Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat
dan salam ke atas Baginda Rasulullah saw serta keluarga dan sahabat baginda.
Saya dan suami telah pun selesai menunaikan
ibadat haji, Rukun Islam yang ke-5. Kadang-kadang rasa macam tak percaya. Rasa
macam mimpi. Saya pernah bertanya kepada suami – kalaulah tiba-tiba kita bangun
tidur, kita berada di Mekah. Di katil maktab. Apa abang nak buat? Suami saya
diam sahaja, malas dia nak layan saya… 😂😂😂
Beberapa bulan sebelum berangkat ke tanah suci,
dunia digemparkan dengan Perang Iran-US. Penutupan Selat Hormuz, kenaikan harga
minyak, kebarangkalian kenaikan kos haji, semuanya menyebabkan hati berdebar-debar.
Jadi ke tak jadi? Adakah Haji tahun ini akan dibatalkan? Adakah kerajaan akan
menangguhkan perjalanan haji tahun ini? Adakah kerajaan Arab Saudi menghalang
kemasukan ke tanah suci akibat perang? Macam-macam persoalan timbul sehinggalah
hari pertama penerbangan Jemaah bermula (KT1). Alhamdulillah, semuanya berjalan
seperti dijadualkan. Walaupun krisis di rantau Teluk masih lagi belum selesai
hingga ke saat artikel ini ditulis, namun saya percaya bagi semua tetamu Allah,
tidak ada rasa takut setelah seluruh jiwa raga diserahkan kepada-Nya. Jemaah
pergi dan balik dengan rasa gembira dan tidak gusar tentang keselamatan kerana
yakin akan pertolongan dan perlindungan Allah. Masya Allah.
Sejujurnya, jika diberi peluang untuk
menunaikan haji lagi, saya memang ingin pergi lagi. Sekarang baru saya faham
kenapa orang-orang dahulu balik sahaja dari haji, daftar semula dan pergi lagi
berkali-kali. Baru saya faham bagaimana perasaannya. Malangnya sekarang kita
tak boleh buat begitu lagi. Kata pihak TH, haji hanya boleh sekali seumur
hidup. Sebab itu lah kena lakukan yang terbaik. Tiada ulangan lagi. Ye! Memang
betul. Saya buka aplikasi Thjari, cuba daftar semula. Tak boleh! Pendaftaran
hanya dibuka kepada yang belum pernah menunaikan ibadat haji sahaja. Jadi, apa
yang boleh diharapkan hanyalah berdoa berlaku keajaiban – manalah tahu
tiba-tiba Raja Arab Saudi sendiri yang jemput datang menunaikan haji, memang
rezeki yang tidak dijangka!
Saya tidaklah pandai hendak menasihat dan
mengajar. Saya juga tiada niat untuk menulis perihal agama, bab hukum-hakam dan
sebagainya kerana saya memang bukan ahlinya. Apa yang saya tulis di blog ini,
khasnya Kisah Haji Kami (Bahagian 1-10) adalah sekadar berkongsi pengalaman.
Memang dalam setiap artikel, saya tidak menitipkan secara terperinci berkenaan
rukun dan wajib haji, hanya secara umum sahaja. Berikut ialah serba sedikit apa
yang saya pelajari dalam proses mengerjakan ibadat haji dan bagi diri saya,
mungkin apa yang telah saya lakukan bukanlah yang terbaik apatah lagi sempurna,
namun saya tetap berharap Allah swt menerima amal ibadah yang tidak seberapa
ini dan berdoa agar saya terus istiqomah.
1. Apa yang saya
dapat daripada haji? Gelaran haji hajjah. Penting ke? Tak penting langsung! Di
tanah suci bila dipanggil hajjah, dijerit-jerit oleh askar dan polis haji
hajjah, kita tak rasa janggal. Sebab bagi saya itu satu panggilan hormat
seperti mana kita panggil tuan puan dato’ datin abang kakak di Malaysia. Tapi
bila pulang ke tanah air, secara peribadi saya rasa malu kalau orang panggil
hajjah. Malu sebab rasa macam tak layak nak memakai gelaran berharga itu. Betul
ke aku ni dah hajjah? Padan ke perangai dan perwatakan aku sebagai seorang
hajjah? Hanya Allah yang dapat menilai.
2.Sebenarnya, mengekalkan
hubungan baik sesama manusia adalah lebih mencabar daripada mengeratkan hubungan
dengan Allah. Di tanah suci, kita boleh melakukan ibadat yang dituntut oleh
Allah - berdoa, berzikir, sembahyang, puasa, tawaf, saei, melontar, iktikaf di
masjid, tahajud, qiamulail, bersedekah dan sebagainya tanpa halangan. Terutamanya
semasa di Mekah, berada di hadapan Kaabah, kita rasa hubungan yang sangat
hampir, sangat rapat dan sangat akrab dengan Allah. Kita mudah meminta, mudah
menangis, menyerahkan seluruh kebergantungan kepada Allah. Sangat selesa,
khusyuk, aman dan damai. Ibadat yang dilakukan di sana memang sangat berbeza.
Kita mudah lakukan, tak perlu dipaksa, tidak mengikut trend, segalanya berlaku
dengan natural dan lancar. Susah nak diungkapkan dengan kata-kata bagaimana
semangat dan perasaan ingin beribadat semasa di tanah suci.
3. Namun, hubungan sesama manusia – bagi saya, seorang Jemaah Muassasah dan seorang yang memang tidak gemar bersosial, perlu hidup bersama 4-6 rakan sebilik yang antaranya mempunyai personaliti yang sangat bertentangan, memang agak mencabar. Saya bukanlah seorang yang sempurna dan saya percaya rakan-rakan sebilik saya juga mungkin ada kalanya kurang selesa juga dengan perangai saya. Sebab itulah saya katakan ini adalah cabaran utama dalam mengerjakan haji. Bukan sahaja rakan sebilik, kita juga perlu berdepan dengan pelbagai ragam rakan semaktab, rakan Jemaah Malaysia keseluruhannya, Jemaah-jemaah dari seluruh pelosok dunia yang kita jumpa di masjid dan di jalanan, petugas, askar, polis, pekerja di masjid – semuanya manusia yang kita temui sepanjang masa. Ada kalanya semuanya baik-baik sahaja tetapi ada kalanya banyak juga yang diduga.
4.Sabar merupakan
kunci utama dalam pergaulan seharian. Selagi mana kita boleh bersabar,
InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja tetapi ada kalanya menahan sabar
itulah ujian yang paling tinggi darjatnya. Hal ini bukanlah sesuatu yang
mengejutkan - sudah memang selalu ditegaskan semasa kursus-kursus haji. Tetapi,
walau macam mana pun kita rasa sudah bersedia, cabarannya tetap akan ada.
5. Kehidupan di
tanah suci memang luar biasa. Keajaiban memang berlaku. Kalau pernah dengar
orang cerita masa di sini sihat, sampai di sana tiba-tiba sakit, atau masa di
sini tak boleh berjalan tapi sampai di sana tiba-tiba boleh berjalan, semuanya memang
cerita yang boleh dipercayai bukannya rekaan atau tahyul. Kekuasaan Allah SWT
mengatasi segalanya. Jadi, walaupun kita rasa kita sihat, kuat dan gagah,
jangan takbur yang kita akan kekal begitu setibanya di sana, sebaliknya jangan
putus berdoa supaya Allah kekalkan nikmat kesihatan itu. Dan seandainya kita
rasa terlalu lemah, risau tidak mampu berjalan, risau sakit, risau tak mampu
nak melaksanakan ibadah dengan sempurna, yakinlah yang Allah itu Maha
Penyayang. Pokok pangkalnya, kita kena kekal berusaha menjaga kesihatan,
ikhtiar mendapatkan rawatan jika tidak sihat, tidak putus berdoa dan kemudian
barulah serahkan kepada Allah menentukannya.
6. Menetapkan
sasaran tertentu (KPI) dalam ibadat memang bagus jika kita yakin kita mampu
lakukan dengan ikhlas kerana Allah. Ia akan menjadi panduan dan pembakar
semangat, serta membolehkan kita fokus beribadat kerana telah ada hala tuju
yang jelas. Namun, ukur baju di badan sendiri. Kita tak perlu menetapkan KPI
sekadar mengikut-ikut trend, tapi akhirnya yang dikejar tak dapat, yang
dikendong berciciran. Ibadat wajib dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Taala,
bukan kerana angka, bukan kerana standard, dan jangan sekali-kali kerana content!
7. Bagi yang mampu
dari segi kewangan dan kurang suka bercampur dengan orang ramai, eloklah
memilih pakej mengerjakan haji bilik berdua dengan PJH. Dengan demikian, anda
boleh tinggal sebilik dengan pasangan sendiri dan tidak perlu risau untuk
berkongsi bilik dengan orang yang tidak dikenali. Hal ini boleh mengurangkan
risiko perselisihan faham atau tidak selesa dan dapat menumpukan perhatian
kepada ibadat semata-mata.
8. Jangan bersifat
skeptikal terhadap jemaah-jemaah yang pergi mengerjakan haji melalui PJH.
Memang betul ramai yang terdiri daripada orang-orang kaya, golongan T20 tetapi
masing-masing mempunyai sebab yang tersendiri kenapa memilih PJH. Salah satunya
mungkin sebab yang dinyatakan di (7) di atas, alasan kesihatan, masa dan
sebagainya. Ada juga yang memang ingin pergi dengan Muassasah tetapi tidak
dapat, jadi terpaksa memilih PJH. Rezeki masing-masing Allah yang tentukan.
9. Boleh dikatakan
ramai Jemaah yang berbelanja besar di tanah suci. Sampai-sampai sahaja sudah
mula membeli-belah. Belanja pos/kurier barang beribu ringgit. Tak salah pun.
Bukannya selalu, mungkin sekali seumur hidup. Malah ada yang tak pernah sampai
pun lagi ke tanah suci, itu kali pertama dan mungkin juga kali terakhir. Ramai
yang sibuk memikirkan nak beli buah tangan untuk keluarga, sahabat handai dan
jiran tetangga yang dah hulur duit dan yang mungkin menanti menyambut
kepulangan nanti. Semua itu tak salah, tetapi berpada-padalah dan yang paling
utama ingatlah niat utama kita ke tanah suci agar jangan terpesong.
10.Pihak berkuasa –
Tabung Haji (TH) dan Muassasah memang telah pun melaksanakan tugas mereka
dengan baik. Banyak perkara yang sudah ditambah baik setiap tahun. Untuk
memuaskan hati setiap orang adalah mustahil. Jadi, atas apa sahaja kekurangan
dan kelemahan yang ada, kita perlu menerima dengan hati terbuka. Adalah penting
untuk kita bersedia untuk berdikari dan tidak bergantung harap sepenuhnya
kepada pihak TH kerana di kebanyakan masa, kita perlu pandai membawa diri dan
membuat keputusan sendiri.
11.Apabila TH telah
mengaturkan jadual dan menetapkan sesuatu perkara, sebolehnya patuhilah untuk
kebaikan bersama. Namun, kita juga lebih kenal kemampuan diri kita sendiri.
Seandainya kita perlu bertindak sendiri dan tidak mengikut arahan, buatlah
dengan berhati-hati supaya tidak menyusahkan orang lain.
12.Kadang-kadang kita
terlalu dimomokkan atau ditakut-takutkan dengan ujian-ujian yang bakal
dihadapi. Misalnya cuaca yang terlalu panas akan buatkan dehydrated, selipar
jadi kecut, air paip panas melecur, siksanya jalan kaki berkilo-kilometer,
kesesakan lalu lintas dan macam-macam lagi.
Memang betul perkara-perkara itu banyak ditekankan supaya kita beringat
dan bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Tetapi,
percayalah bahawa realitinya tidaklah seteruk yang dimomokkan. Alhamdulillah
sepanjang berada di tanah suci, semua kejadian atau perkara-perkara yang
dirisaukan tidak pun berlaku kepada kami.
13.Ada juga terdengar suara-suara berpesan tentang hubungan suami isteri tatkala berada di tanah suci. Banyak kisah rumah tangga yang ada dikongsikan terutamanya perselisihan faham antara suami isteri. Hal ini boleh didengar dan diambil pengajaran tetapi usahlah dirisaukan sangat kerana seandainya hubungan suami isteri itu baik sejak di tanah air lagi, maka semasa di tanah suci juga hubungan tetap baik, malah semakin erat. Berada di tanah suci jauh dari anak-anak dan keluarga membuatkan hubungan suami isteri bertambah akrab kerana saling bergantung dan memerlukan antara satu sama lain. Suami tak perlu fikirkan tentang hal kerja di pejabat, isteri juga tak perlu kisahkan urusan rumah tangga seperti memasak, mengemas, mencuci. Kalau yang berkebun, bertani, berniaga atau apa sahaja usaha yang dilakukan di tanah air, semuanya akan dilupakan buat sementara waktu. Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk beribadat dan rakan rapat yang sentiasa ada bersama ialah pasangan kita. Sebab itu bolehlah juga dikatakan sepanjang berada di tanah suci, seakan tempoh berbulan madu bagi pasangan suami isteri. Momen yang jarang-jarang diperolehi jika berada di tanah air.
Sudah lebih dua bulan saya dan suami pulang
dari tanah suci. Namun ingatan dan kenangan sepanjang berada di sana masih
segar dalam ingatan. Kalau ada rezeki rasa saya tiada siapa yang pulang dari
tanah suci tidak berhajat untuk ke sana lagi. Ya Allah! Kurniakanlah nikmat
kesihatan dan kewangan supaya kami mampu menjadi tetamu-Mu lagi bersama-sama
seluruh ahli keluarga kami.
Sejujurnya hati yang telah bersedia untuk menyahut
seruan ke tanah suci akan redha jika pemergiannya tidak lagi akan kembali. Walaupun
memanglah bekalan yang ingin dibawa masih sangat sedikit, tetapi gugur di Tanah
Haram merupakan impian setiap umat Nabi. Mendapat haji yang mabrur menjadi
dambaan setiap insan kerana balasan syurga yang Allah janjikan sudah pasti akan
ditunaikan. Namun kita sebagai hamba yang hina dan lemah hanyalah mampu berdoa
dan berharap, Dialah yang menentukan segalanya.
Saya mohon maaf jika sepanjang penulisan 10
bahagian Kisah Haji Kami ini ada yang tersilap fakta dan terkasar bahasa. Apa
yang baik harap dapat dijadikan panduan dan apa yang tidak baik mohon Allah
ampunkan. Sekian.
No comments:
Post a Comment