Daripada kajian tidak rasmi yang saya jalankan, ramai di kalangan kawan-kawan saya mengatakan Kyoto adalah tempat paling menarik di Jepun. Walaupun memang benar alam semulajadi Kyoto sangat indah, tetapi saya tidak bersetuju dengan mereka.
Masing-masing mempunyai pandangan dan citarasa tersendiri yang tidak boleh dipersoalkan. Kalau anda rasa Kyoto yang paling best, itu adalah hak anda! Saya menghargainya.
Bagi saya, Kyoto memang cantik. Sangat berbeza dengan Tokyo dan Osaka yang hiruk-pikuk, Kyoto lebih aman damai terutamanya di bahagian pedalaman. Keindahan alam semulajadinya juga sangat menakjubkan. Pendek kata, luas mata memandang, nyaman udara dihirup, duduk bersantai di tepi sungai rasa seperti tidak mahu pulang lagi..
Saya tidak bermalam di Kyoto memandangkan jadual yang padat. Maklumlah, dengan JR Pass, seboleh-bolehnya kami hendak maksimakan perjalanan ke merata yang boleh. Oleh itu, kami telah membeli "Kyoto 1-Day Tour Pass" yang berharga Yen500 seorang. Sebenarnya, memang banyak pilihan untuk membeli pass di Jepun... macam-macam ada. Kita boleh memilih untuk pass naik bas atau keretapi, atau kedua-duanya dan kita boleh juga memilih pass yang merangkumi pengangkutan dan tiket masuk ke tempat-tempat tertentu.
Terdapat Kansai Pass yang merangkumi Osaka, Kobe, Kyoto dan Nara yang ada pelbagai jenis. Ada juga pass tersendiri seperti Osaka Pass dan Kyoto Pass yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat. Ada yang boleh dibeli pada hari lawatan sahaja; ada yang boleh dibeli awal-awal; ada juga yang boleh dibeli secara online sebelum berangkat ke Jepun. Boleh jadi bingung juga jika nak meneliti setiap pass ini. Tetapi jika anda seorang yang kedekut macam saya, silalah mentelaah sampai puas hati.. :)
Seperti mana saya sangat mengesyorkan anda membeli JR Pass, Kyoto 1-Day Tour Pass juga sangat berbaloi-baloi. Jika anda hanya berkunjung ke Kyoto secara day-trip, ini adalah pilihan yang terbaik. Harga pass Yen500 yang membolehkan kita menaiki bas bandar tanpa had (selama satu hari), adalah sangat menguntungkan jika dibandingkan dengan tiket bas sehala sahaja sudah berharga Yen230.
Pengangkutan keretapi di Kyoto tidak seserabut di Tokyo dan Osaka. Jadi, bas merupakan pengangkutan yang menjadi pilihan. Dengan menggunakan Kyoto 1-Day Tour Pass ini, kita boleh menaiki mana-mana bas bandar (city bus) ke mana-mana destinasi. Tidak susah nak kenal bas ini kerana ada tulisan, malahan di tempat-tempat perhentian bas juga ada ditulis dengan jelas.
Di Kyoto banyak tempat-tempat lawatannya adalah kuil dan tokong. Antara yang terkenal ialah Kiyomizudera Temple, Kinkaku-ji Temple / Golden Pavillion, Fushimi Inari Shine, Nijo Castle dan banyak lagi. Kalau diikutkan, ada beratus-ratus (atau beribu-ribu) kuil dan tokong di Kyoto. Tetapi kami tidaklah teruja hendak melawat rumah-rumah ibadat itu. Kami sekadar melawat beberapa tempat yang tidak dikenakan bayaran dan mengambil gambar di kawasan sekeliling yang memang cantik.
Satu lagi tempat tumpuan pelancong yang popular di Kyoto ialah Arashiyama yang terkenal dengan bamboo grove. Arashiyama ini agak jauh sedikit dari pusat bandar Kyoto tetapi masih boleh sampai dengan menaiki bas bandar. Pada awalnya kami terpaksa membatalkan hasrat untuk ke Arashiyama kerana hari sudah agak lewat petang dan hujan mula turun. Kami juga risau jika kawasan itu terletak sangat jauh ke pedalaman dan kami tidak sempat pulang ke bandar pada hari yang sama.
Semasa menunggu bas untuk berpatah balik ke bandar Kyoto, kami nekad; mana-mana bas yang sampai dulu, kami akan naik. Hendak dijadikan cerita, bas ke Arashiyama yang sampai dulu. Tidak sia-sia kami menaiki bas tersebut, kerana dalam perjalanan, kami melalui Botanical Garden yang sangat indah. Kami sempat berhenti di situ dan berkelah menikmati bekalan makanan di tepi sungai.
Kami tiba di Arashiyama sudah menghampiri senja. Pemandangannya sangat indah. Memang rugi jika sudah menjejakkan kaki ke Kyoto tetapi tidak pergi ke Arashiyama! Perjalanannya tidaklah jauh mana pun. Mujurlah kami membuat keputusan yang betul.
Selesai meronda-ronda di Arashiyama, kami pun bergegas pulang ke pusat bandar Kyoto. Dan sebelum meninggalkan Kyoto, kami sempat makan malam di sebuah restoran halal bernama Ayam-Ya. Kami juga bertemu ramai 'orang-orang kampung' di situ. Walaupun tidaklah sesedap mana, cukuplah mengalas perut kami yang telah letih berjalan seharian di Kyoto.
Sungguhpun Kyoto bukanlah daerah pilihan saya, namun jika diizinkan Tuhan, teringin juga nak jejak kaki lagi ke sana. Manalah tahu kalau ada rezeki.... :)
No comments:
Post a Comment