Dalam artikel yang lepas, saya telah kongsikan resepi donut yang saya biasa buat. Ianya mungkinlah bukan resepi terbaik dan tersedap tetapi yang paling mudah untuk saya buat. Dah banyak kali saya buat donut menggunakan resepi tersebut dan Alhamdulillah menjadi.
Kali ini saya ingin kongsikan resepi untuk membuat pau, pau goreng, cakoi dan puri. Dengan menggunakan satu resepi, kita sebenarnya boleh menghasilkan sehingga lima jenis kuih. Sekali lagi, ini mungkin bukanlah resepi terbaik, tetapi ianya praktikal bagi orang seperti saya yang agak pemalas. 😅
Bahan-bahan asasnya:-
1 paket yis (saya biasa guna mauripan) } bancuh dengan
2 sudu besar gula pasir } secawan air
1 paket tepung gandum (yang 1kg atau 850g mana-mana pun boleh)
1 sudu kecil garam
1 sudu besar marjerin
1 sudu kecil baking powder
Air secukupnya
Cara-caranya:-
- Bancuh yis dan gula, biarkan lebih kurang 10-15 minit. Campuran ini akan mengembang, jadi pastikan jangan isi air penuh secawan supaya ia tidak melimpah nanti. Seeloknya gunakan bekas yang lebih besar seperti koleh atau jug kecil.
- Tepung, garam, marjerin dan baking powder - masukkan ke dalam mixer dan gaul. Kalau tiada mixer, gaul dengan tangan sahaja.
- Masukkan campuran yis dan gula yang telah naik / kembang ke dalam tepung. Tambah air sedikit-sedikit dan terus menguli sehingga mendapat satu doh.
- Sukatan air memang tiada yang khusus sebab bergantung kepada jenis dan jumlah tepung yang digunakan. Kalau tepung sepaket 1kg akan memerlukan air yang lebih banyak berbanding tepung sepaket 850g. Jadi, jangan curah air sewenang-wenangnya ke dalam adunan. Kalau dah biasa buat, kita boleh agak setakat mana air yang perlu berdasarkan rupa adunan. Dohnya mestilah boleh dibulatkan, lembut dan licin.
- Tutup dengan kain basah dan biarkan lebih kurang satu jam.
Pau kukus
- Jika ingin membuat pau kukus, pastikan anda sediakan lapiknya sama ada menggunakan daun pisang atau kertas terlebih dahulu.
- Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan leperkan.
- Kemudian isilah inti yang anda suka, Saya biasanya letak inti kelapa atau kacang merah. Sesekali saya juga letak inti daging atau ayam seperti inti karipap.
- Setelah dibulatkan dengan cantik, letak atas pelapik daun pisang tadi dan susunlah dalam kukus.
- Panaskan dahulu air kukus.
- Setelah selesai membulat dan mengisi inti, bolehlah dikukus.
- Pau kukus sangat cepat masak. Lebih kurang 10-15 minit dah masak. Semasa masak, pau akan naik gebu dengan cantik. Tapi biasanya selepas diangkat, pau akan sedikit mengecut. Kata orang ini ialah pau kampung. Rupanya memang tidak begitu cantik dan gebu seperti pau yang dijual di kedai tapi rasanya tetap sedap.😘
- Terdapat juga tepung pau yang dijual di pasaran, jadi anda boleh sahaja menukar tepung gandum kepada tepung pau. Mungkin rupanya akan jadi lebih cantik dan gebu.
Pau goreng
- Jika ingin membuat pau goreng, caranya sama sahaja seperti membuat pau kukus. Cuma ia tidak perlu dilapik dengan daun pisang.
- Doh yang telah diisi inti hendaklah dileperkan sedikit, supaya semasa menggoreng pau akan mengembung dan tidak mampat.
- Susun pau yang telah siap di dalam dulang yang telah ditabur tepung sebelum digoreng.
- Inti pau goreng yang saya biasa buat ialah sambal atau pun kacang merah.
- Goreng pau seperti menggoreng donut secara deep fry. Gunakan minyak yang agak banyak dan api sederhana. Balik-balikkan supaya ia masak sekata.
Cakoi
- Jika ingin membuat cakoi, ambil sedikit doh dan canaikan.
- Kemudian potong memanjang.
- Ambil chopstick, celup air dan tekan memanjang di tengah doh yang telah dipotong tadi. Ini sekadar untuk menjadikan ia nampak macam terbelah dua. Kalau tak buat pun tak mengapa.
- Semasa hendak menggoreng, tarik sedikit doh tadi semasa dimasukkan ke dalam minyak. Balik-balikkan supaya ia masak sekata.
- Cakoi panas-panas boleh dimakan dengan kaya, sambal atau dimakan begitu sahaja.
Puri
- Untuk membuat puri, teknik yang paling penting ialah semasa menggoreng.
- Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan kemudian canai. Canai jangan terlalu nipis tetapi janganlah pula terlalu tebal. Agak-agak dalam 0.5cm ok kot.
- Selepas canai terus masukkan ke dalam kuali yang telah dipanaskan minyak.
- Semasa menggoreng, dengan menggunakan sudip, curah-curahkan minyak ke atas doh. Doh akan menggelembung seperti belon. Balik-balikkan supaya masak sekata.
- Jika doh tidak mengembung, bermakna teknik gorengan anda tidak betul.
- Puri yang menjadi ialah yang kembung, di dalamnya kosong.
- Puri sedap dicicah dengan kari, kuah dal, sambal, kurma atau apa sahaja yang anda suka.
- Sebenarnya, jika nak dibandingkan puri yang dihasilkan daripada resepi ini, rasanya memang berbeza dengan yang dimakan di kedai mamak. Sebab di kedai mamak mereka gunakan tepung istimewa. Tepung puri juga sebenarnya ada dijual di kedai tapi saya belum pernah mencuba sebab saya lebih sukakan rasa tepung gandum.😄
Senang kan? Daripada bahan dan doh yang sama, beberapa jenis kuih dapat dihasilkan. Mungkin bagi orang yang teliti, rasanya tidak begitu sedap sebab maklumlah bahannya sama. Tapi bagi orang yang kurang rajin, ianya sangat membantu.
Kalau anda sukakan doh yang sedikit manis, boleh sahaja tambahkan sesudu susu pekat. Manakala jika inginkan rasa yang lebih berlemak, mungkin juga boleh tambahkan telur. Ikutlah kreativiti masing-masing asalkan hasilnya menjadi.
Hidup sebagai suri rumah tidak akan pernah bosan jika kita sentiasa positif dan kreatif. Yang nak makannya kita dan keluarga. Yang nak membuatnya pun kita. Jadi, tidak perlu terlalu restrictive dan terikat dengan sesuatu resepi. Kita boleh sahaja mengubah ikut selera sendiri. Yang penting, perut kenyang, hati senang. 😁
(gambar makanan tiada pula dalam simpanan. Saya akan kongsikan bila-bila saya buat nanti ok..!)
No comments:
Post a Comment