Thursday, 25 April 2024

Resepi Kuih Bakar Bijan

Dalam artikel yang lepas, saya telah kongsikan resepi Kuih Bakar Klasik. Kuih yang berwarna kuning dan agak manis. Suami saya tidak berapa minat dengan kuih bakar tersebut tetapi lebih gemar kepada kuih bakar versi kurang manis.

Jadi, di sini saya akan kongsikan resepi kuih bakar bijan yang berwarna hijau dan mempunyai rasa yang kurang manis. Resepi ini juga saya perolehi daripada emak saya, walaupun sebenarnya beliau kurang gemar dan jarang membuat kuih bakar versi ini berbanding dengan kuih bakar klasik.

Berbanding dengan kuih bakar klasik, kuih bakar bijan ini tidak tahan lama dan cepat basi / berlendir jika tidak disimpan di dalam peti sejuk. Jadi, jika anda buat banyak, eloklah simpan di dalam peti sejuk atau boleh juga dibekukan dan bila hendak makan, hanya masukkan ke dalam oven dan panaskan.

Kuih bakar bijan ini boleh dibuat menggunakan acuan tembaga / besi seperti mana juga kuih bakar klasik, tetapi kalau malas, boleh sahaja dibakar di dalam loyang biasa.


Bahan-bahan:-

1/2 mangkuk telur
3 mangkuk santan
1 mangkuk gula pasir
1 mangkuk tepung
Daun pandan / Pewarna hijau
Bijan


Cara-caranya:-

  • Gaul telur dengan gula.
  • Ambil sedikit santan dan mesin dengan daun pandan, tapis.
  • Kacau santan dengan tepung. Tapis dan masukkan ke dalam adunan telur dan gula.
  • Kacau sebati dan tapis lagi supaya mendapat tekstur yang licin dan tidak bergentel-gentel.
  • Jika tiada daun pandan, titiskan pewarna hijau supaya adunan berwarna hijau.
  • Sapukan marjerin / minyak di loyang / acuan.
  • Curahkan adunan ke dalam loyang dan bakar dalam oven.
  • Kuih bakar ini agak lama untuk masak. Bergantung kepada saiz loyang atau acuan yang anda gunakan. tempoh kuih masak akan berbeza-beza. 
  • Apabila kuih nampak separuh masuk, taburkan bijan dan bakar lagi sampai masak.
  • Untuk pastikan kuih sudah masak, ambil sebatang lidi sate atau pisau, cucukkan ke dalam loyang dan keluarkan. Jika lidi / pisau keluar dengan bersih licin, maknanya kuih dah masak. 
  • Keluarkan dari oven dan biarkan sejuk sebelum dipotong dan dihidangkan.

Kuih ini nampak lebih moden cara pembuatannya walaupun sebenarnya ia juga merupakan kuih klasik / lama yang telah dibuat oleh nenek moyang kita. Kuih bakar agak terkenal di negeri Melaka. Di sana kita boleh dapati pelbagai jenis kuih bakar. Ada kuih bakar yang berinti / ditabur dengan ayam, daging dan sebagainya. Ada juga kuih bakar yang berempah. Pendek kata, kuih bakar Melaka bukan semuanya manis, ada yang berlauk dan ada yang bermacam perisa. Di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu juga kadang-kadang kita boleh jumpa kuih yang dipanggil kuih bakar. Ada yang kelihatan seperti kuih akok. Katanya ada yang mengandungi telur, ada yang tidak. Saya kurang pasti tentang kuih bakar dan akok di pantai timur, namun saya rasa bahan-bahan asasnya lebih kurang sama sebab rasanya juga seiras, cuma rupa sahaja berbeza. 

Apa-apa pun, bergantunglah kepada selera masing-masing. Kalau rajin nak cuba buat, bolehlah ikut resepi ini, tapi kalau rasa leceh, beli sahajalah! 😂




No comments:

Post a Comment