Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 10 (Kemudahan & Saranan)

Ada orang tiap-tiap tahun diberi rezeki ke tanah suci buat umrah dan mungkin juga dah pernah berkali-kali pergi haji. Berbanding dengan mereka, saya yang baru sahaja menunaikan haji sekali dan cuma pernah menjejakkan kaki ke tanah suci sebanyak dua kali, pengalaman dan ilmu yang saya ada hanyalah picisan sahaja.😅 Tapi, ilmu dan pengalaman yang tak seberapa ini saya suka nak kongsikan, manalah tau ada yang mengambil manfaatnya, dapatlah saya meraih sedikit pahala.

 

Pertamanya, saya nak kongsikan berkenaan kemudahan di Mekah dan Madinah, setakat musim haji yang lepas. Saya tahu kemudahan ini sentiasa ditambah baik saban tahun, jadi mungkin ada yang sudah tidak relevan lagi di masa akan datang. Bagi Jemaah Muassasah, biasanya ada 4-5 hotel yang disediakan untuk menempatkan beberapa maktab dalam satu hotel. Setiap hotel ada kemudahan yang berbeza-beza.

 

Seterusnya, saya juga ingin berikan beberapa saranan yang mana jika rasa boleh digunapakai, ikutlah, jika tidak, abaikan sahaja.

 

1.       Khidmat dobi

-  Mencuci pakaian adalah antara persoalan utama yang Jemaah selalu runsingkan. Khidmat dobi layan diri yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di tanah air kita, masih belum ada di tanah suci.

-   Ada hotel yang menyediakan mesin basuh dan tempat jemur pakaian, namun Jemaah perlulah bertolak ansur dan bergilir-gilir menggunakannya kerana terhad.

-  Ada hotel yang hanya menyediakan khidmat dobi berbayar dan tidak menyediakan tempat menjemur pakaian. Biasanya Jemaah akan curi-curi menjemur pakaian di ruang atas bumbung, tetapi biasanya pihak hotel tidak benarkan kerana isu keselamatan.  

-   Perkhidmatan dobi dalam hotel berharga lebih kurang SR20 sekilogram. Manakala dobi di luar boleh didapati dengan harga antara SR8-SR12 sekilogram. Awas! Harga dobi boleh meningkat pada waktu Jemaah balik dari Muassasah kerana permintaan yang tinggi, tapi kita masih boleh tawar menawar.

-    Ada kedai dobi yang menyediakan khidmat mengambil dan menghantar pakaian dobi terus ke hotel. Memang betul ada yang boleh dipercayai, tetapi hati-hatilah juga ada yang scammer. Yang paling penting, buatlah urusan mengambil dan menerima pakaian dobi anda di luar hotel (bukan di dalam hotel) kerana pihak hotel tidak akan benarkan dobi luar masuk ke dalam hotel.    

-   Ada Jemaah yang basuh pakaian sendiri dan jemur di dalam bilik. Jika begini, kena lah dapatkan persetujuan setiap ahli bilik kerana mungkin ada yang tidak selesa. Jika nak basuh sendiri, perlulah ada sabun (saya cadangkan sabun serbuk dalam paket-paket kecil), berus, baldi, tali ampaian, penyangkut dan penyepit baju. Semua ini kalau tak bawa pun tak mengapa kerana ada dijual di sana.

-     Ada Jemaah yang cadangkan bawa dryer, tetapi secara peribadinya saya tidak galakkan kerana membebankan untuk bawa dan harganya pun bukanlah murah. Tidak terlalu efektif.

 

2.       Makanan

-    Bagi Jemaah Muassasah, TH sediakan makanan dua kali sehari – makan tengahari dan makan malam.

-  Makan tengahari biasanya bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang manakala makan malam bermula pukul 6 petang hingga 9 malam. Namun begitu, ada kalanya penyedia makanan akan tunggu sehingga lebih masa jika makanan masih banyak belum diambil.

-     Makanan disimpan dalam bekas simpanan panas. Jadi, seeloknya bila nak makan baru ambil. Tak perlu ambil awal-awal kecualilah kalau memang dah jangka akan pulang lewat.

- Biasanya makanan yang diberi ialah nasi, satu lauk ayam/daging/ikan/sotong dan satu sayur serta satu buah-buahan. Air mineral juga diberi.

-   Makanan tambahan dari tanah air seperti sambal, kicap, serunding, sos boleh dibawa ala kadar sebagai penambah selera kerana ada masanya tekak inginkan kelainan. Namun begitu tak perlulah bawa banyak sangat sehingga memberatkan beg.

- Untuk sarapan pagi, Jemaah perlu beli sendiri. Biasanya setiap maktab/hotel ada kafe yang menjual sarapan pagi. Ada juga di sesetengah hotel terdapat peniaga di kaki lima. Mereka ini berniaga secara illegal dan kadang kala diserbu oleh pihak berkuasa. Namun, makanan yang mereka jual lebih murah iaitu sekitar SR5 satu pek nasi lemak, kuih-muih dan sebagainya.

- Jika rajin berjalan, banyak kedai makan yang dibuka awal pagi, kebanyakannya kedai Pakistan. Ada jual roti, roti canai, kebab, nasi dan lain-lain. Banyak juga kedai yang hanya menjual makanan tetapi tidak menyediakan tempat duduk. Jadi, boleh beli dan makan di bilik masing-masing.

-  Di sekitar Masjid Nabawi, Madinah, banyak kiosk menjual kebab, sandwich, ayam goreng seawal Subuh. Antara yang terkenal ialah Karak Express. Banyak juga kedai makan / restoran di sekitar masjid dengan tempat duduk yang selesa. Malah di bangunan hotel juga ada kafe tetapi harga lebih mahal.

-    Di sekitar Masjidil Haram, Mekah pula, makanan sangat mudah didapati kerana sekeliling dataran dipenuhi bangunan hotel dan kedai. Pilih sahaja nak yang mahal atau murah, nak yang selesa berhawa dingin atau boleh sahaja nak makan di tepi kaki lima. Semuanya ada. Antara yang popular dan mudah diakses ialah Medan Selera di Menara Jam, Menara Safwa, Bangunan MCDC, Jabal Omar, Souq Al Khalel. Kedai kopi, kafe dan outlet makanan segera juga banyak.  

-   Terutamanya pada hari Isnin dan Khamis serta pada Hari-hari Putih, di dalam masjid juga ada bahagian yang mengedarkan juadah berbuka puasa. Biasanya mereka beri pek yang berisi roti, kurma dan laban. Teh atau kopi juga ada ditawarkan. Namun, bukanlah di semua bahagian ada, hanya di tempat-tempat tertentu sahaja. Dan waktu berbuka juga sangat singkat. Sekejapan sahaja tikar dah ditarik dan digulung untuk tunaikan solat Maghrib pula.

-  Jika hendak mendapatkan makanan ringan seperti biskut dan roti, terdapat banyak kedai runcit di sekitar hotel dan masjid. Jika rajin ke kedai yang lebih besar dan teratur, boleh ke Bindawood yang sangat popular di Madinah dan Mekah. Di Menara Jam pula ada Abraj Hypermarket manakala di bangunan-bangunan lain ada Panda dan Lulu.

-    Saya rasa banyak kedai yang buka 24 jam sebab tiada sedetik pun yang tiada manusia berkunjung ke Masjidil Haram. Sentiasa sibuk dan meriah. Jadi, pendek kata, tak susah nak cari makanan.

 


Contoh hidangan makanan yang disediakan oleh TH – makanan tengahari dan malam.

 

3.       Tandas

-    Antara perkara yang merisaukan orang-orang yang sedikit kurang upaya seperti saya ialah tentang tandas. Kebanyakan daripada kami tidak boleh bercangkung, maka tidak boleh menggunakan tandas selain dari tandas duduk.

-     Berita baiknya ialah di sekeliling Masjidil Haram sudah ada banyak tandas berbanding dengan 10 tahun yang lepas. Dan di kebanyakan tandas yang baru dibina, tandas duduk juga sudah banyak.

-     Di setiap kawasan WC juga disediakan banyak tempat untuk berwudhu.

-  WC terletak di kawasan dataran masjid. Boleh dikatakan di setiap bahagian utara, selatan, timur, barat masjid sudah ada kemudahan tandas.

-  Ini adalah antara kemudahan yang telah banyak ditambah baik, jadi janganlah terlalu risau.

-     Sememangnya kalau kita berada di dalam masjid agak jauh juga hendak ke tandas, jadi bagi mereka yang ingin kerap ke tandas, solatlah di dataran sahaja.

-   Tandas-tandas juga sentiasa dibersihkan dan ada waktu-waktu tertentu akan ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

 

4.       Barang keperluan

-    Seperti yang saya dah sebut di dalam artikel terdahulu, bawalah barangan mengikut keperluan sendiri, jangan ikut orang.

-  Bawa pakaian yang selesa untuk ke masjid dan juga untuk dipakai di maktab kerana kita bukannya sentiasa berada di masjid sahaja, terutamanya pada hari-hari menjelang Hari Arafah di mana Jemaah tidak digalakkan ke masjid.

-    Ubat-ubatan juga bawa secara berpada. Jika memang ada ubat yang perlu dimakan setiap hari, mestilah dibawa secukupnya. Manakala ubat tambahan seperti ubat batuk, selsema, demam dan lain-lain, bawalah ala kadar sahaja kerana di klinik maktab juga ada dibekalkan ubat jika sakit.

-    Kerusi lipat tidak perlu dibawa. Jika perlu menggunakannya untuk solat, di Masjid ada disediakan banyak kerusi lipat. Jika perlu guna di maktab, bolehlah dibeli kerusi itu di sana. Harga kerusi lipat yang sama seperti di masjid ialah sekitar SR20 sahaja (di kedai-kedai tepi jalan – bukan di Mall).

-   Al-Quran tak perlu bawa jika bimbang tersalah letak dan tak mampu menjaga kesuciannya. Di masjid sentiasa ada banyak Al Quran waqaf di rak-rak di merata-rata tempat. Jika mahu membaca di bilik, saya cadangkan belilah senaskhah yang boleh didapati dengan harga serendah SR20 sahaja. Jika tidak mahu bawa pulang, boleh diwaqafkan sebelum balik. Pengalaman saya sendiri, saya bawa Al Quran terjemahan saiz kecil. Tapi semasa di sana saya rasa kurang selesa membaca tulisan kecil, jadi saya beli Al Quran saiz besar yang berharga SR50 sahaja.

-    Tuala mandi, cadar, sarung bantal tak perlu bawa. Semuanya disediakan oleh pihak hotel. Jika hendak bawa, bolehlah bawa tuala kecil atau disposable towel sahaja. Peralatan di hotel ini boleh minta ditukar setiap minggu / mengikut keperluan.

-  Di setiap bilik biasanya disediakan cerek elektrik. Mesin air minuman panas dan sejuk juga ada di setiap tingkat. Setiap Jemaah akan mendapat satu mangkuk berisi mug, teh dan gula secukupnya. Jadi, tak perlu risau untuk bawa semua ini.

-   Kebiasaannya dalam bilik ada satu almari sahaja. Jadi, perlulah kongsi secara adil sesama rakan sebilik.

-     Sekiranya ada apa-apa keperluan yang terlupa bawa, boleh sahaja dibeli di kedai-kedai runcit atau di hypermarket seperti yang saya sebut di atas. Semuanya ada dijual di sana.

 

 

5.       Miqat & Kawasan Rehat

-   Bagi Jemaah yang pergi ke Madinah dahulu, sebelum ke Mekah, perlu singgah ke miqat di Bir Ali untuk berniat umrah haji. Biasanya Jemaah tidak turun dan masuk ke masjid kerana waktu yang suntuk. Tambahan pula, dari hotel Madinah ke Bir Ali tidak jauh, ambil masa lebih kurang setengah jam sahaja.

-   Dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah yang mengambil masa lebih kurang 6 jam, bas akan berhenti di satu kawasan rehat, dinamakan Hentian Rehat Al Hijrah Wadi Satrah. Saya rasa mungkin ada kawasan rehat lain di sepanjang lebuhraya itu tetapi untuk Jemaah haji, semua bas singgah di sini.

-  Bagi Jemaah yang belum pernah ke tanah suci, janganlah bayangkan kawasan rehat itu seperti R&R di Malaysia. Kena bersedia mental dan fizikal. Kalau dengar cerita indah dari kawan-kawan yang pernah pergi umrah dengan syarikat-syarikat lain, saya rasa mereka mungkin ke Hentian Wadi Qudaid yang terkenal dengan hidangan Nasi Arab bertalam.

-     Semasa buat umrah 10 tahun yang lalu bersama TH Travel, kami singgah di hentian rehat Wadi Satrah juga.

-  Boleh dikatakan keadaannya masih sama seperti 10 tahun lalu - agak dhaif. Kemudahan tandas dan surau tidak ditambah baik, mungkin pihak Arab Saudi ada alasan tertentu. Tandas duduk terhad, kurang bersih, ada yang tersumbat dan lantai banjir. Bekalan air kecil dan terputus-putus.

-   Bagi jemaah wanita yang kurang upaya, agak kritikal untuk membuang air dan mengambil wudhu. Jadi, jika boleh tahan, saya cadangkan tidak ke tandas di situ. Ambil wudhu menggunakan botol spray dan sembahyanglah di surau dengan segera.

-  Kedai makan juga agak terhad dan tidak banyak tempat duduk. Maklumlah berpuluh bas menuju ke hentian yang sama setiap hari.

-   Oleh itu, digalakkan membawa bekal makanan dan makan sahaja di dalam bas.

-     Ada bas yang ada tandas, tetapi bekalan air mungkin bermasalah. Boleh gunakan tandas dalam bas tetapi bawalah air dan tisu secukupnya untuk bersuci.

 

Miqat : Bir Ali

 

6.       Masyair

-    Lima atau enam hari di Masyair ialah waktu kemuncak haji.

-    Kalau sebelum ini kita selesa tidur dan makan di maktab, maka janganlah mengharapkan keadaan yang sama di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

-    Fokuskan kepada ibadat dan abaikan segala ketidak selesaan. Lima enam hari bukannya lama pun.

-   Semasa di Arafah, tak perlu mandi. Buang air, cuci muka, berus gigi – buat apa yang perlu sahaja. Dengan ala kadar.

-    Memang ada kemudahan tandas dan bilik mandi tetapi dengan bilangan Jemaah yang ramai, kita perlu bertolak ansur. Jangan pentingkan diri sendiri.

-  Cuaca memang panas tetapi kita bertuah kerana di dalam khemah disediakan penghawa dingin. Bekalan elektrik pun ada untuk mengecas telefon bimbit tetapi terhad dan beralah lah dengan menggunakan power bank jika keadaan tidak mengizinkan. Tak lama pun di Arafah, cuma satu malam.

-   Makanan disediakan secara “buffet” – tapi janganlah bayangkan seperti buffet hotel pula. Maksud buffet di sana ialah ambillah makanan di tempat yang disediakan secara layan diri. Ambillah makan sebanyak mana yang boleh jika berselera. Tapi, janganlah pentingkan diri, ambil banyak-banyak sehinggakan orang lain tak dapat. Yang berlebihan diambil itu pula akhirnya tak dimakan dan dibuang sahaja.

-   Antara makanan yang disediakan di Arafah ialah makanan ready-to-eat (RTE) yang terdiri daripada nasi dan satu lauk. Makanan ini telah dipanaskan tapi semasa kita nak makan mungkin dah sejuk. Lauk seperti rendang daging, ayam buttermilk, daging masak lemak dan sayur campur, boleh tahan sedap juga, tapi ikutlah selera masing-masing. Kalau rasa tak mau makan, tak perlulah ambil.

-     Selain itu, ada roti, buah epal dan pir, air kotak, air panas untuk bancuh teh/kopi sendiri dan air mineral. Ada peti sejuk, tapi air tak sempat sejuk dah habis.  

-    Semua makanan dan minuman ini sentiasa ada dan ditambah dari semasa ke semasa, jadi bila lapar boleh sahaja keluar dan ambil.

-  Di Muzdalifah, boleh dikatakan keseluruhan tanah telah dibentang dengan karpet.

-   Pada tahun ini, setiap Jemaah dapat sejadah boleh sandar. Jadi, boleh berehat dan beribadat dengan selesa.

-    Suasana di Muzdalifah waktu malam berangin. Jadi, ramai yang boleh lena mungkin keletihan bermunajat di Arafah.

-   Di Muzdalifah ada tandas tetapi tidak banyak. Bolehlah guna bila perlu. Ada lampu jalan dan banyak kenderaan lalu lalang, jadi keadaan sebenarnya terang – boleh membaca dan mengaji.

-     Khemah di Mina lebih besar dan rapat. Seperti di Arafah, setiap Jemaah dapat sofa bed, selimut, tuala, bantal dan botol air.

-          Makanan di Mina juga secara buffet seperti di Arafah. Cuma di Mina sekali-sekala ada menu istimewa iaitu Indomie cup.

-    Tandas di Mina ada 2 tingkat. Keutamaan diberikan kepada warga emas dan OKU di bahagian bawah. Yang sihat dan kuat naiklah ke atas. Tandas duduk dan cangkung sama banyak. Tempat mandi pun ada.

-     Di Mina, jika ada kesempatan bolehlah mandi. Saya mandi selepas pukul 12 tengah malam tatkala ramai yang tidur. Waktu tu tak ramai orang. Boleh mandi dan buang air dengan aman.

-    Janganlah mandi dekat-dekat waktu solat, bertimbang rasa kepada orang lain, utamakan apa yang perlu sahaja.   

-  Di antara waktu solat, kalau tiada rasa nak buang air, ambil wudhu gunakan botol spray sahaja. Tak perlu buang masa beratur di tandas.

-    Di Arafah dan Mina tiada surau untuk berjemaah. Jemaah solat di dalam khemah.

-  Di Mina, berhampiran dengan khemah-khemah, ada kedai. Antaranya Bindawood yang menjual makanan ringan dan minuman. Tapi, perlu beratur panjang dan menunya terhad dan selalu sold out.

-    Dalam perjalanan ke Jamrah, tiada kedai dan tiada tandas. Jadi, jika rasa akan lapar, bawalah bekal makanan dan minuman. Tapi awas jika hendak buang air, perlu berjalan balik ke khemah.

-    Semasa waktu puncak, polis/askar tidak benarkan berhenti di sepanjang jalan ke Jamrah. Ada juga jalan yang ditutup atau dilencongkan menyebabkan perjalanan jadi semakin jauh. Saya bawa kerusi lipat dan sekali-sekala berhenti rehat juga. Sebab itu saya elakkan pergi melontar pada waktu puncak. Lebih selesa dan tenteram.

-    TH selalu pesan apabila sudah selesai melontar, jangan turun escalator ke bawah bagi mengelakkan sesat untuk kembali ke khemah. Kami akur dengan arahan tersebut dan tak pernah turun escalator itu. Tapi, saya rasa di bawah itu mungkin ada tandas dan kedai.

-    Apabila telah bertahalul awal, saya sarankan pakailah pelitup muka bukan sahaja untuk elakkan dari jangkitan batuk dan selsema tetapi lebih penting jika kita yang tidak sihat, jangan jangkiti orang lain.

 

7.      Pengangkutan

-     Kebanyakan Jemaah hanya berjalan kaki dari maktab ke masjid.

- Namun begitu, bagi maktab-maktab tertentu, ada disediakan bas berulang-alik ke masjid mengikut jadual tertentu.

-   Di luar hotel biasanya ada banyak ‘kereta sapu’. Berhati-hatilah dengan mereka ini kerana ramai juga yang tidak jujur.

-  Jika hendak keluar membeli-belah di kawasan yang agak jauh, saya cadangkan naiklah teksi bermeter atau pun khidmat e-hailing seperti Careem, Bolt dan Uber. Di sana tiada Grab.

-   Dengan pemandu teksi perlu berhati-hati kerana ada yang tidak mahu menggunakan meter dan mengenakan caj yang tinggi. Sebelum naik, pastikan mereka mahu menggunakan meter dan jika enggan, tidak usahlah naik.

-   Semasa waktu puncak, perkhidmatan teksi akan mengenakan tambang sehingga beratus riyal sehala untuk ke masjid walaupun jaraknya dekat. Jadi berhati-hatilah.

-  Khidmat e-hailing lebih selamat kerana tambangnya telah ditentukan terlebih dahulu dan sekiranya terdapat sebarang masalah boleh terus membuat aduan dan tambang akan dikembalikan.

   

8.      Kewangan

-   Dalam zaman moden ini, wang tunai telah berkurang fungsinya. Seperti mana di sini, kedai-kedai di Mekah dan Madinah juga banyak yang boleh menerima pembayaran dengan kad.

-   Namun begitu, pembayaran online seperti QR dan transfer masih belum diterima pakai di sana.

-   Jadi, jika bimbang kehilangan atau keciciran wang tunai, tak perlulah bawa wang banyak-banyak. Kami hanya bawa SR1,200 sahaja dan hanya sekali membuat pengeluaran tunai di Mekah untuk persediaan di Mina. (TH nasihatkan Jemaah sediakan wang tunai sebanyak SR1,500 sebagai persediaan ke Masyair jika berlaku kecemasan atau keperluan menggunakan khidmat upah melontar)

-     Penggunaan kad yang betul adalah lebih menjimatkan, selamat dan telus kerana kita boleh lihat kadar tukaran wang on-the-spot. Namun begitu, saya tidak boleh menyatakan kad mana yang bagus kerana ia bergantung kepada kapasiti masing-masing.

-   TH menggalakkan Jemaah membuka akaun dengan Bank Islam – akaun khas dengan kad berlambangkan TH. Katanya dengan menggunakan kad ini, pengeluaran tunai boleh dilakukan dengan percuma (tanpa caj) sepanjang musim haji. Namun begitu, kami tidak pernah sekalipun menggunakan kad ini bila mana mendengar ada rakan yang dikenakan caj – tidak seperti yang dimaklumkan di tanah air.

-     Pada pendapat saya, tak perlu pun buka akaun Bank Islam. Guna sahaja akaun yang dah ada.

-     Banyak mana atau berapa bajet diperlukan untuk belanja di tanah suci – semuanya bergantung pada diri masing-masing. Kata orang, besar periuk, besarlah keraknya.

-  Kami tidak berbelanja besar untuk membeli-belah tetapi lebih banyak menggunakan duit untuk makan, minum dan dobi. Kami juga gunakan duit untuk menaiki kenderaan dan bersiar-siar di sekitar Mekah setelah selesai urusan haji.

-    Jika anda berhajat untuk membeli-belah dan perlu menyediakan banyak buah tangan untuk orang-orang kampung, maka perlulah bajet yang lebih besar. Harus diingat duit bukan sahaja perlu untuk beli barang, tapi juga kos untuk menghantar barang ke tanah air (kurier).

-    Jadi, dalam hal kewangan, tiada amaun tertentu yang boleh dicadangkan. Tepuk dada, tanya selera.

 

Pembangunan di sekitar Masjidil Haram sangatlah pesat. Bahkan kawasan masjid sendiri telah mengalami beberapa fasa pembesaran. Kerajaan Arab Saudi sentiasa komited menjaga keselamatan dan keselesaan para tetamu Allah. Apa yang saya saksikan tahun ini jauh bezanya dengan apa yang saya pernah lihat 10 tahun yang lalu. Saya percaya Jemaah tahun hadapan akan menyaksikan lebih banyak pembaharuan dibuat.

 

Oleh itu, sebagai tetamu Allah, kita tidak perlu risau tentang hal remeh-temeh, sebaliknya tumpukanlah perhatian kepada ibadat. Insya Allah jika kita ikhlas, segalanya akan dipermudahkan. Wallahua’lam.

 

Bersambung…..



No comments:

Post a Comment