Thursday, 10 January 2019

Ayam Haseyo


Seiring dengan perkembangan semasa yang menggilai makanan Korea, kali ini saya nak kongsikan resepi ayam goreng ala Korea yang saya namakan Ayam Haseyo. Resepi ini saya cari di internet dan seperti biasa, diubahsuai mengikut citarasa sendiri.




Bahan-bahannya ringkas sahaja seperti berikut:-

Bahan A:
Seekor ayam - dipotong saiz apa? ----> ikut suka. 
5 sudu besar tepung gandum
5 sudu besar tepung beras
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 biji telur

Caranya:-
Ayam yang sudah dibersihkan dan dipotong, digaulkan dengan semua bahan-bahan di atas. Perapkan lebih kurang setengah jam.
Kebiasaannya ayam goreng yang dihidangkan di restoran Korea bersaiz kecil. Jadi, kalau nak rasa seperti makan di BBQ Chicken misalnya, potonglah ayam kecil-kecil. Maksudnya, seekor ayam boleh dipotong 14 - 18. Sebenarnya, ikut suka kitalah, kalau nak besar-besar macam ayam KFC pun boleh!
Sukatan tepung di atas, anggaran sahaja. Maklumlah, saya ini bukannya jenis yang suka ikut sangat resepi. Kalau rasa nak lebih atau kurangkan pun tiada masalah. Ikut selera masing-masing.
Setelah cukup masa perapan, gorenglah ayam tersebut hingga masak dan garing.


Bahan B (Sos):
5 ulas bawang putih - kisar/tumbuk
5 sudu besar cili kering yang telah dikisar
(kalau ada pes cili Korea - gochujang mungkin rasanya lebih terangkat!)
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar madu
1 sudu besar cuka
Garam dan gula secukup rasa
Bijan

Caranya:-
Tumiskan bawang putih hingga naik bau. Masukkan cili dan kacau hingga garing. Masukkan sos tomato, madu dan cuka. Tambah garam dan gula secukup rasa. Semua bahan-bahan ini boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa. Kalau suka sos banyak, boleh tambah lagi sukatan cili kisar tadi. Bergantung juga kepada saiz ayam - sebab kalau ayam saiz besar, perlu lebihkan sedikit sos. Bila sos dah elok masak likat, masukkan sedikit bijan. Ambil ayam yang telah digoreng tadi (Bahan A) dan gaulkan ke dalam sos.

Bagi yang belum pernah rasa ayam goreng ala Korea, ayam goreng ini rasanya rangup, masam, manis dan pedas. Biasanya semakin tinggi tahap kepedasannya, semakin sedap sehingga menjilat jari.

Bila nak hidang, taburkan lagi sedikit bijan untuk menaikkan lagi rasanya. Siap dan boleh makan sehingga menangis! :)



1 comment: