Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 8 (Pengalaman di Masyair)

Isnin 8 Zulhijjah bersamaan 25 Mei, pukul 6.30 pagi kami dah bersiap-siap untuk ke Masyair. Pihak TH tegaskan hanya bawa beg tarik 5kg sahaja dan jangan bawa banyak barang. Pergerakan ke Arafah menaiki bas dibuat secara berperingkat mengikut tingkat. Giliran kami lebih kurang pukul 3 petang. Alhamdulillah perjalanan lancar. Walaupun kami telah dimaklumkan mungkin berlaku kesesakan lalu lintas, namun perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang sejam sahaja. Tiada aktiviti tertentu pada hari itu, hanya pergerakan masuk Jemaah secara beransur-ansur.

 

Khemah di Arafah agak selesa. Di luar khemah ada senarai nama ditampal. Jadi, boleh semak nama masing-masing supaya tak tersalah khemah. Malah saya setiap kali keluar, bila nak masuk mesti tengok senarai nama lagi sebab takut terkeliru dengan khemah orang lain. Ada 8 unit penghawa dingin dalam khemah yang saya diami. Tahun ini setiap jemaah dapat sofa bed untuk berehat. Kami solat berjemaah jamak tamam di dalam khemah masing-masing mengikut Imam melalui pembesar suara. Makanan disediakan di luar khemah, layan diri. Ada nasi dan lauk dalam pek ready to eat, buah-buahan, roti dan air.

 

Saya sudah tidak berselera makan sejak beberapa hari sebelum ke Arafah lagi. Mujurlah badan masih sihat dan batuk pun sudah hilang. Oleh kerana cuaca agak panas, memang kebanyakan masa kami hanya duduk dalam khemah. Masing-masing dengan aktiviti sendiri – solat, mengaji, wirid, zikir, makan atau tidur. Tandas di Arafah juga sudah banyak disediakan. Ada tandas duduk, cangkung dan bilik mandi juga. Tapi, oleh kerana bilangan Jemaah yang ramai, masih lah kena beratur setiap kali nak buang hajat dan ada masanya air banjir melimpah di lantai kerana ada sahaja yang tidak mengikut peraturan.

 

Kami dinasihatkan untuk tidur awal supaya badan lebih segar untuk menghadapi hari kemuncak haji esok hari. Walaupun mata tak boleh nak lelap, saya cubalah juga berbaring dan pejamkan mata. Khemah lelaki berada tidak jauh dari khemah perempuan. Suami pula kurang sihat, sekejap seram sejuk, sekejap elok. Katanya dah berbiji-biji Panadol ditelan.  

 

Hari yang dinantikan ~ 9 Zulhijjah : Hari Wuquf di Arafah. Rukun haji yang jika ditinggalkan maka tidak sah lah hajinya. Sebelum subuh saya dah ke tandas. Sekadar cuci muka, gosok gigi, buang air dan berwudhuk, tidak mandi. Pakaian pun tak salin. Selesai solat Subuh, alas perut lebih kurang dan duduk di khemah menanti Zohor. Selesai solat Zohor, khutbah disampaikan. Semua Jemaah mendengar dengan khusyuk dan mengaminkan doa yang dibaca. Air mata tidak dapat dibendung lagi. Bermulalah waktu wuquf dan segala doa dan hajat mulalah dipanjatkan ke Ilahi. Jemaah dinasihatkan kekal berada di khemah sehingga 4 petang kerana cuaca terlalu panas.

 

Setelah solat Asar, saya dan suami bercadang untuk mencari tempat di luar khemah supaya dapat sama-sama berdoa. Walaupun cuaca masih lagi panas, kami tetap luangkan sedikit masa untuk duduk di bawah langit yang terbentang luas memohon agar Allah ampunkan dosa-dosa kami, kabulkan hajat-hajat kami dan terima amal ibadat kami. Terasa sangat singkat kerana bermula pukul 6 petang Jemaah sudah mula dipanggil untuk menaiki bas. KT kami antara yang awal dipanggil. Semua telah sedia berada di dalam bas tetapi bas hanya dibenarkan bergerak ke Muzdalifah selepas masuk waktu Maghrib.

 

Perjalanan ke Muzdalifah menaiki bas cuma lebih kurang setengah jam sahaja. Tahun ini, di Muzdalifah Jemaah diberi sejadah boleh sandar. Jadi, di bawah langit terbuka, Jemaah boleh mabit dengan selesa bersandar pada sejadah yang diberi. Tak kurang juga ramai yang tidur.

 

Kami solat jamak tamam Maghrib dan Isya’ di Muzdalifah. Kemudian mengalas perut dengan makanan RTE yang dibawa dari Arafah. Tiada aktiviti tertentu selain berdoa dan berzikir. Antara amalan yang disunatkan ialah mengutip batu kecil untuk melontar jamrah nanti. Tapi, oleh kerana keseluruhan tanah telah pun dilitupi karpet, agak mustahil nak jumpa batu! Apatah lagi, suasana pun agak gelap, hanya ada cahaya lampu jalan dan kenderaan lalu lalang. Jadi, kami buat keputusan tak mengutip batu. Lagipun, TH memang telah beri setiap Jemaah seuncang batu semasa di Arafah lagi.

 

Waktu malam di Muzdalifah agak berangin. Jadi, walaupun berlantaikan tanah, berbumbungkan langit, ramai Jemaah yang lena termasuklah suami saya. Katanya badannya masih belum betul-betul sihat dan terpaksa telan Panadol lagi. Saya pula memang tidak boleh tidur. Malah berbaring pun tidak. Saya kekal duduk di kerusi lipat yang memang dibawa dari Mekah dan sekali-sekala duduk berlunjur bersandar di sejadah.

 

Setelah pukul 12 tengah malam saya perhatikan tiada tanda-tanda lagi dipanggil untuk ke Mina. Menurut pengumuman TH di maktab sebelum ini, sepertiga malam bermula pada pukul 11.38 malam. Sepatutnya Jemaah sudah boleh mula bergerak ke Mina. Saya sudah siap berkemas-kemas. Suami pula masih nyenyak tidur. Saya perhati sekeliling dan mula nampak beberapa kumpulan sudah mula bergerak ke pagar di mana bas turunkan kami tadi. Saya tunggu pengumuman dan panggilan dari pihak yang bertugas tetapi tiada. Semak di group whatsapp kalau-kalau pengumuman dibuat di situ, juga tiada.

 

Saya lihat semakin ramai sudah berkumpul di tepi pagar. Ada beberapa bas sudah pun bergerak membawa Jemaah. Saya kejut suami. Saya pasti tiada panggilan dibuat. Masing-masing pandai-pandai sahaja ambil tindakan sendiri. Saya teringat kata-kata semasa taklimat TH – jika menjelang Subuh tiada bas, Jemaah perlu berjalan kaki ke Mina. Kami bingkas bangun dan menuruti kumpulan yang sedang beratur menunggu bas. Agak huru-hara juga keadaan ketika itu kerana tiada arahan dan panduan khas yang diberikan. Masing-masing berasak-asak untuk keluar dari pagar.   

 

Lebih kurang pukul 2 pagi barulah kami berjaya menaiki bas. Kami tiba di Mina lebih kurang sejam kemudian. Setibanya di Mina terdengar pengumuman dari TH untuk berkumpul selepas solat Subuh bagi urusan melontar Jamratul Kubra. Saya bergegas masuk khemah. Ada rakan sebilik di maktab yang sudah “cop” kan tempat untuk kami berenam. Saya letak barang-barang dan terus ke bilik air. Bilik air di Mina ada dua tingkat. Katanya baru tahun ini ditambah baik. Tingkat bawah untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga-warga emas yang tak larat nak naik tangga. Saya naik ke atas perlahan-lahan. Tingkat atas ada banyak tandas duduk dan cangkung. Ada juga tempat khas untuk mandi. Tidak ramai orang sebab ramai Jemaah yang belum sampai lagi. Alhamdulillah, tiada masalah air. Saya berpeluang mandi dan menukar pakaian. Lega rasanya.

 

Selesai solat Subuh, kami ikut kumpulan yang bergerak ke jamrah. Suami bawakan kerusi lipat sebagai persediaan untuk berhenti rehat. Kami telah maklum yang perjalanan ke jamrah adalah lebih kurang 3.5km sehala. Ramai juga yang dah pesan supaya bawa kerusi dan bekalan sebagai persediaan, terutamanya bagi mereka yang kurang cergas seperti saya. Jadi, secara fizikal dan mental, kami telah bersedia. Alhamdulillah lebih kurang pukul 6.00 pagi kami selesai melontar Jamratul Kubra. Maka terlaksanalah Wajib haji pada 10 Zulhijjah. Kami segera bergunting dan melepaskan 10 larangan ihram.

 

Khemah di Mina lebih besar dan agak padat berbanding di Arafah. Sistem penghawa dingin pula tidak berfungsi dengan baik. Maka, keadaan dalam khemah agak panas dan sesak. Seperti mana di Arafah, makanan juga disediakan secara layan diri. Ada ruangan khas di lorong laluan antara khemah yang ditempatkan makanan ready to eat (RTE), buah-buahan, roti, biskut dan air. Sekali-sekala ada juga Indomie cup yang menjadi rebutan para Jemaah.  Selama 2 malam berada di Mina, saya masih tiada selera untuk makan, hanya jamah sedikit untuk mendapatkan tenaga.   

 

Melontar tiga jamrah pada hari kedua dan ketiga (11 dan 12 Zulhijjah) kami lakukan bersendirian, tidak mengikut kumpulan. Walaupun TH telah tetapkan jadual dan beri amaran supaya tidak bergerak secara individu, kami terpaksa tidak mengikut arahan tersebut. Kami bergerak awal sebaik sahaja solat Subuh iaitu sekitar pukul 4.30 pagi dan Alhamdulillah selesai melontar ketiga-tiga jamrah dalam masa sejam. Sekitar pukul 6.30 pagi kami sudah sampai di khemah semula.

 

Oleh kerana kami antara KT yang awal, TH tetapkan Jemaah membuat nafar awal. Jadi pada 12 Zulhijjah, sebaik selesai melontar, kami sudah bersiap sedia untuk balik ke Mekah. Lebih kurang pukul 8 pagi bas mula bergerak. Selesailah urusan Masyair haji kami dan hanya tinggal tawaf dan saei sahaja lagi bagi melengkapkan kerja haji.

 

Bersambung…

 

Selimut dan tuala kecil yang diberi kepada Jemaah di Arafah. 
Di Mina juga dapat satu set lagi selimut yang sama dan sehelai tuala mandi.


No comments:

Post a Comment