Wednesday, 26 August 2015

Mi Goreng Mamak Basikal

Masa kecil-kecil dulu, suka sangat makan mi goreng mamak yang naik basikal lalu depan rumah. Kalau boleh asal mamak tu lalu je mesti nak panggil. Bukan sahaja sebab nak makan, tapi part yang paling best ialah tengok cara mamak goreng mi tu...

Nampak senang dan simple je cara mamak goreng mi.. kuali pun tak payah basuh... mungkin itu yang menambah keenakan mi nya...hi..hi...

Sudah lebih kurang 30 tahun rasanya pengalaman itu berlalu. Mamak pun mungkin dah tiada lagi. Tapi rasa mi goreng mamak basikal tiada tandingannya. Walaupun berlambak kedai mamak yang ada sekarang, susah nak dapat yang betul-betul sedap. Banyak yang dah dimodenkan dan tak berapa ori.

Jadi, untuk mengimbas kenangan lalu, saya pun nak cuba buat sendiri mi goreng mamak basikal. Di sini saya kongsikan resepinya. Memang takkan sama dengan mi goreng mamak ori.... sebab saya bukan mamak!! hehh..heh...

Mula-mula kita kena sediakan pes nya dulu. Sebab inilah rahsia mi goreng mamak, sebab bahan-bahan lainnya biasa-biasa je. Pes inilah yang menentukan mi menjadi atau tidak. Di bawah ini ialah resepi ciptaan saya sendiri mengikut tekak sendiri je.... tak ada pun mamak yang mengajar. Dah google-google pun tak dapat yang boleh dipercayai...hah..hah..



Pes mi goreng mamak

Bawang merah
Bawang putih 
Cili kering 
Udang kering 
Serbuk rempah kari daging
Kacang tanah dimesin halus
Minyak masak

Cara:-
1. Semua bawang merah, putih, cili dan udang kering hendaklah dimesin halus terlebih dahulu (berasingan setiap satu)
2. Panaskan minyak, tumis bawang, cili dan udang kering.
3. Masukkan sedikit rempah kari yang sudah dibancuh dengan air.
4. Goreng sampai garing.
5. Masukkan kacang.
6. Masukkan garam, gula dan perasa ikut suka sesedap rasa. 
7. Dah garing dan naik bau, padam api dan salin dalam mangkuk. Pes ni boleh buat banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk. 


Bahan-bahan lain

Mi kuning (boleh juga campur dengan sedikit bihun dan kuetiaw)
Tauge
Sawi
Tahu
Buah tomato
Telur
Minyak
Kicap manis dan masin
Bawang merah
Limau nipis/kasturi
Cili merah dan hijau
Daun sup dan daun bawang
Bawang goreng

Cara:-
1. Panaskan sedikit minyak.
2. Tumiskan bawang merah yang dicincang.
3. Masukkan tahu yang dipotong kecil, kacau sekejap sampai naik bau.
4. Masukkan tauge, sawi dan tomato.
5. Masukkan mi yang dah dibasuh (lalu) dengan air paip. Kacau.
6. Masukkan pes mi goreng mamak yang telah disediakan terlebih dahulu tadi. Kacau rata dengan mi dan lain-lain bahan tadi.
7. Masukkan kicap manis dan masin, ikut suka nak letak banyak mana. Kalau suka hitam boleh letak banyak. Tapi jangan lupa pes tadi telah ada garam! Kalau terlebih sangat kicap nanti mi jadi masin.
8. Ketepikan mi, letak sedikit minyak dan pecahkan telur. Kalau nak sedap, telur mesti lebih. Kalau sebungkus mi, telur paling kurang 3 atau 4 biji baru cantik.
9. Biarkan telur masak sedikit baru gaulkan dengan mi tadi.
10. Dah siap taburkan dengan cili potong, daun sup, bawang goreng dan limau sebagai hiasan. kalau tak suka hiasan ni, tak payah letak pun dah sedap.

Senang je kan... cubalah buat! Sebenarnya mi goreng mamak ni tak banyak sangat modalnya. Tak payah nak berdaging, udang, ayam, kerang, sotong bagai... fish cake, fish ball lagilah tak sesuai. Yang penting mesti banyak telur baru lazat! 



Gambar hiasan


Seperti biasa, dah siap masak terus tak sabar nak makan. Dah habis makan baru teringat gambar tak ambil. Jadi, kita pinjam gambar orang je lah ye... hi..hi..




No comments:

Post a Comment