah" serta potongan elaun perumahan yang berbaloi berbanding dengan sewa rumah biasa, membuatkan kami alpa. Patutlah sukarnya nak dapatkan kuarters, rupa-rupanya ramai penjawat awam suka tinggal di kuarters dan sukar nak lepaskan. Walaupun keadaan rumah mungkin ada yang sedikit uzur, tetapi kemudahan dan keselesaannya mengatasi segalanya. 

        Oleh kerana hilang kelayakan menduduki kuarters semasa, kerana berpindah tempat kerja, maka kami kemudiannya membuat keputusan untuk menyewa. Kedua-dua rumah teres yang kami beli sebelum ini telah pun dijual. Kami serik untuk membeli rumah lagi apabila memikirkan kos dan kerenah yang dilalui. Kami sudah tidak lagi berfikir seperti golongan konservatif. Kami fikir agak mudah juga jika sekadar menyewa. Kalau tak suka, boleh pindah dan cari rumah lain, di kawasan lain. Kami menyewa lebih kurang tiga tahun dan kemudiannya berpindah lagi....

        Kami harapkan ini adalah perpindahan rumah kami yang terakhir di dunia ini. Rumah yang kami bina atas tanah sendiri. Umur pun dah nak hampir ke umur persaraan. Sudah cukup merasa tinggal bersama ibu bapa, tinggal di rumah sendiri, tinggal di kuarters dan tinggal di rumah sewa. Harapnya kami dapat "settle down" di rumah yang kami bina. Tanah ini kami telah beli hampir 10 tahun lalu namun untuk merealisasikan impian membina rumah sendiri di atas tanah ini bukanlah mudah. Insya Allah, di artikel akan datang, saya akan ceritakan pula pengalaman membina rumah sendiri. Wallahua'lam.         


Gambar hiasan - sumber google




No comments:

Post a Comment