Thursday, 20 August 2026

Kisah Haji Kami – Bahagian 1 (Tawaran & Pemeriksaan Kesihatan)

Ini ialah cerita tentang perjalanan haji saya dan suami. Cerita dari mula, sebelum bermulanya permusafiran sehinggalah selesai pulang ke tanah air. Agak panjang dan peribadi. Blog ini jarang ada pembaca luar, jadi saya rasa selesa untuk menulis di sini buat tatapan anak cucu di kemudian hari.

 

Secara jujurnya, perjalanan haji kami biasa sahaja tetapi ada sedikit ujian pada awalnya. Kami mendaftar haji pada bulan Ogos 2009. Seperti mana kebanyakan orang, kami mendaftar setelah rasa duit dah cukup untuk pergi haji. Tak tahu yang rupa-rupanya dengan deposit RM1,300 sahaja dah boleh daftar haji. Justeru itu anak-anak pun yang semuanya telah kami bukakan akaun Tabung Haji (TH) sejak bayi, kami daftarkan juga. Tahun giliran mereka ialah pada tahun 2081/1504H iaitu 55 tahun lagi!.

 

Menurut rekod di TH pada waktu mendaftar, tahun peruntukan haji kami ialah pada 2027/1448H. Pada tahun 2015, kami mengikuti Kursus Asas Haji (KAH) di Masjid Puchong Perdana dan membuat rayuan haji, tetapi tidak berjaya. Pada tahun yang sama, TH Travel & Services (THTS) ada memberi tawaran untuk menyertai pakej haji bersama mereka. Pada ketika itu harga pakej ialah sekitar RM35,000 – RM190,000. Atas kekakangan kewangan, kami tidak menerima tawaran tersebut. Itulah sekian kalinya kami membuat rayuan dan selepas itu kami tidak buat rayuan lagi. Namun, apabila hati sudah terbuka untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, pada hujung tahun 2015 itu, saya dan suami pergi menunaikan umrah buat kali pertama. Betullah apabila Allah telah seru, maka hamba-Nya tidak akan teragak-agak lagi untuk menyahutnya.

 

Pada tahun 2018, semasa membuat semakan, kami dapati tahun giliran kami telah beranjak ke tahun 2026/1447H. Jadi bersandarkan pada itu, kami membuat keputusan untuk menunggu sahaja giliran kerana mungkin itu yang terbaik Allah telah tetapkan. Kami risau jika beriya-iya buat rayuan tanpa alasan yang kukuh, hanya semata-mata kerana nak cepat tunaikan haji, mungkin itu bukan yang terbaik buat kami.

 

Tahun demi tahun berlalu tanpa kami kisahkan tentang haji sebab percaya pada giliran kami. Cuma apabila tempohnya makin hampir, kami mula buat perancangan tentang perkara-perkara besar dengan mengambil kira kemungkinan ada panggilan haji. Misalnya, perancangan membina rumah dan perkahwinan anak sulung, kami rancang dengan rapi supaya tidak menjejaskan peluang kami ke tanah suci jika ditawarkan. Alhamdulillah, segala perancangan Allah izinkan.

 

Tahun 2024 kami mula mengikuti KAH di Masjid UPM. Dalam masa yang sama, kerja-kerja pembinaan rumah berlangsung. Kami tidak ditawarkan untuk menunaikan haji pada tahun 2025 dan kami memang sudah bersedia dengan kemungkinan itu sebab tahun giliran kami memang belum tiba. Tahun yang sama rumah siap dan kami berpindah. Majlis perkahwinan anak sulung kami pun dilangsungkan. Kami mengikuti KAH buat kali kedua di Surau Ar Rahman, Putrajaya pula.

 

Alhamdulillah, kami mendapat tawaran haji pada 2026. Semasa panggilan fasa 1, agak berdebar juga kerana tidak mendapat apa-apa mesej. Tapi kami yakin akan dapat. Ye! nama kami dipanggil pada fasa yang kedua. Kami bersyukur kerana giliran kami tiba sebagaimana yang tertulis pada rekod TH. Saya dengar ada yang tidak mendapat tawaran seperti giliran. Saya tak tahu kebenarannya, ini apa yang saya dengar sahajalah. Ada juga yang memang giliran lambat lagi, tapi telah buat rayuan berkali-kali saban tahun tapi masih belum dapat. Ada yang dah hadiri kursus bertahun-tahun tapi tetap belum dapat panggilan. Macam-macam senario yang kita boleh dengar apabila hampir musim haji. Jadi, saya amat bersyukur kerana dalam hal ini, Allah permudahkan. Segala puji bagi Allah.

 

Ujian bermula selepas mendapat tawaran. Tahun 2026 Kerajaan Arab Saudi ketatkan syarat haji iaitu mesti mematuhi tahap kesihatan tertentu. Bukanlah tahun-tahun sebelum ini tiada pemeriksaan kesihatan, tapi tahun ini lebih banyak syarat kena patuhi dan lebih banyak pemeriksaan yang perlu lulus. Cabaran pertama ialah Body Mass Index (BMI). Had yang dibenarkan ialah tidak melebihi 37.5. BMI saya ketika itu memang dah out - 38! Oleh kerana syarat kesihatan yang lebih ketat baru dikuatkuasakan, pihak TH telah menekankan aspek ini dalam kursus awal-awal lagi. Pada minggu-minggu awal kursus, topik penjagaan kesihatan telah disampaikan. Jadi, atas kesedaran itu, saya mulakan satu misi mustahil (mission impossible) iaitu mengurangkan berat badan! Misi yang dah berpuluh tahun tak pernah berjaya. Mampu ke nak capai dalam masa sesingkat ini??? Tawaran haji hanya boleh diterima jika sudah lulus pemeriksaan kesihatan. Perkataan putus asa mula bermain-main di minda.

 

Saya dah tahu tentang tahun giliran haji. Saya sepatutnya dah bersedia dari awal lagi. Semuanya silap sendiri. Selama ini kita hanya diingatkan tentang persediaan kewangan dan mental/rohani. Tidak pernah langsung persediaan fizikal diambil peduli. Tiba-tiba tahun ini pula syarat fizikal jadi keutamaan. Kesihatan yang baik dah jadi salah satu syarat istitoah. Naya betul!

 

Walaupun dengan harapan yang tipis, saya usaha. Setiap pagi berjalan atas treadmill 2km. Itu sahaja yang termampu. Peluh mencurah satu badan. Makanan cuba dikurangkan, lebih makan buah. Allah sahaja yang tahu betapa saya ikhlas berusaha demi untuk menyahut panggilan-Nya.

 

Temujanji untuk pemeriksaan kesihatan dibuat di Klinik Kesihatan (KK). Suami lulus pemeriksaan tetapi saya pula sangkut. Mungkin agak kasar kalau saya nyatakan di sini yang doktor di KK seakan tiada hati perut. Benda kecil diperbesarkan. Pemeriksaan kesihatan saya tidak diluluskan kerana ada sedikit benjolan di leher. Saya diminta buat scan di hospital yang mana sudah terang lagi bersuluh temujanji paling cepat pun tiga bulan lagi. Padahal tawaran kena dijawab seminggu lagi. Saya menangis hampir putus asa. Suamilah penguat semangat. Bawa saya ke klinik swasta, buat scan seperti diminta. Terbanglah RM120.

 

Temujanji kedua dibuat di KK. Kali kedua berjumpa doktor lain (perkara biasa di KK). Doktor kedua juga tidak boleh bertolak ansur langsung. Walaupun keputusan scan dah ada dan tiada apa yang serius, namun tidak mahu terima. Saya diminta pergi hospital untuk buat biopsi pula atau ambil sampel tisu untuk pastikan tiada kanser. Nauzubillah! Paling menghiris hati, doktor boleh dengan sambal lewa cakap tak mengapa tak pergi haji tahun ni, tahun depan boleh merayu. Ambil mudah dan tiada sedikit usaha pun untuk membantu. Saya tahu itu tugas mereka tetapi perkara ini terlalu subjektif dan boleh dirundingkan. Saya kecewa. Sampainya hati seorang doktor Muslim boleh meremehkan usaha seorang yang ingin menunaikan Rukun Islam kelima. Tak tahukah betapa susahnya mendapat panggilan? Tak tahukah berpuluh tahun dah menantikan peluang ini? Tak tahukah bukan senang mendapat tawaran? Sedih!

 

Hati saya berkecai. Saya katakan pada suami mungkin saya tak dapat ke tanah suci bersamanya tahun ini. Dia marah kerana saya cepat sangat berputus asa. Dia usaha bertanyakan pendapat kedua daripada doktor lain. Atas nasihat doktor itu, kami ke hospital swasta. Buat pemeriksaan kesihatan semula. Terbang beratus lagi. BMI saya melepasi syarat. Berat badan berjaya turun beberapa kg mungkin kerana hilang sedikit selera makan dek susah hati.  

 

Tawaran akhirnya berjaya diterima dan proses selanjutnya dapat dibuat. Dalam masa yang sama, saya teruskan buat temujanji di hospital untuk mengesahkan tentang benjolan di leher. Alhamdulillah scan dibuat sekali lagi di Hospital Putrajaya dan keputusannya negatif. Doktor pakar mengesahkan tiada apa yang membimbangkan dan tidak perlu lakukan biopsi atau ambil sampel tisu. Saya bersyukur kepada Tuhan dan lega kerana mengikut nasihat suami. Seandainya saya terus mengalah dan berputus asa, tentulah sia-sia sahaja tawaran tak diterima padahal tiada apa yang salah pada tahap kesihatan saya.         

 

Itulah ujian awal yang Allah kurniakan kepada kami. Saya yakin Allah beri ujian itu supaya saya sedar dan bangkit untuk menjaga kesihatan yang selama ini saya abaikan. Saya usaha menjaga makan dan bersenam. Keluarga juga menyokong dan memberi semangat, sering mengajak saya brisk walk sebagai salah satu usaha.

 

Bersambung….





No comments:

Post a Comment