Friday, 4 November 2016

Part 1 : Meneroka Jepun dengan JR Pass

Di antara negara yang saya pernah lawati, saya suka untuk berkongsi pengalaman bercuti ke negara matahari terbit ~ Jepun.



Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tokyo ialah pada tahun baru 2015. Tetapi pengalaman selama hanya dua malam di sana agak tidak memuaskan hati kerana masa yang amat suntuk. Banyak tempat yang hanya sempat dijenguk-jenguk sekadar syarat sampai sahaja. Banyak pula tempat yang tutup kerana cuti tahun baru. Agak malang rasanya kerana tidak membuat perancangan yang betul.

Kali kedua, perancangan dibuat dengan lebih teliti. Walaupun bukanlah benar-benar percutian (kerana tujuan sebenarnya adalah atas urusan suami), namun saya telah membuat lebih kajian dan perancangan agar masa yang diperuntukkan dapat dimaksimakan.

Di sini, saya akan kongsikan serba-sedikit pengalaman makan angin di negara matahari terbit itu. Saya tidak akan menulis itinerary saya secara terperinci kerana terdapat banyak blog lain yang memberi panduan dan tips melancong ke Jepun yang bagus-bagus belaka. Saya juga telah merujuk kepada blog-blog tersebut yang sangat informatif dan membantu perancangan percutian kita.

Seperti biasa, saya suka menulis yang umum-umum sahaja berdasarkan pengalaman peribadi. Kalau suka, teruskanlah membaca.. :)


Perjalanan kali ini adalah selama 10 hari. Nampak macam lama, tapi sebenarnya tidak cukup! Saya bercadang untuk 'expand' sedikit lawatan kami, tidak hanya tertumpu di Tokyo, tetapi melangkah jauh sedikit ke Osaka, Kobe, Kyoto dan Gunung Fuji.

Untuk tujuan ini, kami telah membeli Japan Rail Pass (JR Pass). Suatu kemestian yang sangat-sangat saya syorkan jika anda ingin menerokai ke seluruh kepulauan Jepun dari utara ke selatan. JR Pass ini sangat berbaloi-baloi jika anda berhasrat untuk melancong ke merata-rata tempat di Jepun. Kami sekadar sempat menggunakan pass ini untuk ke Tokyo-Osaka-Kyoto-Kobe-Fuji sahaja, namun itu pun sudah cukup berbaloi. Apatah lagi jika sempat naik ke utara (Sapporo) dan turun ke selatan (Nagasaki), itu adalah sangat berbaloi. Mana tahu, kalau ada rezeki, mungkin next trip! :)


Harga JR Pass ini agak mahal. Sekali tengok, memang rasa tak sanggup nak beli. Harga semasa saya beli ialah RM2,175.50 untuk dua orang, untuk kegunaan 7 hari. (Ada juga pass untuk 14 hari dan harganya tentulah lebih sedikit). Pass ini boleh dibeli dari travel agent tertentu atau secara online. Kalau nak beli, kena rajin survey harga beberapa tempat kerana ada banyak pihak yang tawarkan macam-macam harga dan pakej. Tambahan pula kita akan membeli dengan nilai matawang asing yang sentiasa turun naik. Jadi, kalau anda seorang yang calculative macam saya, kenalah rajin sedikit google sana sini untuk mendapatkan harga yang terbaik.

Saya beli secara online setelah beberapa kali menelefon travel agent dan membandingkan harga. Penghantaran dibuat dalam masa sehari sahaja, dan diberi percuma peta dan jadual. Jika ada yang berminat untuk mengetahui berkenaan JR Pass ini, silalah google. Banyak maklumat yang kita perlu tahu dan teliti sebelum membeli.

Oh ye..! Peringatan! Seperti mana yang saya nyatakan di atas, JR Pass ini hanya sesuai jika anda ingin berjalan ke merata-rata tempat di Jepun (sila lihat peta). Jika anda hanya bersiar-siar di sekitar Tokyo sahaja atau Osaka sahaja misalnya, maka pass ini tidak sesuai. Ada pass lain yang boleh dibeli. Jadi, teliti dulu perancangan anda dan pastikan kesesuaiannya.


Why JR Pass is highly recommended by me?

Hmmm... ini jawapannya:-

1.  Kita boleh menerokai keseluruhan kepulauan Jepun tanpa batasan (tentulah dalam tempoh masa yang ditetapkan dan laluan yang tertentu)

2.  Walaupun hanya laluan-laluan tertentu sahaja yang boleh menggunakan pass ini, tetapi percayalah, sangat banyak laluan yang memang kita boleh gunakan. 

3.   Kita boleh naik shinkansen (keretapi paling laju di Jepun) berapa kali yang kita suka. Walaupun kita tak boleh naik bullet train Nozomi (yang terkini) tetapi bullet train yang lain-lain itu pun sudah cukup laju dan selesa, serta tiba ke destinasi yang sama dalam perbezaan waktu beberapa minit sahaja.

4.   Pass ini bukan sahaja untuk perjalanan jarak jauh, tetapi boleh juga digunakan di dalam bandar misalnya Tokyo monorail. (tentulah ada laluan tertentu dan tidak termasuk subway)

5.   Jepun memang sesak dengan laluan keretapi, jadi di mana-mana sahaja pasti kita akan boleh cari laluan yang boleh menerima pass ini.

6.   Pass ini juga boleh digunakan untuk menaiki bas dan feri (boleh rujuk maklumat lanjut di laman-laman lain)

7.   Kita boleh dengan mudah keluar masuk stesen dengan hanya menunjukkan pass ini kepada penjaga tanpa perlu risau bagaimana nak beli tiket, tersilap beli tiket, tersilap laluan dan sebagainya. Kalau tersilap laluan, boleh turun naik di mana-mana sahaja tanpa risau nak kena beli tiket semula dan terpaksa membayar lebih.

8.   Bila sudah ada pass, perjalanan lebih mudah dengan memfokuskan kepada laluan yang menerima pakai pass ini, dan abaikan lain-lain laluan yang sangat banyak dan agak memeningkan.

9.   Walaupun nampak mahal (harga pass seorang dewasa ialah Yen38,880), namun jika dibandingkan dengan membeli tiket secara individu setiap kali perjalanan, ianya jauh berbeza.

10.   JR Pass ini istimewa untuk bukan warganegara / penduduk Jepun. Orang-orang Jepun sendiri tidak boleh membeli dan menggunakan pass ini. Malah, ada yang tidak tahu pun kewujudan pass ini. Jadi, ini merupakan keistimewaan yang diberikan kepada pelancong yang patut kita ambil peluang.

Itu adalah serba-sedikit perkongsian saya berkenaan JR Pass. Kalau anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut, saya sarankan untuk baca dengan teliti di laman-laman yang berkaitan (contoh : www.japan-rail-pass.com; www.jrpass.com; www.japanguide.com dan banyak lagi). Pass ini perlu dibeli sebelum kita tiba di Jepun. Ia tidak dijual di sana. Jadi, pastikan anda merancang dan membuat keputusan awal.

Harapan saya, artikel ini dapat memberi maklumat yang berguna kepada mereka yang merancang untuk melancong ke Jepun. InsyaAllah, saya akan kongsikan lagi berkenaan percutian ke Jepun di artikel akan datang. Bye! 

  

No comments:

Post a Comment