Friday, 16 January 2015

K-Pop & Dasar Pandang Ke Timur

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Bertemu lagi kali ini dengan isu semasa yang sedang hangat dibualkan... ;-)

Saya kurang berminat menonton video-video yang diviralkan dan kebiasaannya saya tidak mengklik kepada pautan-pautan yang disarankan. Saya percaya sudah menjadi trend sekarang ini perkara yang kecil diperbesar-besarkan, benda yang kadangnya bukannya isu besar tetapi dibincangkan menjadi isu negara dan mengakibatkan jutaan manusia menjadi keyboard warrior yang kebanyakannya suka mengutuk dari mengkritik yang membina.

Saya bukan tergolong dari kalangan keyboard warrior. Bagi anda yang mengenali saya, wall fb sentiasa sepi, tweet pun jarang sekali apatah lagi instagram dan yang seumpama dengannya. Namun diam tidak bererti tidak mengambil tahu ye! Hi..hi..

Okaylah...kita ke tajuk utama hari ini ~ K-Pop!


Terus-terang saya memang tak minat K-Pop. Tetapi saya adalah peminat drama-drama Korea. Mungkin pada sesetengah orang pemikiran saya ini tidak relevan. Dah kedua-duanya pun dari sumber yang sama, manakan boleh satu suka, satu benci! Heh..heh... Terpulanglah pada penilaian masing-masing.

Pada saya (yang bukannya orang seni) K-Pop memang tiada nilai yang baik untuk ditonton apatah lagi dicontohi. Muziknya kurang seni, persembahan lebih menonjol daripada vokal dan melodi. Pendek kata, K-Pop cuba menyampaikan hiburan yang menjolok mata dan memberahikan; bukannya mengutamakan seni! Tarikan mereka adalah pada paras rupa (yang kebanyakannya sudah dibedah plastik atau ditempek make-up), pakaian yang menjolok mata (yang si gadis-gadis) dan tarian gedik-gedik yang kadang-kadang nampak lucah. Manakala yang lelakinya pula kebanyakannya nampak feminin dan jambu ~ kata orang zaman sekarang. Wallahua'lam... Ini adalah pandangan peribadi dari kacamata saya sahaja.

Jadi mengapa pula saya minat menonton drama-drama Korea sedangkan ramai juga pelakon-pelakonnya terdiri daripada penyanyi dan penari K-Pop itu? Hmmm... jawapan saya begini...

Saya mula menonton drama Korea sejak lebih 10 tahun lalu. Antara drama awal yang saya tonton dan masih saya minati ialah Autumn in My Heart dan Jewel in the Palace. Ketika itu budaya K-pop masih belum bertapak di Malaysia dan saya percaya masih juga baru di Korea. Sehingga kini sudah banyak drama Korea yang saya tonton dan boleh saya simpulkan kita ambil contoh yang positif sahaja dan jangan pula mencontohi apa yang negatif.

Kenapa saya berkata begitu?

Sepertimana drama/filem Melayu, Inggeris, China, Hindustan dan lain-lain, drama Korea juga banyak menonjolkan nilai-nilai murni seperti sifat rajin, keakraban hubungan kekeluargaan, semangat setiakawan, patriotisme dan sebagainya. Inilah elemen-elemen yang kita boleh contohi. Namun seperkara yang nampak agak 'biasa' kepada mereka ialah hubungan luar nikah, kepentingan darjat dan keutamaan anak lelaki sehinggakan ada yang lebih mengiktiraf anak luar nikah semata-mata kerana dia lelaki dan bagi membolehkan mewarisi harta keluarga. Ini merupakan contoh yang kita hanya boleh sekadar tonton, ambil iktibar dan jadikan sempadan.



Seingat saya, sebelum drama-drama Korea menembusi kaca televisyen Malaysia, drama-drama Jepun sudah terlebih dahulu mengusai pasaran. Contohnya drama Oshin, Rin Hane Koma dan Moero Attack telah terlebih dahulu ditonton oleh rakyat Malaysia. Namun mengapa drama-drama Jepun kurang mendapat sambutan daripada drama Korea kebelakangan ini? Dan mengapa juga kumpulan muzik dari Jepun tidak dikenali di Malaysia berbanding kumpulan-kumpulan K-pop?

Siapakah tangan yang menggerakkan patung-patung wayang kulit ini? Cuba renung, kaji dan fikir-fikirkanlah...

Korea Selatan secara mendadak telah menjadi destinasi pelancongan popular di kalangan rakyat Malaysia. Kelibat rakyat Malaysia di Seoul, Pulau Nami dan Pasar Namdaemun sudah tidak asing lagi. Malah jangan terkejut jika ramai peniaga di sana yang boleh berbahasa melayu. 

Jepun pula sangat popular di kalangan rakyat Malaysia di sekitar tahun 1980an dan 90an bila mana YAB Tun Mahathir melancarkan Dasar Pandang Ke Timur; ramai pelajar dihantar menuntut ilmu ke Jepun dan ramai juga rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

Namun jika dibandingkan populariti Jepun dan Korea Selatan di mata rakyat Malaysia, nampaknya Korea Selatan lebih dikenali oleh Generasi Z. 

Korea Selatan ternyata telah berjaya bangkit selepas perang. Jika dibandingkan dengan Korea Utara, mereka jauh lebih maju. Sekali lagi suka saya ajukan persoalan ini kepada para pembaca: Siapakah kuasa di sebalik kebangkitan Korea Selatan? Bagaimana mereka boleh pulih, bangkit dan maju dengan mendadak sehinggakan populariti negara matahari terbit yang lebih sinonim kepada rakyat Malaysia suatu waktu dahulu boleh tergugat?

Cubalah baca sejarah, baca kisah semasa, perhati, fikir dan bertindak.

Segala-gala yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya. Artis K-pop yang mencetuskan kontroversi di Malaysia tidak wajar dipersalahkan. Bagi mereka berpeluk, bersentuh atau bercium bukan satu kesalahan pada budaya dan agama mereka (mungkin). Kesalahan terletak pada diri kita sendiri yang mempunyai batasan agama Islam, jadi sewajarnya jangan menuding jari ke sana sini. Pada saya, kalau nak sangat tonton persembahan K-pop ni, sekadar tengok dan lepas tu memory delete. Tak payah nak puja, gila-gilai setengah mati. Kalau tak tengok pun tak ada apa yang rugi!  

Kejadian yang berlaku juga tiada langsung kaitan dengan Dasar Pandang Ke Timur yang nyata mempunyai matlamat yang jelas dan betul jika anda mengetahuinya. Jadi janganlah pandai sebut tapi tak faham apa-apa.

Kita wajar mencontohi kedua-dua negara Jepun dan Korea Selatan ini yang pesat maju dari segi ekonomi. Kita boleh terima apa sahaja yang mereka hidangkan, tapi pandai-pandailah menapis apa yang boleh ditelan dan apa yang patut ditanam dalam lubang dalam-dalam. Pokok pangkalnya hati ~ pandanglah dengan mata hati bukannya hanya dengan mata yang bertahi!

Wallahua'lam.       
  

No comments:

Post a Comment