Friday 21 October 2016

Lambaian Kaabah

Assalamualaikum..

Sudah hampir setahun saya memeram artikel-artikel ini. Kadang-kadang fikir nak kongsi pengalaman, tapi kadang-kadang risau jika disalah-tafsirkan.

Pengalaman saya menjejakkan kaki buat pertama kali ke tanah suci dan mengerjakan umrah buat pertama kali dalam hidup ini, mungkin bukanlah suatu pengalaman yang hebat bagi sesetengah orang. Biasa-biasa sahaja...

Saya tidak berniat untuk berkongsi tips atau 'mengajar' berkaitan ibadah ini kerana saya sangatlah tidak layak. Apa yang ingin saya kongsi cumalah sedikit pengetahuan dan pengalaman umum yang amat cetek. Bagi saya, apa yang saya lalui itu adalah suatu perkara yang baru tapi bagi orang lain mungkin itu tiada apa-apa signifikannya. Jadi, kalau ada yang "baru" seperti saya, harap boleh manfaatkan serba sedikit apa yang saya kongsi. 

Segala yang baik itu adalah dariNya, segala yang buruk itu adalah atas kelemahan saya. Wallahu'alam. 


Doa

Berdoa ~ nampak sangat simple tapi sering diabaikan.

Paling kurang, selepas solat, panjatkanlah doa kepadaNya, pohonlah apa sahaja padaNya. Namun saya sering alpa. Lepas solat, tak sabar-sabar nak tanggalkan telekung atas alasan panas. Baca doa, zikir ala kadar sekadar syarat. Jarang benar bersungguh-sungguh. 

Itulah lumrah manusia seperti saya. Sering lalai dan ambil mudah. Tidak sedar betapa hebatnya kuasa "berdoa". 

Pengalaman di tanah suci membuka mata saya seluas-luasnya tentang 'the power of DOA'. Memang benar kata orang, apa sahaja yang terlintas di hati secara ikhlas, walaupun tidak dilafazkan, Allah makbulkan. Subhanallah, Maha Suci Allah. Allahuakbar, Allah Maha Besar. 

Mustajabnya doa dan agungnya tanah suci itu memang sukar saya huraikan. Saya akui memang benar segala apa yang orang katakan, segala apa yang diceritakan oleh ibu bapa, saudara-mara, rakan-rakan tentang kehebatan tanah haram itu. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Di sana, segala yang kita fikirkan mustahil, tidak mustahil boleh berlaku... hanya berdoa dan berserah padaNya. Di sana, sesuatu yang sukar boleh jadi mudah. Sesuatu yang pelik boleh jadi realiti. Masya Allah.

Saya sering 'membebel' kepada anak-anak ~ kalau tak pernah minta, siapa yang nak bagi? Kalau berkehendakkan sesuatu, mesti kita minta dari ibu, abah. Dan bila diminta, kadang-kadang ditunaikan, kadang-kadang tidak. Samalah permohonan kita kepada Allah. Kalau kita tak pernah meminta, memohon apa yang dihajati, adakah Allah nak beri?

Mahu keputusan peperiksaan yang baik? Mohonlah dengan Allah. Nak pandai, cantik, bijak? Mohonlah dengan Allah. Apa sahaja permintaan, mohonlah dengan Allah. Allah tentu makbulkan kalau kena caranya. Tapi adakah kamu minta? Saya pasti jarang sangat anak-anak saya meminta dariNya.

Itulah ruginya kita. Ruginya saya kerana "lupa" hendak meminta dariNya. Pengajarannya ialah berdoalah tidak kira bila dan di mana. Bukan hanya terbatas kepada berdoa selepas solat, tetapi bila-bila sahaja kita rasa mahukan sesuatu, berdoa dan minta hanya padaNya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

Ya Allah, ampunkanlah hambaMu yang alpa ini.   

Menziarah Bumi Nabi

اللهم صل عل سيد نا محمد وعل ا ل سيد نا محمد

Bumi Madinah Al-Munawwarah pada penghujung tahun amat nyaman. Suhu yang sejuk tetapi tidak melampau, sangat selesa untuk berulang-alik ke Masjid Nabawi.

Sebagai orang yang pertama kali menjejak kaki ke bumi bertuah ini, banyak perkara yang saya tidak tahu. Menziarahi makam Nabi dan berdoa di Raudhah menjadi impian setiap yang hadir di tanah haram ini. Rupa-rupanya hendak masuk ke Raudhah bukanlah senang. Ada waktu dan peraturannya bagi orang-orang perempuan.

Nasihat saya kepada yang masih belum menjejakkan kaki ke Raudhah, persiapkanlah diri dengan kekuatan fizikal. Sebabnya, kita seakan berada di garisan lumba lari 100 meter berpagar..,.

Pertama kali dibawa masuk ke Raudhah, kononnya secara berkumpulan mengikut agen masing-masing. Namun di pertengahan jalan, saya telah terpisah dari kumpulan. Kami diarahkan supaya solat sunat - dhuha dan lain-lain sementara menunggu giliran. Namun sebaik selesai bersolat, saya dapati saya telah ditinggalkan. Tidak mengapalah... mungkin silap saya sendiri.

Menjadi Tetamu Allah

Alhamdulillah... 

Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan saya menjadi tetamuNya buat pertama kali. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda. 

Bagi kebanyakan orang mungkin dah biasa pergi ke Tanah Suci, malah ada yang dijemput sebagai tetamu Allah setiap tahun. Tapi bagi saya, dah lebih 40 tahun baru berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah. Syukur tak terhingga atas rezeki yang dilimpahiNya.



Di sini saya ingin berkongsi kisah jujur, sebagai panduan jika ada yang mempunyai jalan hidup seperti saya...