Berdasarkan pengamatan saya, agak sukar untuk mencari
maklumat berkaitan kesihatan dari blog-blog / laman web berbahasa Melayu.
Sekiranya keyword yang ditaip
berbahasa Melayu, kebiasaannya kita akan ditunjukkan kepada blog-blog / laman
web berbahasa Indonesia. Masalahnya ialah kadang-kadang banyak perkataan dalam
Bahasa Indonesia yang saya tidak faham.
Persoalannya di sini, adakah orang Melayu tidak berminat
menulis dalam bab kesihatan / sains?? Atau, adakah ramai doktor Melayu atau
ahli-ahli dalam bidang sains, perubatan dan berkaitan hanya menulis dalam
Bahasa Inggeris?
Sebagai blogger picisan, saya juga tidak terkecuali. Tetapi,
saya memang lah bukan ahli yang selayaknya untuk menulis dalam bab ini. Namun,
kali ini saya suka nak berkongsi satu pengalaman sendiri. Apa yang saya tulis
di sini, hanyalah berdasarkan pengalaman peribadi dan jika ada fakta yang tidak
tepat, harap boleh diperbetulkan.
Pernah suatu ketika saya mengalami rasa sakit di belakang
peha. Rasa sakitnya seperti isi ditarik atau dikoyak. Ianya berlaku semasa
berjalan atau berdiri lama. Tetapi, apabila duduk, sakit itu akan hilang. Dan
ianya akan berulang kembali apabila berjalan. Semasa membongkok, badan juga
tidak boleh tunduk hingga 90 darjah kerana bahagian belakang peha rasa sakit
dan tegang.
Pernahkah anda mengalami masalah yang serupa seperti saya?
Sakit seperti ini pernah terjadi beberapa tahun yang lalu
namun ianya hilang begitu sahaja tanpa saya sedari. Mungkin kerana rasa sakit
itu hanya terjadi sekali-sekala apabila banyak berjalan. Pada awalnya, saya
fikir ianya adalah berkaitan urat dan sendi. Mungkin ‘salah urat’ kata orang
tua-tua. Jadi, kadang-kadang saya hanya mengurut bahagian yang sakit dan sapu
minyak.
Beberapa bulan yang lepas, rasa sakit ini kembali menyerang.
Namun kali ini agak lama ia masih tidak hilang. Menurut doktor, ia adalah kekejangan
otot. Doktor menyarankan saya mengambil Neurobion
– suatu supplement vitamin B1, B6
& B12 (yang ada diiklan di televisyen). Namun begitu, atas perasaan ingin
tahu, saya menjalankan ujian darah kerana risau jika ada penyakit lain yang
tidak diterangkan oleh doktor.
Daripada ujian darah yang dijalankan, selain daripada tahap
kolestrol yang berada di borderline, didapati
kadar homocysteine saya agak tinggi
iaitu 20. Kadar homocysteine yang normal
ialah di bawah 15.
Dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh tentang
kolestrol kerana bab ini telah selalu diperkatakan orang dan banyak maklumat
berkenaan kolestrol boleh didapati dengan mudah. Saya akan berkongsikan tentang
perkara yang jarang orang sebut atau mungkin juga tidak pernah dengar langsung.
Saya juga hanya akan menggunakan bahasa seharian supaya lebih mudah faham.
Jadi, kalau ada terma yang kurang tepat, faham-faham sahajalah ye! 😊
Sumber :
drjockers.com
Homocysteine ialah
asid amino di dalam darah yang terhasil kebanyakannya daripada pemakanan
daging. Kadar homocysteine yang
tinggi selalu dikaitkan dengan tanda-tanda awal penyakit jantung. Ia juga
berkaitan dengan kekurangan vitamin B6, B12 dan folat (asid folik) serta
penyakit buah pinggang. Kadar homocysteine yang tinggi juga menyumbang kepada
masalah-masalah seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.
Dipendekkan cerita, kadar homocysteine yang tinggi itulah salah
satu penyebab sakit belakang peha saya. Penyakit yang saya alami itu mungkin
adalah Peripheral Artery Disease atau singkatannya PAD
(atau merujuk juga kepada Peripheral
Vascular Disease). PAD secara bahasa mudahnya ialah penyempitan arteri di
bahagian lain tubuh selain dari jantung dan otak. Ia menunjukkan kelemahan
arteri dalam menjalankan fungsinya untuk mengedarkan darah. Simptom PAD
bergantung kepada lokasi di mana arteri tersumbat. Simptom yang paling biasa
bagi PAD ialah intermittent claudication.
Berdasarkan laman web medicinenet.com, ‘Intermittent Claudication’
(saya tidak pasti bagaimana hendak terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu)
bermaksud rasa sakit, tegang, letih dan kadangkala rasa terbakar pada kaki (terutamanya
peha dan betis) yang kebiasaannya terjadi semasa berjalan dan hilang apabila
berehat. Ianya adalah akibat peredaran darah yang lemah dalam pembuluh darah (arteri)
di kaki.
Pembuluh darah ialah suatu bahagian yang mengangkut darah ke
seluruh badan. Terdapat tiga jenis utama pembuluh darah iaitu arteri (membawa
darah dari jantung), rerambut (membolehkan pertukaran air dan bahan kimia di
antara darah dengan tisu) dan vena (membawa darah ke jantung).
Rasa sakit pada kaki itu terjadi kerana arteri yang membawa
darah ke kaki telah sempit dan seterusnya menghadkan bekalan oksigen ke otot
kaki yang akan sangat dirasai apabila bersenam/bergerak.
Intermittent
claudication boleh jadi akibat penyempitan arteri secara sementara sahaja akibat vasospasme
iaitu kekejangan arteri atau boleh jadi penyempitan arteri kekal akibat aterosklerosis iaitu arteri tertutup sepenuhnya yang
dinamakan Peripheral Artery Disease (PAD). Arteri yang tersumbat oleh
himpunan kolestrol akan menyebabkan peredaran darah ke otot kaki menjadi
perlahan. Semasa berjalan atau bersenam, otot memerlukan lebih banyak darah
untuk meningkatkan oksigen dalam sel. Kekurangan oksigen itulah yang
menyebabkan kesakitan pada kaki.
Dalam bahasa pasar, saya simpulkan penyakit ini adalah
seakan penyakit jantung di bahagian kaki. Hahaha… bunyinya macam pelik kan..
tetapi untuk mudah faham, sebenarnya peha yang sakit itu diibaratkan sebagai
jantung (sebab di kaki tiada jantung). Arteri yang membawa darah ke peha tidak
sampai akibat telah tersumbat, oleh itu menyebabkan kesakitan. Sekiranya di
bahagian jantung mengalami masalah ini (arteri / vena tersumbat), saya percaya
ramai yang tahu apakah akibatnya. Jadi, masalah ini walaupun nampaknya jauh
dari jantung, tetapi sebenarnya adalah serius.
Sebenarnya banyak persamaan antara Coronary Artery Disease
(bahagian jantung) dan Peripheral Artery Disease. Kedua-dua penyakit boleh
terjadi pada orang yang sama. Kekurangan darah dan oksigen ke jantung akan
menyebabkan sakit dada (exertional angina) dan ia boleh reda apabila pesakit
berehat. Sama seperti kekurangan darah dan oksigen ke kaki boleh menyebabkan
kesakitan semasa berjalan tetapi reda apabila duduk berehat.
Satu cara paling mudah yang disarankan untuk mengatasi
masalah intermittent claudication
ialah banyakkan berjalan! Pada awalnya saya juga agak pelik kenapa kena
berjalan pula sedangkan semasa berjalanlah kita akan sakit. Jika tidak
mempunyai pengetahuan ini, biasanya kita akan elakkan dari banyak berjalan dan
cuba untuk tidak banyak bergerak sebab kita fikir tindakan ini akan dapat
mengurangkan rasa sakit itu. Tetapi sebenarnya tindakan ini adalah salah!
Sememangnya kita akan rasa sakit bila berjalan, tetapi kita harus meneruskan
aktiviti berjalan ini sebagai rutin harian.
Selain daripada berjalan, kaedah lain dalam merawat
intermittent claudication ialah dengan pengambilan ubatan dan pembedahan. Saya
tidak pernah mengambil ubat khas atau menjalankan pembedahan untuk sakit ini,
jadi dalam artikel ini saya tidak akan
kongsikan perkara ini dengan lebih lanjut kerana tidak pasti akan kesahihan
faktanya. Namun, sekiranya berminat, anda boleh merujuk di banyak laman web /
blog berbahasa Inggeris antaranya medicinenet.com, pennmedicine.org,
cardiosmart.org, emedicinehealth.com dan banyak lagi.
Intermittent
claudication boleh dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat
seperti berhenti merokok, menjaga pemakanan dan memastikan tekanan darah, kandungan
gula dan tahap kolesterol berada di paras yang betul. Namun begitu, pada
pendapat saya, masalah yang saya alami ini ialah semuanya akibat berat badan
yang berlebihan. ☹ Memang betul, gemuk boleh mengundang pelbagai
penyakit. Walaupun tekanan darah dan gula masih terkawal, namun berlakunya
intermittent claudication ini menunjukkan saya perlu berjaga-jaga bahawa tidak
mustahil penyakit lain bila-bila masa sahaja boleh menyerang.
Oleh kerana punca utama kesakitan telah dikenalpasti akibat
daripada kadar kolestrol dan homocysteine yang tinggi, maka langkah pertama
yang perlu diambil ialah untuk menurunkan kadar ini. Cara yang disarankan ialah
dengan pengambilan asid folik, vitamin B6 dan vitamin B12. Tabiat pemakanan
memanglah tidak dapat disangkal lagi, perlu diubah. Namun saya rasa tidak
perlulah saya menulis tentang perkara ini kerana maklumat ini mudah diperolehi.
Diringkaskan cerita, kalau sesiapa yang pernah ada rasa
sakit belakang peha seperti yang diterangkan di atas, cubalah buat pemeriksaan
darah atau pun cubalah amalkan senaman berjalan kaki serta mengambil vitamin
B6, B12 dan asid folik (mungkin juga boleh pertimbangkan vitamin B-kompleks). Walau
apa pun, sebaiknya berjumpalah doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat,
bukan mengabaikan sahaja sakit itu.
Semoga info yang saya kongsi ini memberi manfaat kepada
pembaca. Sekian, Wallahua’lam.
Terima kasih diatas perkongsian
ReplyDeleteSama-sama. Harap bermanfaat.
Deleteterima kasih ,sharing yg berguna.
ReplyDeleteSama-sama. Semoga bermanfaat.
DeleteTerima kasih banyak Tuan. Saya memang mengalami sakit paha kanan (tepi) sejak 2 minggu yg lalu. Ini berlaku selepas sy membersihkan parit belakang rumah lebih kurang 2 jam tanpa henti. Saya sdh cuba beberapa kaedah (selain yang disarankan dlm article ni) namun sakit masih terasa. Peliknya, ketika berjalan atau berlari sakit iri tidak terasa. Sakit terasa apabila berbaring/tidur.
ReplyDeleteSemoga bermanfaat. T.kasih kerana membaca.
Delete