Bersua lagi...
Seperti dijanjikan, saya sambung pengalaman bercuti ke Jepun.
Dalam artikel yang lepas, saya telah bercerita tentang JR Pass dan keistimewaannya. Kali ini saya ingin menyambung sedikit lagi bagaimana saya menggunakan JR Pass untuk melawat Gunung Fuji.
Harapan saya untuk ke Gunung Fuji nampaknya masih belum kesampaian. Walaupun kunjungan ke Jepun kali ini sepatutnya telah masuk musim bunga, namun atas perubahan cuaca global, musim sejuk masih belum berakhir dan saya agak terkilan kerana tidak dapat melihat keindahan sakura.
Dengan adanya JR Pass, kami bercadang untuk ke Gunung Fuji secara day trip sahaja. Trip pertama ialah melihat Gunung Fuji dari Tasik Kawaguchiko. Dari Stesen Tokyo, kami menggunakan JR Pass ke Mitaka/Takao dan seterusnya menaiki Limited Express Azusa menuju ke Otsuki. Dari Otsuki, tiada laluan yang boleh menggunakan JR Pass, jadi kami perlu melalui Fujikyo Railway menuju ke Kawaguchiko dengan tambang Yen1,140 seorang. Keseluruhan perjalanan dari Tokyo ke Kawaguchiko ini mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Di Kawaguchiko terdapat perkhidmatan bas, keretapi dan teksi. Banyak tempat lawatan yang telah saya senaraikan seperti Nashigawa Autumn Leaves' Cloisters, Kawaguchiko Hall of herb & fragrance, 4th & 5th station, tapak Springtime Fuji Moss Phlox Festival, dan Oishi Park. Malangnya satu pun kami tidak sempat pergi. Di pertengahan jalan, salji turun mencurah-curah. Dalam beberapa minit, jalan raya sudah dilitupi salji. Kenderaan yang kami naiki tidak mahu meneruskan perjalanan kerana bimbang dengan cuaca yang tidak menentu.
Kami cuma sempat bermain salji seketika di tepi tasik yang tidak berapa jelas dan Gunung Fuji yang sepatutnya nampak jelas dari tasik itu sedikit pun tidak kelihatan. :(
"I'm expecting sakura but I get snow!" Walaupun hampa kerana tidak dapat menikmati keindahan sakura, tetapi siapa sangka saya dapat merasai salji turun dan sempat bermain-main. Itulah ketentuan Ilahi... Dia tidak memberikan apa yang kita minta tetapi menggantikannya dengan yang lebih baik. MasyaAllah! Alhamdulillah.
Seperti yang dilaporkan, cuaca pada hari tersebut memang diramalkan hujan. Kami sepatutnya merujuk kepada laporan ramalan kaji cuaca sebelum bertolak ke Gunung Fuji. Kami difahamkan ramalan kaji cuaca di Jepun memang reliable, jadi boleh dijadikan panduan perjalanan.
Memandangkan jadual kami juga agak ketat, perjalanan terpaksa diteruskan. Lawatan ke Gunung Fuji berakhir dengan sedikit kekecewaan yang terubat dengan bermain salji. Hari berikutnya kami meneruskan perjalanan dari Tokyo ke Osaka menaiki shinkansen (menggunakan JR Pass). Berdasarkan ramalan cuaca, pagi itu cuaca baik. Memang tepat sekali! Dalam perjalanan (di antara Odawara dan Shizuoka), di bawah sinaran matahari, kami dapat lihat Gunung Fuji dengan begitu jelas. Sungguh indah alam ciptaan Tuhan!
Hati saya meronta-ronta untuk berpatah balik. Kalau berhenti di Stesen Odawara dan menuju ke Hakone pada saat ini tentulah boleh bergambar berlatar-belakangkan Gunung Fuji yang nampak jelas.
Namun begitu, bullet train meluncur dengan sangat laju dan akhirnya kami tiba di Osaka. Siapa sangka! Setibanya di Osaka, kami cepat-cepat check-in, tinggalkan bagasi dan menyelinap semula menaiki shinkansen menuju ke utara semula! Mujur ada JR Pass! Hah..hah..hah...
Kami tiba di Stesen Odawara sudah petang. Cadangnya hendak ke Hakone yang memerlukan kami menaiki keretapi menggunakan Hakone Tozan Railway (tanpa JR Pass). Mujurlah kami sempat bertanya di kaunter pelancongan dan mereka mempunyai tv yang menyiarkan secara langsung gambar-gambar di sekitar Gunung Fuji.
Memandangkan sudah agak lewat petang dan cuaca makin gelap, kelibat gunung sudah tidak kelihatan lagi!. Menurut pembantu pelancong di situ, perjalanan untuk ke tempat (spot) paling cantik untuk mengambil gambar berlatar-belakangkan Gunung Fuji mungkin akan ambil masa lagi sejam. Pada ketika itu, mungkin keadaan sudah bertambah gelap. Tambahan pula, terdapat beberapa tempat pelancongan seperti Hakone ropeway dan Owakudani telah ditutup sementara kerana terdapat gegaran halus gunung berapi.
Mendengarkan perkara tersebut, kami pun membatalkan hasrat untuk ke Hakone dan pulang semula ke Osaka. Dalam kehampaan kali kedua itu, kami tersilap naik shinkansen! Hah..hah..hah... sungguh kelakar. Setelah keretapi bergerak baru kami perasan. Kami bercadang turun di stesen berikutnya iaitu Mishima.
MasyaAllah! Tentulah ada hikmah di sebalik semua kejadian itu. Pemandangan Gunung Fuji sangat jelas dari stesen Mishima. Kami turun berjalan-jalan di sekitar stesen dan dapatlah mengambil gambar berlatar-belakangkan Gunung Fuji!
Alhamdulillah... Walaupun niat untuk melihat Gunung Fuji dari dekat tidak kesampaian, dapat lihat dari jauh pun memadailah.
Kesimpulan yang dapat saya buat, mujurlah kami ada JR Pass.. ;) Dengan JR Pass, saya tidak teragak-agak untuk pergi balik Tokyo-Osaka beberapa kali dan pergi balik 'mengejar' Gunung Fuji. Dengan JR Pass juga kami tidak panik walau tersilap naik keretapi dan boleh turun di mana-mana dan naik semula di mana-mana.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment