Friday, 4 November 2016

Part 5 : Amazing Osaka

Semasa membuat keputusan untuk ke Jepun, tempoh untuk berangkat cuma lebih kurang dua bulan sahaja lagi. Seperti mana yang saya beritahu dalam artikel sebelum ini, ia bukanlah percutian sebenarnya. Jadi, tarikhnya sudah terikat.

Memandangkan masa yang agak suntuk, kami tidak dapat membeli tiket penerbangan pada harga yang murah. Apabila dibandingkan penerbangan ke Osaka dan Tokyo, kami dapati tambang ke Osaka lebih murah ketika itu. Oleh yang demikian, kami pun membuat keputusan membeli tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur - Osaka Kansai.

Pada hari ketibaan di Osaka, kami terus mengaktifkan JR Pass dan meluncur terus menaiki shinkansen ke Tokyo. Sebenarnya, terdapat tiga pilihan untuk ke Tokyo dari Osaka iaitu penerbangan domestik, keretapi, shinkansen dan bas. Pada awalnya kami bercadang untuk menaiki bas malam kerana berdsarkan pembacaan kami, ramai juga yang mengesyorkan menaiki bas malam ini. Selain daripada tambangnya lebih murah, kita juga boleh jimat kos penginapan satu malam.

Namun begitu, apalah gunanya kami membeli JR Pass jika tidak menggunakannya secara optimum! Perjalanan menaiki shinkansen dari stesen Shin Osaka ke Tokyo cuma mengambil masa selama tiga jam. Pada hari yang sama, kami telah berada di dua daerah berlainan di Jepun. Bukan sahaja menjimatkan masa bahkan juga tenaga.


Kami Ke Osaka semula pada hari ketujuh - setelah selesai urusan suami di Tokyo dan setelah puas 'mengejar' Gunung Fuji. Seperti mana Tokyo, Osaka juga adalah bandar yang agak sibuk. 

Di Osaka, kami membeli "1-Day Osaka Amazing Pass" berharga Yen2,300 seorang. Pass ini merangkumi pengangkutan keretapi, bas dan juga tiket masuk percuma atau diskaun ke 28 tempat menarik. Wow! Bunyinya menarik bukan? 

Sebenarnya, melalui penelitian saya, pass-pass yang ditawarkan kepada pelancong memang berbaloi - asalkan kita menggunakannya dengan betul. Misalnya, jika pass tersebut dikhaskan untuk menaiki bas tertentu, maka naiklah bas tersebut sahaja sepanjang perjalanan anda. Janganlah pula naik bas-bas lain yang tidak menerima pakai pass tersebut dan memerlukan anda membayar harga lain.

Jika pass itu membenarkan anda masuk secara percuma ke 28 destinasi pelancongan yang ditetapkan, maka cubalah sedaya upaya untuk menjelajahi kesemua tempat tersebut. Janganlah hanya menghabiskan masa anda berjam-jam lamanya di satu atau dua tempat sahaja.

Okay, berbalik kepada cerita saya di Osaka...

Memang agak mustahil untuk pergi ke semua 28 tempat dalam masa satu hari. Jadi, kita perlu membuat pilihan dengan bijak. Semasa membeli pass, kita akan diberi senarai tempat menarik, peta dan panduan. Oleh itu, sebelum memulakan perjalanan, baiklah merancang dahulu.

Tempat pertama yang kami lawati pada hari tersebut ialah Tsutenkaku Tower. Secara peribadi, saya tidak suka tempat ini. Kami telah membuang banyak masa di sini kerana perlu beratur panjang beberapa kali untuk sampai ke menara yang tidaklah seindah mana pun pemandangannya. 



Seterusnya kami ke Minami, Namba. Ini adalah kawasan membeli-belah yang penuh dengan gedung membeli-belah dan deretan pelbagai jenis kedai daripada makanan, pakaian, peralatan dan macam-macam lagi. Di sinilah Dotonbori yang ada gambar Glico Man gergasi yang popular itu (saya pun tak pasti kenapa ye?), ketam dan juga makanan popular Osaka iaitu takoyaki.


 

Pemandangan dari river cruise

Pemandu pelancong di dalam cruise 

Dengan Osaka Amazing Pass kami dapat menaiki Tombori River Cruise secara percuma dan menyelusuri sungai sambil menikmati pemandangan kawasan Minami. Selepas itu menaiki HEP Five Ferris Wheel - roda ferris gergasi yang terdapat di celah-celah kompleks membeli-belah. Agak kagum juga kerana di tengah-tengah kesibukan bandar dan di celah-celah bangunan pun boleh ada roda ferris yang besar. 


Ferris wheel di celah bangunan

Memandangkan kami sudah membazir banyak masa di Tsutenkaku Tower dan juga lama beratur untuk merasai takoyaki halal Osaka, hari telah pun menjelang senja ketika kami tiba di Umeda Sky Building Floating Garden Observatory. Namun tidak sia-sia juga kerana pemandangan pada waktu itu sungguh indah. Bangunan setinggi 173 meter ini saya anggap canggih. Dari luar lagi sudah nampak keunikannya. Kalau ke Osaka, rugi jika tidak naik melihat pemandangan dari bumbung bangunan ini.


Umeda Sky Building yang canggih - ada escalator di bulatan tengah itu


 

Pemandangan dari Floating Garden Observatory

Walaupun badan sudah agak letih, kami gagahkan juga ke destinasi terakhir kami malam itu iaitu ke Tempozan Giant Ferris Wheel. Sekali lagi kami menaiki roda feris berwarna-warni yang sangat cantik pada waktu malam. Untung juga kami sampai lewat di sini kerana tidak perlu beratur untuk menaiki roda feris dan dapat menikmati pemandangan tanpa kesesakan orang ramai.


Pemandangan dari Tempozan Giant Ferris Wheel - nampak Kaiyukan

Di kawasan yang sama, terletaknya Kaiyukan - sebuah akuarium besar yang terkenal di Jepun. Namun begitu, kami tidak sempat masuk sebab waktu operasi dah tamat. Di situ juga ada Legoland dan Cruise Ship Santa Maria.    

Bila dicongak-congak, cuma 15% sahaja tempat yang kami mampu lawati. Itu pun kami tidak membuang masa membeli-belah kerana pada pendapat saya, harga barang-barang di Osaka tidak murah. Kalau dikira kos turun naik keretapi dan tiket masuk ke tempat-tempat tersebut, memang berbaloi menggunakan pass. 

Banyak lagi tempat di Osaka yang kami tidak sempat kunjungi, maklumlah cuma sehari kami peruntukkan masa di sini. Tidak mengapalah, InsyaAllah kalau ada rezeki bolehlah kami berkunjung lagi..! :)   


No comments:

Post a Comment