Bila musim cuti sekolah, stok makanan di rumah perlu ditambah kerana budak-budak biasanya bila ada di rumah, perut mereka sentiasa hendak diisi.
Salah satu makanan popular di rumah saya ialah roti. Sebuku roti Gardenia yang panjang (Jumbo/Bonanza), boleh habis sekali hadap sahaja. Biasanya roti dimakan dengan telur, sardin, mentega, peanut butter, kaya dan jem. Malah roti boleh juga dicicah dengan kuah kari, sambal dan bermacam lagi.
Di sini saya kongsikan resepi home made kaya. Bahan-bahan dan cara membuatnya tidak susah. Anda boleh buat banyak-banyak dan simpan di dalam peti sejuk. Tanpa sebarang bahan pengawet, ia boleh tahan sehingga berbulan-bulan lamanya.
Bahan-bahan:
1 mangkuk telur
2 mangkuk gula
1 mangkuk santan
1 sudu tepung gandum
Beberapa helai daun pandai
Sedikit gula hangus
Secubit garam
Cara-cara membuatnya:-
- Gaul telur, gula dan daun pandan hingga bercampur. Gaul dengan tangan sahaja - tak perlu kacau beriya-iya sampai naik gebu macam buat kek. Daun pandan dikoyak-koyakkan sahaja.
- Sesudu tepung gandum dicampurkan ke dalam santan dan kacau supaya tidak berketul-ketul.
- Kemudian masukkan santan yang telah dicampur dengan tepung ini, ke dalam bancuhan telur dan gula tadi.
- Masukkan secubit garam dan gula hangus.
- Masak atas api perlahan dan sentiasa kacau sehingga bancuhan tadi masak. (Kacau agak lama juga dan pastikan betul-betul masak / mendidih supaya ia boleh tahan lama)
- Bila sudah masak, biarkan ia sejuk. Bila sudah sejuk, kaya akan menjadi lebih pekat. Bolehlah dimasukkan ke dalam botol / bekas dan disimpan di dalam peti sejuk.
Nota:
1. Jika ada yang tidak tahu cara membuat gula hangus ~ caranya begini:
Ambil beberapa sudu gula pasir dan masukkan ke dalam kuali/periuk. Letakkan di atas api perlahan. Biarkan sehingga gula bertukar daripada warna putih ke warna coklat/perang. Masukkan sedikit air, kacau. Siap! Air gula hangus ini berwarna coklat/perang - tidak terlalu pekat, tidak terlalu cair - ala-ala seperti sirap. Tujuannya untuk mencantikkan warna kaya dan menaikkan rasa dan bau.
2. Saiz mangkuk terpulang kepada individu. Jika hendak buat banyak, sukatlah menggunakan mangkuk yang besar. Jika mahu mencuba-cuba dahulu, gunalah mangkuk kecil.
Mudah sahaja bukan? Cubalah buat, anda mesti puas hati. Kebersihan dan kualiti terjamin jika buat sendiri dan kita boleh makan puas-puas tanpa was-was. :)
No comments:
Post a Comment