Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 7 (Rutin di Mekah)



Tolak tempoh perjalanan pergi balik dan lima malam berada di Madinah, keberadaan kami di Mekah adalah lebih kurang 40 hari. Countdown ke Hari Arafah dari hari kami tiba ke Mekah ialah 20 hari. Nampak lama tapi sebenarnya tak terasa masa berlalu dengan begitu laju.

 

Oleh kerana keadaan kaki saya yang tak berapa kuat (yang sememangnya dah bertahun-tahun begini), rutin harian kami di Mekah agak berbeza dari kebanyakan Jemaah lain. Biasanya, kami keluar dari maktab menuju ke Masjidil Haram seawal 3 pagi untuk menunaikan solat Subuh dan selewat 9 ke 10 malam baru pulang semula ke maktab setelah selesai solat Isya’.

 

Walaupun kata orang maktab kami iaitu Abraj Al Janadriyah adalah yang paling hampir dengan Masjidil Haram berbanding maktab-maktab lain, sebagai seorang yang sedikit kurang upaya, jarak tersebut masih terasa jauh dan memerlukan kudrat yang lebih buat saya. Saya boleh berjalan, tetapi dengan had laju yang perlahan. Jadi, saya perlukan lebih banyak masa untuk sampai ke masjid berbanding orang lain. Sebab itu, saya selalu bagitahu rakan-rakan bahawa saya tidak boleh bersaingan jalan bersama mereka kerana saya ini umpama kura-kura. Saya perlu keluar awal sebelum orang lain bangun tidur dan pulang ke bilik setelah orang lain tidur, bukan kerana saya lebih lama beriktikaf di masjid berbanding orang lain, tetapi kerana saya berjalan perlahan dan perlu ambil masa yang lama untuk sampai ke sesuatu destinasi.

 

Begitulah batasan yang saya kena akui. Suami yang boleh berjalan laju pun terpaksa mengikut rentak saya. Kami sentiasa ke mana-mana bersama dan tidak pernah sekali pun dia tinggalkan saya berjalan sendirian. Tiap-tiap hari dia terpaksa mengurangkan had laju kecuali pada hari Jumaat sahaja di mana saya tidak mengikutnya ke masjid untuk Sembahyang Jumaat. (Di Mekah saya tidak pernah mengikuti sembahyang Jumaat di masjid kerana cuaca yang sangat panas dan sesak)

 

Pada hari-hari yang kami berkesempatan beriktikaf lama di masjid, biasanya kami tidak akan kekal di satu-satu tempat yang sama sepanjang hari. Kami cuba beralih ke pelbagai kawasan pada setiap kali waktu solat untuk merasai suasana yang berbeza. Dari Abraj Al Janadriyah, pintu yang paling hampir untuk masuk ke masjid ialah melalui Pintu Babussalam, atau tempat saie. Ini sudah menjadi kawasan kegemaran kami kerana kawasan saie antara Bukit Safa dan Marwa berhawa dingin. Dari situ, ia akan tembus ke bahagian mataf tingkat 2. Kami pernah melakukan tawaf sunat di situ dan ianya mengambil masa selama 2 jam untuk selesai 7 pusingan. Jalan sedikit, duduk melegakan kaki, minum air, teruskan berjalan dan begitulah seterusnya sehingga selesai. Alhamdulillah merasa lah juga tawaf di tingkat atas.

 

Oleh kerana tidak mahu menempuh perjalanan pergi balik dari maktab ke masjid banyak kali, kami terpaksalah mengorbankan makanan tengahari dan malam yang disediakan di maktab. Sarapan pagi memang tidak disediakan oleh TH, jadi biasanya selepas solat subuh atau dhuha, kami akan keluar dari masjid dan pergi bersarapan di mana-mana kedai berhampiran. Rutin ini pun tidak lah selalu seragam. Ada kalanya perut meragam dan terpaksa keluar awal. Ada masanya perut baik-baik sahaja, jadi bolehlah iktikaf lebih lama sehingga waktu dhuha. Waktu selepas subuh sebenarnya sangat mendamaikan. Waktu tu boleh buat banyak solat sunat dan mengaji. Kan di Mekah tiada waktu haram untuk solat, jadi ambillah kesempatan untuk buat sebaik mungkin.

 

Ruang favourite dalam Masjidil Haram : 
dekat dengan rak Al-Quran dan air zam zam

Selepas sarapan kadang-kadang kami berjalan-jalan meneroka sekeliling masjid. Tengok bangunan, ambil gambar dan kadang-kadang telefon keluarga di tanah air. Pergi ke tanah suci kali ini kami rasa puas hati sebab dapat mengenali banyak tempat yang sebelum ini tak sempat pun kami nak jalan-jalan. Setelah penat berjalan, kami masuk semula ke masjid. Oleh kerana awal pagi, kami bebas nak pilih masuk pintu mana. Kalau datang lewat, jangan haraplah. Kena sergah dengan askar suruh sembahyang di dataran. Walaubagaimanapun, jika tidak berihram, kita tak boleh masuk melalui Pintu 1 : Pintu King Abdul Aziz sebab ianya khas untuk mereka yang berihram sahaja. Walaupun Jemaah perempuan boleh sahaja masuk tetapi tidaklah pernah terfikir pun nak tinggalkan suami sendirian. Kami sentiasa bersama di mana sahaja.


Selesai solat Zohor, kami keluar untuk makan tengahari. Tempat kegemaran saya ialah di Medan Selera Menara Jam, tingkat 3 dan 4. Di situ ada banyak kerusi meja tempat makan berbanding di Medan Selera Menara Safwa. Walaupun harga makanan dan minuman lebih murah di Safwa, tetapi untuk keselesaan, kami pilih untuk makan di Menara Jam walaupun perlu bayar lebih sedikit. Ada banyak outlet makanan segera dan ayam goreng adalah antara yang popular.  Di Arab Saudi mereka panggil ayam goreng sebagai broasted chicken, bukan fried chicken, walaupun bendanya sama sahaja…hehehe.. Al Baik ialah antara francais ayam goreng yang terkenal di Arab, tetapi malangnya kami tak berkesempatan untuk merasa ayam gorengnya kerana setiap kali pergi, ayam goreng dah sold out. Satu perkara yang unik ialah roti merupakan makanan utama di sana. Boleh dikatakan setiap menu akan disertakan dengan sebuku/sekeping roti. Kalau beli ayam goreng pun, kita akan dapat seketul roti. Tidak seperti di Malaysia, mereka mungkin kurang gemar makan sos cili. Yang ada ialah sos tomato dan kalau ada sos cili pun, rasanya sangatlah masam. Sebab itulah seperti mana yang saya ada ceritakan dalam artikel sebelum ini, saya bawa bekal sos cili dalam sling bag sebab nak makan dengan ayam goreng!

Tong-tong air zam zam di Masjidil Haram


Waktu antara Zohor dan Asar agak singkat. Pernah sekali terleka di Mall, terlewat ke masjid, askar dah tak bagi masuk. Terpaksa sembahyang di dataran berselindung di celah bayang-bayang bangunan. Memang mencabar juga. Tetapi biasanya waktu Zohor dan Asar, imam sembahyang agak laju sedikit, mungkin kasihankan orang yang berpanas di bawah terik matahari. Sebenarnya boleh dikatakan pihak masjid / imam sangat memahami dan bertolak ansur dengan Jemaah. Siapa kata imam Masjidil Haram hanya baca surah panjang setiap kali solat? Salah! Imam pernah baca surah Al-Ikhlas dan surah-surah pendek lain juga semasa mengimamkan solat di Masjidil Haram. Malah pada ketika waktu yang sangat padat, masa antara azan dan solat juga dipendekkan. Saya percaya mereka buat begitu kerana mengambil berat kepentingan semua Jemaah.

 

Waktu Maghrib adalah waktu puncak, biasanya sangat ramai umat manusia yang datang ke masjid. Kalau terlewat sedikit pun dah tak dapat masuk masjid. Mujurlah waktu Maghrib dah kurang panas, jadi solat di dataran pun ok lah juga. Terutamanya pada hari Jumaat, Masjidil Haram sangatlah sesak. Kami pernah sekali terlupa yang hari itu adalah hari Jumaat, kononnya nak masuk ke mataf untuk tawaf, sangat penuh dan tak dibenarkan.

 

Makan malam biasanya kami dah tak selera nak makan yang berat-berat. Kadang-kadang kami beli roti dan air di Abraj Hypermarket atau Bindawood sahaja. Suami saya penggemar teh yang tegar. Di Tanah Suci, teh karak dan teh adni jadi kegemaran. Sangat mudah nak dapatkan teh di sana, jadi suami saya sangat gembira. Saya pula lebih gemar minum air sejuk kosong sahaja. Air zam zam sejuk jadi pilihan utama. Di dalam masjid dan di dataran sentiasa ada bekalan air zam zam. Cukup mudah nak dapatkan air minuman, Alhamdulillah atas nikmat yang dikurniakan-Nya.  

 

Selesai solat Isya’ kami pun beransur balik ke maktab. Walaupun dah malam, Masjidil Haram tidak pernah lengang. Malah ada ketikanya lebih ramai Jemaah datang. Jadi, tak pernah pun rasa risau atau takut. Polis dan askar pun sentiasa ada di mana-mana. Semasa menunaikan umrah kali pertama iaitu umrah wajib bagi haji tamattuk pada hari pertama tiba di Mekah, kami adalah antara orang terakhir yang pulang ke maktab. Laluan balik ke maktab dah lengang. Semuanya gara-gara saya si kura-kura yang dah tak larat berjalan semasa saei. Jemaah lain dah selesai tapi saya masih terhegeh-hegeh berjalan. Namun, saya tetap bersyukur masih diberi nikmat untuk berjalan walaupun perlahan tapi masih boleh menyelesaikan ibadat.

 

Ada kalanya semasa sampai di maktab, makanan malam masih lagi ada. Kalau rasa ada selera nak makan, kami makanlah. Kadang-kadang ambil satu pek sahaja kongsi berdua. Kadang-kadang rasa penat sangat, terus mandi dan tidur. Sebab esoknya rutin akan bermula semula.

 

Ada juga beberapa hari masa baru tiba di Mekah, suami demam. Jadi kami tidak ke masjid. Di maktab juga ada dianjurkan solat berjemaah di surau dan di setiap tingkat. Apabila demamnya sudah sedikit kebah, kami ke masjid pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti Subuh atau Maghrib dan Isya. Saya tak pernah ke masjid sendirian atau dengan kawan-kawan. Jika suami tak sihat, saya pun tak pergi. Jika berada di maktab, tengahari dan malam kami makan bersama makanan yang disediakan oleh TH. Ada beberapa kerusi dan meja di ruang legar setiap tingkat untuk Jemaah makan bersama pasangan dan rakan. Ada juga yang bentang tikar sendiri dan makan.

 

Dalam tempoh menjelang Hari Arafah, kami hanya sempat mengerjakan sekali sahaja umrah sunat. Kami bertolak ke Masjid Aishah di Tanaeem sebelum subuh menaiki kereta yang disewa melalui Uber dan kemudian solat subuh di situ. Selesai solat, kami menaiki bas Mekah ke Masjidil Haram. Ini merupakan pengalaman pertama kami ke miqat secara bersendiri dan juga pengalaman pertama menaiki bas Mekah. Kata orang tambang dari miqat ke Majidil Haram hanya SR4 sehala tapi kami dikenakan caj SR8 seorang. Hmmm… mungkin waktu puncak mereka naikkan harga kot?   

 

20 hari berlalu dengan pantas. Sedar tak sedar dah nak menjelang Hari Arafah. Beberapa hari sebelum 8 Zulhijjah, Jemaah dinasihatkan tidak ke masjid. TH nasihatkan kami supaya jaga kesihatan dan rehatkan badan untuk pekerjaan haji yang sebenarnya. Saya pula dah mula batuk-batuk. Alahai risaunya…

 

Bersambung…





No comments:

Post a Comment