Thursday 10 January 2019

Ayam Haseyo


Seiring dengan perkembangan semasa yang menggilai makanan Korea, kali ini saya nak kongsikan resepi ayam goreng ala Korea yang saya namakan Ayam Haseyo. Resepi ini saya cari di internet dan seperti biasa, diubahsuai mengikut citarasa sendiri.




Bahan-bahannya ringkas sahaja seperti berikut:-

Bahan A:
Seekor ayam - dipotong saiz apa? ----> ikut suka. 
5 sudu besar tepung gandum
5 sudu besar tepung beras
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 biji telur

Caranya:-
Ayam yang sudah dibersihkan dan dipotong, digaulkan dengan semua bahan-bahan di atas. Perapkan lebih kurang setengah jam.
Kebiasaannya ayam goreng yang dihidangkan di restoran Korea bersaiz kecil. Jadi, kalau nak rasa seperti makan di BBQ Chicken misalnya, potonglah ayam kecil-kecil. Maksudnya, seekor ayam boleh dipotong 14 - 18. Sebenarnya, ikut suka kitalah, kalau nak besar-besar macam ayam KFC pun boleh!
Sukatan tepung di atas, anggaran sahaja. Maklumlah, saya ini bukannya jenis yang suka ikut sangat resepi. Kalau rasa nak lebih atau kurangkan pun tiada masalah. Ikut selera masing-masing.
Setelah cukup masa perapan, gorenglah ayam tersebut hingga masak dan garing.


Bahan B (Sos):
5 ulas bawang putih - kisar/tumbuk
5 sudu besar cili kering yang telah dikisar
(kalau ada pes cili Korea - gochujang mungkin rasanya lebih terangkat!)
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar madu
1 sudu besar cuka
Garam dan gula secukup rasa
Bijan

Caranya:-
Tumiskan bawang putih hingga naik bau. Masukkan cili dan kacau hingga garing. Masukkan sos tomato, madu dan cuka. Tambah garam dan gula secukup rasa. Semua bahan-bahan ini boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa. Kalau suka sos banyak, boleh tambah lagi sukatan cili kisar tadi. Bergantung juga kepada saiz ayam - sebab kalau ayam saiz besar, perlu lebihkan sedikit sos. Bila sos dah elok masak likat, masukkan sedikit bijan. Ambil ayam yang telah digoreng tadi (Bahan A) dan gaulkan ke dalam sos.

Bagi yang belum pernah rasa ayam goreng ala Korea, ayam goreng ini rasanya rangup, masam, manis dan pedas. Biasanya semakin tinggi tahap kepedasannya, semakin sedap sehingga menjilat jari.

Bila nak hidang, taburkan lagi sedikit bijan untuk menaikkan lagi rasanya. Siap dan boleh makan sehingga menangis! :)



Tuesday 8 January 2019

Anak saya biasa-biasa aje..

Pernah suatu ketika ada orang membangkitkan isu anak-anak di Malaysia yang "didera" seawal usia empat tahun oleh ibu bapa sendiri. Ada yang mengatakan ini adalah suatu malapetaka kerana di usia semuda itu anak-anak telah diasak untuk mempelajari banyak perkara.

Saya bersetuju dengan pendapat tersebut. Malah, saya lebih konservatif daripada itu.

Baru-baru ini pula riuh berkenaan isu Sekolah Berasrama Penuh. Ada yang melenting, ada yang menyokong. Pada saya, hal ini sedikit pun tidak menjejaskan apa-apa. 

Bagi saya, sudah pun namanya kanak-kanak, mengapalah kita terlampau mendesak mereka untuk "pandai" dan serba-boleh akan segalanya? Sedangkan ramai orang dewasa sendiri pun yang masih "bodoh", inikan pula anak-anak kecil mahu disogokkan supaya menjadi manusia sempurna!

Walaupun ada lah juga belajar sampai ke universiti, namun saya rasa dalam banyak hal saya masih berfikiran kolot. Saya percaya masyarakat di luar sana rata-ratanya tidak bersetuju dengan pemikiran saya. Pada saya, biarlah kolot asalkan punya nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian yang tinggi.

Kesemua lima orang anak saya, hanya saya hantar ke tadika pada usia enam tahun. Itu pun sekadar tadika biasa-biasa sahaja - yang paling hampir dengan rumah. Tidaklah saya berkeinginan untuk menghantar mereka ke tadika-tadika yang perlu membayar beratus-ratus sebulan semata-mata kerana mahu anak pandai cakap orang putih atau cakap cina atau cakap arab.   

Alhamdulillah, kesemuanya boleh membaca, mengira dan menulis sama seperti kanak-kanak lain yang ke sekolah tadika mahal. Mereka ke sekolah dengan rela hati, tidak perlu dipaksa - sehinggakan ke tahap mereka sendiri meminta untuk dihantar ke sekolah. Mereka hanya belajar apa yang diajar oleh guru di tadika, makan minum dan bermain sesuka hati. Saya tidak pernah memaksa mereka untuk belajar bermati-matian untuk mendapat tempat pertama di kelas, jauh sekali menghantar tuisyen di usia itu.

Selamat Tahun Baru 2019!

Assalamualaikum...

Selamat Tahun Baru 2019!

Sudah lapan hari tahun 2018 melabuhkan tirai... Baru perasan rupa-rupanya sepanjang tahun lepas tiada satu pun artikel yang saya tulis. Nak kata sibuk rasanya taklah juga... Boleh dikatakan tahun 2018 merupakan tahun yang paling rileks bagi saya... manakan tidak, badan pun semakin menjadi-jadi naiknya!

Tahun ini, cadangnya nak mengaktifkan blog ini semula. Banyak idea ada dalam kepala, tapi tak tahulah terlaksana atau tidak. Semoga Allah permudahkan segalanya.

Sehingga beremu lagi.. !