Alhamdulillah...
Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan saya menjadi tetamuNya buat pertama kali. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
Bagi kebanyakan orang mungkin dah biasa pergi ke Tanah Suci, malah ada yang dijemput sebagai tetamu Allah setiap tahun. Tapi bagi saya, dah lebih 40 tahun baru berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah. Syukur tak terhingga atas rezeki yang dilimpahiNya.
Di sini saya ingin berkongsi kisah jujur, sebagai panduan jika ada yang mempunyai jalan hidup seperti saya...
1. Saya telah membuka akaun Tabung Haji sejak di bangku sekolah rendah lagi. Duit simpanan memanglah tidak banyak ketika itu, setakat minimum deposit. Tetapi sebaik mula bekerja, setiap bulan mesti ada peruntukan simpanan ke Akaun Tabung Haji. Namun, ketika itu tak pula terfikir untuk mendaftar menunaikan haji... sebab saya fikir kena tunggu cukup duit baru boleh daftar. Jadi, bila duit dah cukup, barulah saya ke pejabat Tabung Haji untuk mendaftar. Mak aiiiiiii!!! Tahun giliran saya ialah 2027! Punyalah lama lagi!
2. Rupa-rupanya, tak perlu tunggu duit cukup baru boleh daftar. Kalau tak silap saya, katanya kalau dah ada RM1,300 dalam akaun, dah boleh daftar. Jadi, siapa yang belum daftar tu, cepat-cepatlah daftar. Daftarkan juga anak-anak kita sekali.
3. Giliran untuk menunaikan haji pada 2027 itu ialah pendaftaran yang dibuat pada 10 tahun lepas. Jika mendaftar tahun 2015, gilirannya ialah tahun 2080! Pada ketika itu, umur anak bongsu saya pun dah 70 tahun... heh..hehh...
4. Dulu... saya berpendapat lebih baik tunaikan haji terus.. yakni tak perlu buat umrah dulu. Kerana saya fikir yang wajib itu ialah haji. (Sebab Rukun Islam ke 5 ialah menunaikan fardu haji jika mampu. Tak sebut pun umrah!) Jadi, saya tak pernah terlintas untuk mengerjakan umrah walaupun kerap nampak ramai kawan-kawan dan saudara-mara yang buat umrah.
5. Namun, hidayah Allah itu datang apabila dikehendakiNya. Dua tahun lepas, saya rasa sangat terpanggil untuk mengikuti Kursus Asas Haji walaupun tahu memang belum tiba giliran. Tahun 2015 akhirnya berjaya juga kaki ini melangkah ke masjid setiap minggu untuk belajar bersama-sama bakal-bakal Haji. Pada masa yang sama saya juga mula membuat surat rayuan ke pihak Tabung Haji - mencuba manalah tahu kalau-kalau ada rezeki.
6. Peluang untuk memintas giliran memang sangat tipis kerana saya tidak mempunyai alasan. Namun, saya nekad dan redha. Apa sahaja keputusan Tabung Haji, saya terima. Kalau dipanggil, saya akan pergi, walaupun tiada satu persiapan pun dibuat. Kalau tak dipanggil, mungkin belum rezeki saya.
7. Sepanjang mengikuti kursus, barulah saya sedar. Betapa ceteknya ilmu di dada. Maka saya nekad. Jika rayuan saya ditolak, saya tetap akan ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Kerana umrah itu wajib sepertimana haji dan andai kata saya mati sebelum sempat menunaikan haji, sekurang-kurangnya saya telah mengerjakan umrah.
8. Alhamdulillah, Disember 2015 saya berjaya tiba di Tanah Suci. Atas limpah rahmat dan hidayah dariNya, saya telah menjadi tetamu Allah. AllahuAkbar! AllahuAkbar! AllahuAkbar!
Alhamdulillah
ReplyDelete