Friday, 4 November 2016

Part 3 : Apa ada di Tokyo?



Pada saya, Tokyo ada segalanya. Sebuah bandar yang sangat sibuk, walau sesak dengan jutaan manusia dan pengangkutan awam - terutamanya jaringan keretapi yang luar biasa, namun masih memelihara budaya dan mempunyai tatasusila yang tinggi.

Jika melawat Jepun dan tiada masa untuk menerokai ke seluruh kepulauan ini, maka Tokyo adalah tempat terbaik untuk mengenali Jepun.



Kalau sukakan kehijauan dan keindahan alam semulajadi, boleh pergi ke Imperial Palace East Garden, Ueno Park, Shinjuku Gyoen dan Koishikawa Korakuen. Semua tempat ini terletak dalam bandar.


Kalau suka membeli-belah, boleh ke Kappabashi Street dan Ameyoko. Terdapat gerai-gerai jualan di sepanjang jalan ala-ala Petaling Street di Kuala Lumpur. Bagi peminat anime dan peralatan elektronik, Akihabara adalah syurga mereka.

Kalau mahu shopping yang lebih mewah, silalah ke Shinjuku, Roppongi, Ginza dan Shibuya. Pelbagai jenis gedung beli-belah, pelbagai jenama ada di sini. Di sini juga ada lintasan pejalan kaki tersibuk di dunia iaitu Shibuya Crossing.

Bagi peminat fesyen terutama para remaja, Harajuku tempat yang perlu dituju. Di sini juga popular dengan ice-cream crepes. Kalau nampak mesti nak singgah. 


  
Untuk anak-anak tidak dilupakan. Tokyo Disneyland hanya lebih kurang 5 minit dari stesen Tokyo ke Maihama. Berjalan kaki dari Stesen Maihama ke Disneyland cuma 5 minit. Kalau tidak mahu ke Disneyland, pergilah ke Tokyo Dome ~ ada taman tema di pusat bandar.

Bagi suri rumah macam saya, Tsukiji Fish Market menjadi pilihan hati. Pasar borong yang terbesar dan paling sibuk di dunia ini terkenal dengan lelongan ikan tuna. Kalau nak merasa makanan laut yang segar, di sinilah tempatnya. 







Selain pasar, Nippori Fabric Town juga menjadi idaman hati. Sepanjang jalan ini dipenuhi dengan kedai kain. Tapi awas! kalau tidak kena masanya, seluruh jalan ini akan sunyi sepi. Selain ditutup pada hari Ahad, pekan ini juga seperti dilanggar garuda apabila cuti tahun baru. Kesemua kedai sudah ditutup beberapa hari menjelang tahun baru dan akan terus bercuti selama beberapa hari selepas tahun baru.






Mercu tanda Tokyo seperti Tokyo Skytree dan Tokyo Tower adalah bangunan wajib yang kita akan tengok. Tidak jauh dari situ ialah Asakusa yang terkenal dengan Sensoji Temple. Kalau berhajat membeli cenderamata, Asakusa adalah tempat paling sesuai kerana harga yang berpatutan dan banyak pilihan. Di sini juga anda boleh menaiki Sumida River Cruise yang akan menyelusuri Sungai Sumida dan taman yang cantik.






Di Tokyo juga ada sebuah masjid yang besar iaitu Tokyo Camii. Bagi orang-orang Islam tentu kagum kerana di dalam sebuah negara bukan Islam ini ada juga sebuah masjid. Sebenarnya, pihak berkuasa Jepun mungkin sedar akan peningkatan bilangan pelancong Muslim khasnya dari Malaysia sendiri. Maka terdapat inisiatif untuk menyediakan tempat bersolat contohnya di Takashiyama Department Store.




Kalau ke Jepun, tidak sah rasanya kalau tidak jenguk ke Uniqlo. Di Tokyo, outlet Uniqlo terdapat di merata-rata tempat. Jika berkunjung waktu musim sejuk, berbaloi membeli winter coat di sini daripada membeli di Malaysia. Walaupun RM kita jauh lebih murah berbanding Yen, namun selepas ditukar masih lagi untung jika membeli di Jepun.

Ada lagi dua tempat menarik untuk membeli-belah yang jarang orang perkatakan ~ Tokyu Hands dan Hard-Off. Tokyu Hands ialah sebuah gedung yang menjual pelbagai jenis barangan Jepun yang unik dan kreatif. Kalau singgah ke sini mesti anda akan leka melihat segala barangan sehingga tidak sedar kedai hendak ditutup. Hard-Off pula ialah kedai menjual barang-barang terpakai (second hand) tetapi masih elok. Namun begitu, kebanyakan Hard-Off terletak jauh di pinggir bandar. 

Di Tokyo juga ada bermacam-macam jenis pass dan kad untuk memudahkan kita menaiki pengangkutan awam. Contohnya kad suica dan pasmo. Tetapi jika anda adalah pemegang JR Pass, itu pun sudah memadai untuk bebas menaiki keretapi di Tokyo.

Betul kan apa yang saya katakan? Tokyo ada semuanya. Dan yang paling penting, penduduknya ramah dan beretika. Sebagai pelancong, jangan risau jika tersesat jalan atau terpinga-pinga mencari haluan. Tentu ada sahaja yang akan datang memberi bantuan. Walaupun orang Jepun dikatakan kurang fasih berbahasa Inggeris, itu tidak menjadi halangan kepada mereka untuk membantu kita. 




Di stesen Tokyo yang sentiasa dipenuhi ribuan manusia, walaupun di setiap detik terdapat manusia yang akan berlari ke sana sini mengejar masa, tidak pernah pula ternampak berlaku kemalangan manusia. Semasa menaiki escalator, semasa memasuki keretapi, semasa membeli barang, semuanya elok beratur menunggu giliran dengan sabar.



Di tandas awam pula, walaupun di sesetengah tempat tidak terdapat air untuk mencuci, keadaannya tidaklah kotor. Malah, saya dapati kebanyakan tandas menyediakan air untuk cebok, tiada masalah bagi kita, khasnya orang Melayu.  


Pendek kata, pujian memang layak diberikan kepada Tokyo. Walaupun maju, moden, sibuk dan sesak, kehijauan masih ada, kebersihan masih terjaga dan nilai-nilai murni masih dipelihara dengan baik. Tentu sahajalah ada yang buruk, tak kan 100% bagus, tetapi itulah gunanya merantau ke negara orang - luaskan pandangan, yang baik jadikan contoh, yang buruk tolak ketepi.

Saya percaya negara kita mampu mengorak langkah menjadi seperti Jepun. Semuanya bermula dari diri kita sendiri. Hendak tak hendak sahaja....

No comments:

Post a Comment