Biskut samperit cheese ni bagi saya agak baru. Sebelum-sebelum ni, sejak dari kecil lagi, saya biasa dengan biskut samperit tradisional sahaja. Sama ada yang berbentuk panjang atau yang berbentuk bunga yang biasanya orang panggil samperit dahlia.
Tahun ini pertama kalinya saya mencuba untuk membuat samperit cheese... sebab anak bongsu suka. Maklumlah sekarang ni semua benda nak tambah cheese. 😅
Saya dah cuba dua resepi iaitu yang menggunakan hanya 4 bahan dan resepi kedua yang menggunakan lebih banyak bahan. Kedua-dua resepi saya ambil di internet. Daripada pemerhatian saya, resepi pertama yang menggunakan 4 bahan menghasilkan biskut yang cantik putih gebu, tetapi rasa yang agak plain. Manakala resepi kedua yang menggunakan lebih banyak bahan, menghasilkan biskut yang sedikit kekuningan tetapi mempunyai rasa yang lebih sedap. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai tekstur yang sangat lembut, kena berhati-hati bila memegang kerana kelopaknya amat rapuh. Bila masuk ke mulut, ianya cair seakan kuih bangkit dan akan melekat-lekat di lelangit dan celah gigi.. 😆
Secara peribadinya, saya kurang gemar dengan biskut ini, tetapi suami dan anak bongsu pula suka. Jadi saya kongsikan resepi di sini supaya senang dirujuk jika saya ingin buat lagi di tahun-tahun akan datang, jika ada permintaan. 😄
Resepi ini saya telah olah mengikut sukatan cawan untuk lebih mudah. Resepi yang menggunakan 4 bahan saya tidak kongsikan di sini sebab saya rasa kurang sedap. Kalau anda berminat, boleh google sahaja dengan mudah.
Bahan-bahan:-
1 ketul mentega
2 sudu besar susu pekat
100g cream cheese
1/2 cawan gula aising / gula pasir yang dimesin halus
2 biji kuning telur
1/2 sudu teh vanila
2 cawan tepung jagung }
1 cawan tepung kastard } ayak
1 1/2 cawan tepung gandum }
Cara-caranya:-
- Kacau mentega, susu, gula dan cheese dengan senduk kayu. Kacau supaya hancur sebati sahaja. Tak perlu kacau sampai kembang.
- Masukkan telur dan esen vanila.
- Masukkan tepung sedikit-sedikit. Kalau adunan terlalu cair, boleh tambah tepung sehingga agak-agak boleh digentel.
- Tekan menggunakan acuan samperit bunga / nozel icing mengikut bunga kesukaan anda. Seeloknya picitkan adunan sedikit tinggi / tebal, sebab kalau terlalu nipis dikhuatiri biskut akan hancur apabila diangkat.
- Hias dengan ceri / manik atau apa2 mengikut suka,
- Bakar 170oC lebih kurang 10 minit sahaja, atau mengikut kesesuaian oven masing-masing.
Ini ialah rupa biskut sebelum dibakar. Di gambar pertama, boleh nampak beza dua resepi yang saya cuba. Resepi yang saya kongsi di sini ialah yang nampak lebih kuning itu. Setelah dibakar, Alhamdulillah, rupa biskut sama seperti seblum dibakar ~ tidak kembang atau melebar. Kalau anda orang yang suka makan biskut yang lembut-lembut rapuh, cubalah resepi ni!
No comments:
Post a Comment