Nama biskut ni Almond London atau London Almond, saya pun tak pasti. Dari mana asal usul nama ni pun saya tak pasti. Tak kisahlah apa pun namanya, tapi saya suka makan biskut ni. 😄
Sebelum ni pernah juga beberapa kali buat tapi tak berapa menjadi, mungkin bahan tak cukup. Baru-baru ini saya buat dengan bahan yang agak lengkap dan Alhamdulillah rasanya sedap.
Jadi di sini saya kongsikan resepinya, mengikut apa yang saya buat. Bahan-bahan yang saya tidak masukkan (kerana tiada), saya tidak tulis di sini. Kerana tanpa bahan tersebut pun biskut sudah cukup sedap.
Bahan-bahan:-
Biji badam - berapa banyak bergantunglah kepada berapa ketul kuih yang anda nak buat. Saya tak buat banyak, sekadar menggunakan stok badam sedia ada, lebih kurang dalam anggaran 60-70 biji.
Badam cincang / nib - untuk hiasan
1 ketul mentega
3/4 cawan gula aising / gula pasir dimesin halus
2 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanila
2 cawan tepung gandum }
1 cawan tepung jagung } ayak
2 sudu besar tepung beras }
2 sudu besar susu tepung }
1/2 sudu teh emplek }
Salutan coklat : Campuran milk dan dark compound chocolate. (Saya guna Berylls)
Paper cup
Cara-caranya:-
- Bakar biji badam dan badam nib dalam oven lebih kurang 10 minit. (Badam nib cepat hangus, jadi keluarkan dari oven telebih dahulu)
- Kacau mentega dengan gula.
- Masukkan telur dan esen vanila.
- Masukkan bahan-bahan yang dah diayak.
- Uli dengan perlahan sehingga mendapat satu doh yang boleh dibulat-bulatkan. Kalau doh terlalu cair, boleh tambah sedikit tepung.
- Bulatkan doh kecil-kecil dan masukkan biji badam. Gentel sedikit bujur mengikut bentuk badam.
- Susun dalam loyang jangan terlalu rapat kerana biskut akan sedikit mengembang. Bakar dengan suhu 170oC lebih kurang 10 minit atau mengikut kesesuaian oven masing-masing.
- Kalau biji badam tak cukup, bulat-bulatkan sahaja doh yang kosong. Kadang-kadang ada orang yang tak gemar atau tak boleh makan kekacang, jadi mereka masih boleh makan biskut ini.
- Bila biskut dah sejuk, baru celupkan ke dalam coklat.
- Coklat dicairkan secara double boiling. Sukatan saya agak-agak sahaja, ikutlah banyak mana biskut yang ada. Kalau tak cukup boleh cairkan lagi.
- Biskut yang telah dicelup coklat, letakkan dalam paper cup. Paper cup hendaklah yang jenis lembut supaya boleh dibentuk. (Saya tersilap menggunakan paper cup jenis keras yang ada plastik di dalamnya. Jadi, susah hendak membentuk biskut dan coklat. Jadi hasilnya agak comot 😅)
- Cara menyalut coklat pada biskut juga ikutlah kreativiti masing-masing. Ada yang celup keseluruhan biskut dan kemudian baru masukkan ke dalam paper cup. Ada yang masukkan biskut ke dalam paper cup dahulu, kemudian baru curahkan coklat. Saya buat kaedah kedua ~ hasilnya rupa agak kurang cantik.
- Akhir sekali taburkan sedikit badam nib sebagai hiasan. Kalau tak nak guna badam, boleh guna manik warna warni dan sebagainya.
- Coklat agak lambat untuk beku, jadi kena tunggu agak lama sebelum boleh dimasukkan ke dalam bekas.
No comments:
Post a Comment