Thursday, 25 April 2024

Resepi Kuih Bakar

Kuih bakar ini ialah kuih tradisional yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang saya. Rasanya agak manis dan berlemak. Bagi penghidap kencing manis atau mereka yang tidak gemar makanan manis, mungkin tidak suka kuih ini.

Kuih ini mesti dibakar dalam acuan berbunga yang diperbuat daripada tembaga atau besi. Dahulu kala, kuih ini sering dibuat bila ada kenduri kendara dan kadang-kadang digunakan juga sebagai juadah di dalam dulang hantaran perkahwinan. Bila dihias dengan ceri di setiap kelopaknya, memang nampak cantik dan authentic

Beginilah rupa acuan tembaga untuk kuih bakar yang saya ambil dari google.


Oleh kerana kandungan gula yang banyak, kuih ini dikatakan boleh bertahan agak lama walaupun tidak disimpan di dalam peti sejuk. Mungkinlah sebab itu kuih ini gemar disediakan oleh nenek dan ibu-ibu saudara saya dahulu.

Sekarang ini cuma emak saya sahaja yang mewarisi pembuatan kuih bakar ini. Walaupun ramai saudara mara yang telah diberi resepi dan diajar cara-cara membuatnya, tetapi masih tiada yang pernah mencuba. Malah, saya sendiri pun belum berani mencubanya. 😚

Berikut ialah resepi yang emak saya kongsikan. Sekali pandang memang nampak macam mudah sahaja bahan dan cara pembuatannya. Tetapi, percayalah... kuih klasik ini tidak seperti kuih moden, ia tidak dengan mudahnya akan menjadi seperti yang sepatutnya. Mungkin sebab itulah tidak ramai yang hendak membuatnya.


Bahan-bahan:-

1 mangkuk telur
2 mangkuk gula pasir kasar
1 mangkuk santan
1/2 mangkuk tepung gandum
Pewarna kuning
Daun pandan
Daun limau purut


Cara-caranya:-

  • Campurkan semua bahan di dalam satu bekas.
  • Gaul dengan tangan sahaja.sambil ramas-ramaskan daun pandan dan daun limau purut. 
  • Tidak perlu pukul / kacau sehingga hancur halus.
  • Panaskan acuan di atas dapur, sapukan sedikit minyak sapi.
  • Curahkan adunan ke dalam acuan dan masukkan ke dalam oven untuk dibakar.
  • Kuih yang sudah masak akan garing atasnya dan berkeping-keping / menggerutu - tidak licin.
  • Keluarkan dari loyang dengan cara menterbalikkan loyang di atas dulang / pinggan / plastik, dan kemudian cepat-cepat terbalikkan semula.

Nampak macam senang kan? Tapi sebenarnya ia memerlukan skill tertentu untuk kuih menjadi. Kata mak, gula pasir mestilah yang kasar. Kalau gula halus, permukaan kuih nanti tak cantik "bersakau". Santan pula mestilah yang berkualiti, santan yang baru diperah, pekat dan jangan sekali-kali tengit. Kalau santan tak elok, maka binasalah kuih. Cara meramas adunan adalah yang paling "win" kata budak-budak sekarang. Mak kata tak payah guna senduk, jauh sekali mixer. Gaul dengan tangan sahaja, manja-manja sahaja. 😅 Ini yang saya tak berani nak buat. Masih kurang keyakinan diri untuk menganggar bagaimana tekstur adunan yang ideal.

Saya suka makan kuih ini semasa ianya masih panas. Memang sedap. Makan sekali-sekala tak mengapa, tapi kalau makan hari-hari memang bahaya. Saya tidak pula mempunyai koleksi gambar kuih ini untuk saya kongsikan dengan para pembaca. InsyaAllah kalau emak saya buat nanti, saya akan pastikan gambarnya diambil. Bye!

 


No comments:

Post a Comment