Friday, 21 October 2016

Menziarah Bumi Nabi

اللهم صل عل سيد نا محمد وعل ا ل سيد نا محمد

Bumi Madinah Al-Munawwarah pada penghujung tahun amat nyaman. Suhu yang sejuk tetapi tidak melampau, sangat selesa untuk berulang-alik ke Masjid Nabawi.

Sebagai orang yang pertama kali menjejak kaki ke bumi bertuah ini, banyak perkara yang saya tidak tahu. Menziarahi makam Nabi dan berdoa di Raudhah menjadi impian setiap yang hadir di tanah haram ini. Rupa-rupanya hendak masuk ke Raudhah bukanlah senang. Ada waktu dan peraturannya bagi orang-orang perempuan.

Nasihat saya kepada yang masih belum menjejakkan kaki ke Raudhah, persiapkanlah diri dengan kekuatan fizikal. Sebabnya, kita seakan berada di garisan lumba lari 100 meter berpagar..,.

Pertama kali dibawa masuk ke Raudhah, kononnya secara berkumpulan mengikut agen masing-masing. Namun di pertengahan jalan, saya telah terpisah dari kumpulan. Kami diarahkan supaya solat sunat - dhuha dan lain-lain sementara menunggu giliran. Namun sebaik selesai bersolat, saya dapati saya telah ditinggalkan. Tidak mengapalah... mungkin silap saya sendiri.


Perjalanan menuju ke Raudhah bagi orang perempuan agak jauh dari pintu masuk masjid. Ruang yang disediakan (karpet hijau) juga agak sempit jika dibandingkan dengan jemaah yang datang. Jadi, memang akan berlaku pergelutan dan pergeseran kerana masing-masing mengharapkan mendapat tempat yang terbaik untuk bersolat dan berdoa.

Semasa kunjungan saya hampir setahun lalu, untuk masuk ke Raudhah banyak peraturannya. Selain dari waktu yang telah ditetapkan, kita juga hanya boleh masuk mengikut kumpulan rantau contohnya Malaysia, Indonesia dan Singapura satu kumpulan dan tidak boleh bercampur aduk dengan kumpulan jemaah negara India, Pakistan dan sebagainya. 

Saya dimaklumkan, sebelum-sebelum ini tiada disyaratkan begitu. Mungkin kerana bilangan jemaah yang semakin meningkat dari sehari ke sehari, membuatkan peraturan demi peraturan baru diperkenalkan. Dan mungkin di saat saya menulis ini, sudah ada peraturan lain pula dikuatkuasakan. Apa yang penting, semua itu dilakukan untuk kebaikan semua. Jadi, kita hanya perlu mengikut peraturan dan arahan. InsyaAllah dipermudahkan.

Sebelum meninggalkan Madinah, kita disarankan untuk menziarah makam Nabi sekali lagi. Walaupun tidak diwajibkan, namun rasanya tidak puas jika tidak mengucapkan selamat kepada Rasulullah s.a.w. sebelum meninggalkan tanah haram itu. 

Kali ini saya pergi sendirian. Tiada kumpulan, tiada teman. Hanya berbekalkan doa dan tawakkal kepada Allah agar saya diberi petunjuk dan kemudahan untuk masuk ke Raudhah. 

Kata orang, pergilah seawal pagi yang mungkin. Sebelum pintu menghala ke Raudhah dibuka, beratus jemaah sudah pun bersiap sedia menunggu. Masing-masing berteka-teki pintu manakah yang akan dibuka oleh petugas pada hari itu. Saya yang bersendirian terpinga-pinga tak tahu apakah yang patut dilakukan. Adakah patut saya menunaikan solat sunat dahulu? Patutkah saya duduk dan tunggu? Atau perlukah saya turut sama menanti di tepi-tepi pagar itu? Macam-macam persoalan dalam kepala saya. Maklumlah kali pertama menuju ke Raudhah bersendiri...

Di sekeliling saya rata-rata jemaah yang berkelubung hitam. Yang bertelekung putih jarang-jarang mata saya dapat menangkap. Rasa gemuruh datang lagi. Saya tidak duduk. Berdiri lebih kurang dua meter dari pagar... sambil memerhatikan sana sini.

Dengan kehendakNya saya terpandangkan seorang jemaah dari Malaysia bersama-sama anaknya. Tanpa rasa segan, saya menegur dan menyatakan hasrat untuk ke Raudhah tetapi tidak pasti apa yang sedang berlaku.

Alhamdulillah... sesungguhnya Allah itu Maha Mengasihani. Tidak berapa minit kemudian, pintu di hadapan saya dibuka! Saya dan sahabat baru saya serta anaknya berpegangan tangan dan berlari sekuat hati. Seakan dilepaskan tembakan perlumbaan lari 100 meter, kami berlari tanpa menoleh kiri kanan... 

MasyaAllah... kami antara orang terawal yang dapat masuk. Bersolat dan berdoa sambil mencungap-cungap kerana lelah berlari. Maklumlah saiz badan sudahlah besar, jarang pula berlari. Tiba-tiba hari ini saya berlari! Air mata mencurah-curah tak perlu nak dikatakan lagi. Bersyukur, tak sangka, insaf, gembira, sedih... perasaan bercampur-baur.

Itulah antara pengalaman yang tak akan saya lupakan sampai bila-bila. Apabila terkenangkan peristiwa itu, air mata pasti mengalir. Betapa kasihnya Allah terhadap hambaNya yang hina ini. Rahsia Allah tiada siapa yang tahu. Kita sebagai hambaNya, wajib bersyukur dan berserah hanya padaNya.   


2 comments: