Thursday 5 October 2023

Jalan-Jalan Hatyai 2019

Assalamualaikum...

Ini cerita lama... empat tahun yang lepas. Lama saya peram sebab hilang minat untuk menulis tentang tajuk ini. Namun akhirnya saya kongsikan juga di sini sekadar untuk hiburan hati.. :)

Kisah saya sekeluarga bercuti ke Hatyai, Thailand. Tujuan utama percutian ialah jalan-jalan cari makan sebab dengar-dengar cerita orang, Hatyai ini syurga makanan murah. Betul ke?

Dan kami juga pertama kali nak mencuba memandu kereta sendiri merentasi sempadan Thailand melalui Bukit Kayu Hitam.

Seperti biasa, sebelum perjalanan, banyaklah maklumat yang kami cari di alam maya ini. Kebanyakan maklumat yang dikongsi mengandungi info yang lebih kurang sama sahaja ~ misalnya tempat makan yang menarik, tempat melawat dan sebagainya. Rata-rata juga kami baca orang kata Hatyai ini syurga makanan dan membeli-belah terutama bagi rakyat Malaysia. Itu yang buatkan kami tertarik nak ke sana. Ada juga macam-macam komen tentang membawa masuk kereta sendiri ke Thailand, antaranya pelbagai kerenah birokrasi di Kastam & Imigresen, jalan raya yang tak serupa seperti di Malaysia, polis Thailand yang suka ambil tindakan ke atas kenderaan Malaysia dan macam-macam lagi komen yang kurang menyenangkan.

Hmmm.... setelah berada di sana selama empat hari tiga malam, pada pendapat saya, kebanyakan info yang kami dapati banyak yang kurang tepat. Tak tahulah.... mungkin pendapat masing-masing berbeza. Jadi, di sini saya nak kongsikan pandangan saya pula. Manalah tahu ada antara pembaca yang sependapat dengan saya, kan?

Wednesday 4 October 2023

Aset : Mudah Beli, Susah Jual

Memiliki aset menjadi kebanggaan seseorang individu, kerana dengan adanya aset, menunjukkan "nilai" diri kita. Namun begitu, "nilai bersih" seseorang itu ialah jumlah asetnya setelah ditolak dengan jumlah tanggungannya / liabiliti.

Untuk mendapatkan aset, kebiasaannya, liabiliti akan terhasil terlebih dahulu. Contohnya, untuk mendapatkan sebiji kereta, kita perlu membuat pinjaman sewa beli; dan untuk mendapatkan rumah, kita perlu membuat pinjaman perumahan.

Nilai aset seperti kereta secara umumnya akan berkurangan akibat susutnilai. Namun, jumlah liabiliti tidak berganjak. Oleh sebab itu, pada suatu tempoh tertentu, harga pasaran kereta yang kita ada adalah kurang daripada jumlah baki pinjaman sewa beli kita. Dalam keadaan ini, sekiranya kita menjual kereta tersebut, wang yang diperolehi tidak akan cukup untuk menyelesaikan baki pinjaman di bank.

Manakala bagi sebuah rumah, kebiasaannya nilai hartanah akan meningkat. Namun begitu, banyak faktor yang menentukan harga pasaran sesebuah rumah seperti lokasi, kondisi rumah itu sendiri, permintaan setempat dan juga pasaran / ekonomi negara. Tidak mustahil harga rumah boleh jatuh lebih rendah daripada harga belian, antara sebabnya seperti lambakan rumah di sesebuah kawasan sehinggakan banyak yang terbengkalai dan tiada permintaan. Rumah yang dilelong juga mempunyai nilai pasaran lebih rendah. Walaupun, nilai aset rumah mungkin melebihi dari jumlah baki pinjaman perumahan, namun proses untuk mencairkan aset rumah adalah melalui proses yang panjang. 

Semangat patriotisme

Rakyat Malaysia ni rata-ratanya kurang semangat patriotisme. Hanya berdekah-dekah di media sosial tapi tindakan lemah! Memang sekarang negara kita aman, bukan dalam arena peperangan. Tak perlu pun angkat senjata untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara. Tak payah pergi jauh lah. Sekadar kibarkan Jalur Gemilang sehelai di pagar rumah, itu pun susah nak nampak. Bukanlah sepanjang masa, malah semasa kempen di bulan Ogos-September pun tak ramai yang sokong. Kalau tak disogok dengan bendera percuma, kalau tak dianjurkan pertandingan, memang sunyi sepi lah. Pergilah ke mana-mana taman perumahan, dalam sederet rumah, boleh dibilang dengan jari berapa kerat sahaja yang ada bendera. Benda simple tapi ramai yang anggap remeh.



#pasangbenderaje..pun

Makanan laut

Kata orang, Sabah ialah syurga makanan laut, khasnya di Tawau. Kata mereka, bukan sahaja sedap dan segar, tapi juga murah! Ye, sekali lagi murah! Saya dah beberapa kali ke Sabah. Seluruh Sabah sudah pernah dijejaki. Ke Tawau juga sudah dua kali. Saya dibawa oleh orang tempatan ke kedai-kedai makan. Kebanyakan tidaklah murah seperti yang orang katakan. Sekali lagi ~ berapa standard "murah" yang rakyat Malaysia definisikan? Mungkin saya ini kedekut, tapi kalau harga seekor ikan dimasak sama sahaja macam yang dimakan di restoran tomyam di KL, celah mana yang murahnya tu dik oi?  


#orangsabahjanganmarah

Kayanya rakyat Malaysia....

Kadang-kadang pelik dengan rakyat Malaysia ni. Suka sangat ke Thailand, khasnya Hatyai. Katanya makanan sedap dan murah. Bila saya pergi Hatyai, takde lah murah mana pun makanannya! Berapa standard harga yang dikatakan "murah" tu???  Saya bandingkan dengan Malaysia, setara sahaja harganya. Celah mana yang murah tu dik?


#ramaiorangkaya

Sajak Merdeka

Baru-baru ini suami saya beritahu dia nak sertai pertandingan mendeklamasi sajak sempena bulan kemerdekaan. Dia minta saya ciptakan sebuah sajak. Mulanya saya malas, tapi sambil-sambil memasak, idea spontan datang. 

Maka terciptalah sajak berikut:-


Enam enam
Bukan nombor tikaman
Bukan sekadar gandaan
Bukan ikut-ikutan.

Enam puluh enam tahun kemerdekaan
Suatu tempoh yang kita banggakan
Detik bersejarah yang kita kenangkan.

Betapa banyak pengorbanan
Betapa banyak air mata kesedihan
Betapa banyak ranjau meniti kemenangan.

Kini merdeka bukan lagi igauan
Kejayaan sudah di tangan
Cuma satu yang wajib kita kekalkan
Perpaduan! Perpaduan! Perpaduan!

Malaysia bumi yang kupertahankan
Moga maju dan makmur berkekalan.
 


Namun begitu, sajak ini tidak pun berjaya dideklamasikannya. Kerana terlampau sibuk, beliau terlepas pandang yang syarat pertandingan ialah dengan merakam dalam bentuk video, bukannya persembahan nyata. Sedih lah juga saya sebab tak dapat sertai pertandingan. Jadi, saya semadikanlah sajak tersebut di sini menjadi kenang-kenangan 66 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan.


Gambar dari google