Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 9 (Hari-hari terakhir di Mekah)

Semasa dalam perjalanan pulang ke Mekah dari Mina, di dalam bas tekak saya dah mula gatal-gatal nak batuk. Manakan tidak, dalam khemah di Mina bersahut-sahut Jemaah batuk. Lepas seorang, seorang. Bersahut-sahut dah macam orkestra. Saya pula lupa nak pakai mask. Sebab itulah saya pesan di artikel awal-awal sebelum ini, kita ni terlampau memikirkan apa yang tak boleh dipakai semasa dalam ihram, padahal tempoh berihram singkat sahaja. Disebabkan tak boleh tutup muka semasa dalam ihram, saya terus terlupa yang setelah bertahalul, boleh sahaja nak pakai mask. [Walaupun menurut ustaz boleh pakai mask atas alasan kesihatan dan dikenakan dam sekali sahaja, tapi saya lebih selesa untuk tak pakai mask semasa dalam ihram]

 

Walaupun ada lagi 2 minggu sebelum penerbangan pulang ke tanah air, sama lama dengan tempoh berada di Mekah sebelum ke Masyair, tapi suasananya sudah berbeza. Bukan sahaja pada diri saya, tetapi juga persekitaran. Sekembalinya dari Mina, pada malam yang sama, kami ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tawaf dan saei haji. Walaupun tiada had masa untuk melakukannya, tapi kami membuat keputusan untuk menyelesaikan rukun haji secepat mungkin kerana bimbang akan ada keuzuran. Alhamdulillah, pada malam 12 Zulhijjah itu kami selesai mengerjakan kesemua rukun dan wajib haji. Semoga Allah menerima amal ibadat kami..

 

Beberapa hari selepas itu kami tidak dapat ke masjid lagi. Saya kena batuk yang teruk sehingga terbuang air kecil setiap kali batuk. Sekali sekala demam pula mujur tidak teruk. Saya jarang kena batuk, tetapi bila dah kena memang susah nak baik. Batuk saya berlarutan sehingga pulang ke tanah air dan rasanya hampir sebulan kemudian baru betul-betul sembuh. Sangat susah nak mengekalkan wudhu apabila batuk. Bila mengaji asyik tergendala. Nak solat berjemaah pun risau tak sempat habis dah terbuang air. Agak teruk juga keadaan saya sehinggakan terpaksa pakai pampers semasa tidur.

 

Hari berlalu dengan pantas. Rasa sedih sebab tak dapat ke masjid lagi seperti awal-awal sampai. Ada terdengar kata-kata sindiran yang Jemaah tidak lagi ke masjid, tidak lagi mahu solat berjemaah, seperti orang yang dah bergraduasi buang semua buku, baling topi… Sedih mendengar kata-kata begitu. Memang betul solat berjemaah di maktab agak berkurang orang tetapi saya percaya mungkin ramai juga yang kurang sihat seperti saya. Bunyi batuk tidak pernah lekang kedengaran. Tidak langsung pernah terniat menghentikan segala ibadat semata-mata kerana telah selesai kerja haji. Masing-masing tentu ada kekangan dan masalah tersendiri. Kita tak tahu.

 

Kami cuba juga ke masjid bila badan rasa lebih lega walaupun masih batuk. Saya bawa bekalan pad dan seluar dalam supaya boleh salin setiap kali nak berwudhu dan solat. Suasana di Masjidil Haram memang sibuk. Ramainya umat manusia! Jemaah haji belum balik tetapi Jemaah umrah sudah mula masuk. Dataran masjid sangat meriah, sentiasa dipenuhi lautan manusia. Dengan izin Tuhan juga, kami dapat bertemu beberapa orang rakan lama, ada yang dah bertahun-tahun terputus hubungan tetapi akhirnya bertemu di kota suci ini. Maha Suci Allah!

 

Yang menariknya beberapa hari selepas balik dari Masyair, Pintu 1 : King Abdulaziz dibuka untuk semua, tiada lagi khas untuk yang berihram sahaja. Dataran Mataf juga dibuka untuk semua. Jadi kami ambil kesempatan itu untuk buat tawaf sunat. Dapat juga beberapa kali sembahyang fardhu nampak Kaabah dengan dekat. Berpeluang juga buat panggilan video dengan ibu dan ibu mentua, nampak Kaabah secara live. Dalam beberapa hari sebelum balik ke Malaysia, memang rasa gembira dapat selalu ke depan Kaabah dan dapat sembahyang di dalam masjid tanpa batasan. Walaupun ramai dan sesak, suasana rasa begitu meriah.

Pintu King Abdulaziz

 
Berbaki masa yang ada, kami juga ambil kesempatan untuk membeli-belah sedikit buah tangan untuk anak-anak dan keluarga terdekat. Seperti mana hajat asal, tidak banyak pun barang yang dibeli. Kami sempat ke Pasar Kakiyyah yang popular di kalangan Jemaah di Abraj Al Janadriyah. Boleh dikatakan harga barangan murah juga di situ tetapi kena pandai memilih dan menawar. Ramai juga peniaga yang boleh berbahasa Melayu, jadi senang nak berurus niaga. Kami juga pergi melawat Daerah An Naseem yang terletaknya Masjid Aishah Al Rajhi dan Makkah Mall. Cadangnya nak ke Hira Cultural District juga tapi tidak kesampaian kerana kesuntukan masa.

 

Semasa di Mekah, TH tidak menganjurkan ziarah luar seperti di Madinah. Namun begitu ada banyak pakej ziarah yang ditawarkan oleh pihak swasta iaitu Nozoly, konsortium khidmat haji yang dipilih oleh TH sebagai syarikat muassasah di Arab Saudi. Antara pakej yang ditawarkan ialah ziarah ke Thaif dan Jeddah. Walaubagaimanapun, kami tidak menempah dan tidak mengikuti mana-mana pakej tersebut. Selain ke masjid dan kedai-kedai di sekitarnya, kami hanya habiskan masa berjalan sendiri di kawasan berhampiran termasuklah melawat Muzium Nabi di Menara Jam dan berjalan-jalan di Gaza Street.

 

Sehari sebelum tarikh berlepas pulang, Jemaah dikehendaki menyiapkan bagasi untuk dihantar ke lapangan terbang. Ini adalah saat yang mendebarkan bagi kebanyakan orang. Masing-masing bimbang jika beg terlebih had 30kg yang dibenarkan. Ada yang punggah semula barang dan keluarkan untuk dihantar secara pos. Ada yang terpaksa tinggalkan barang dan sedekahkan. Tak kurang juga yang masih membeli untuk mengisi ruang-ruang di beg yang masih kosong. Macam-macam gelagat. Saya dan suami memang tak beli banyak barang. Ruang kosong di beg yang sebelum ini berisi makanan, dan barang-barang yang dah digunapakai seperti pampers, tisu, pad, sabun dan sebagainya boleh digantikan dengan sedikit barang cenderahati yang dibeli. Tapi itu pun dah mencapai 30.5-31kg.

 

Berdasarkan Resolusi Muzakarah Haji, uruf tempoh Tawaf wada’ ialah lebih kurang 12 jam sebelum meninggalkan tempat penginapan. TH menjadualkan tawaf wada’ dibuat pada pukul 7.05 malam. Pada awalnya kami bercadang untuk naik buggy atau kerusi roda sebab risau kena tawaf di tingkat atas. Sudah berkira-kira berapalah agaknya harga yang dikenakan. Dengar-dengar sebelum ini khidmat kerusi roda dikenakan upah sehingga SR1,000 semasa waktu puncak!. Berdasarkan pengalaman melakukan tawaf sunat di mataf tingkat 2 yang mengambil masa 2 jam, kami risau jika tidak sempat menepati masa yang ditetapkan.

 

Pada hari itu, kami keluar awal ke masjid iaitu dari Subuh lagi. Memandangkan itu merupakan hari terakhir, kami ingin menghabiskan banyak masa di masjid dan kaabah. Syukur kerana Pintu 1 masih lagi dibuka dan tidak dikhaskan kepada yang berihram sahaja. Ini bermaksud kami ada peluang untuk melakukan tawaf wada’ di dataran mataf. Dari waktu Asar lagi kami dah bersedia mengambil tempat solat berhampiran Kaabah. Alhamdulillah kami dapat selesaikan tawaf wada’ di dataran mataf dan kemudian terus menuju pulang ke maktab dengan seribu satu perasaan.

 

Pukul 1.30 pagi semua Jemaah telah diminta untuk berkumpul di lobi hotel. Bagasi besar telah pun selamat jalan dahulu. Yang tinggal hanyalah beg tarik 5kg dan sling bag. Ada juga yang bawa beg penuh dengan patung unta bergayutan. Macam-macam gelagat haji hajjah. Sementara menunggu bas, beberapa orang Muhsen mengedarkan aiskrim, biskut dan kacang. Kami juga diberi pek makanan RTE sebelum menaiki bas pada pukul 2.45 pagi.

 

Lebih kurang pukul 4.50 pagi bas tiba di Lapangan Terbang Jeddah. Keadaan di lapangan terbang ini masih kekal sama seperti 10 tahun lalu. Terbayang di ingatan semasa nak balik dari umrah dahulu. Laluan yang sama. Selesai solat Subuh di surau, kami pun duduk di ruang menunggu. Laluan Imigresen mudah dan tidak ketat. Jemaah juga dapat hadiah senaskah Al Quran. Perasaan bercampur baur. Rasa sayu nak meninggalkan bumi bertuah ini dan rasa sedih kerana sudah habis tempoh berbulan madu kami bercampur baur dengan rasa gembira kerana akan pulang ke pangkuan keluarga dan rasa lemah akan kembali bertugas seperti sedia kala. Huhuhu…

 

Pukul 9.30 pagi kami dibenarkan masuk ke pesawat dan sejam kemudian berlepas. Kami tiba di KLIA pukul 12.35 tengah malam waktu Malaysia. Semua anak-anak kami, kakak sulung saya sekeluarga dan ibu saya telah menanti dengan sabar. Alhamdulillah, kami pergi dan balik dengan selamat. Allah Maha Besar!

 

Bersambung…    

   

Tiket masuk ke Muzium Nabi di Menara Jam. 
(Sebelum Asar kami tanya katanya ada diskaun untuk pemegang kad Nusuk. Tapi, sebaik sahaja selesai solat kami ke sana, katanya diskaun dah sold-out! Kelakar betul kena scam 😆) 



No comments:

Post a Comment