Kalau saya sebut kuih Pulut Tetal, pastinya ramai yang akan terpinga-pinga. Tetapi tahukah anda, selain daripada nama Seri Muka, kuih ini juga dipanggil Pulut Tetal. Kenapa? Saya pun tak tahu.. ! 😂
Yang pastinya, kuih ini memang kegemaran seisi keluarga. Emak saya pakar membuat kuih Seri Muka dan saya cuba dapatkan resepi daripadanya walaupun katanya dia buat main agak-agak sahaja. Maklumlah, orang dulu-dulu banyak yang tiada sukatan tertentu. Mereka main campak, lebuk, kacau sesedap rasa. Namun disebabkan kepakaran mereka, campak lebuk debuk itu menjadi sahaja.. 😂
Ini ialah resepi yang emak saya kongsikan. Katanya puas dia cuba menyukat dan hasilnya lebih kurang beginilah. Kuih mak saya memang lembut, jadi rupanya mungkin tidak cantik seperti yang biasa orang jual. Kalau nak rupa kuih yang cantik dan senang dipotong, kenalah tambah lebih tepung. Tetapi jika lebih tepung, rasanya akan kurang kick. Jadi, saya lebih suka resepi mak saya. Biarlah kurang cantik tapi rasanya lazat.
Bahan-bahannya:-
Bahagian bawah:
1 kg beras pulut
1 kg santan
Sedikit garam
Bahagian atas:
1 mangkuk telur
3 mangkuk gula pasir
3 mangkuk santan
1 mangkuk tepung gandum
Daun pandan
Pewarna hijau - jika perlu
Cara-caranya:-
- Panaskan air di kukus.
- Basuh beras pulut, toskan dan masukkan ke dalam loyang.
- Pulut boleh direndam terlebih dahulu atau pun kalau tak rendam pun boleh.
- Masukkan santan (yang telah ditambah sedikit garam) ke atas pulut, agak-agak sekadar menutupi pulut.
- Kukus lebih kurang 1 jam. Kalau pulut yang telah direndam, kukus lebih kurang 30-45 minit sahaja.
- Sementara pulut masak, bancuh bahagian atasnya.
- Ambil daun pandan, kerat-kerat dan kisar dengan sedikit santan. Kemudian tapis. Ini untuk mendapatkan warna hijau pada bancuhan nanti.
- Gaulkan telur dan gula hingga hancur.
- Di mangkuk lain, gaulkan santan (termasuk santan yang dimesin dengan daun pandan tadi) dan tepung gandum. Adunan ini biasanya akan berketul-ketul / bergentel-gentel. Jadi, sebelum dicampurkan ke dalam gula dan telur, tapis dahulu.
- Kacau campuran gula, telur, santan dan tepung tadi hingga sekata.
- Tapis lagi sekali untuk mendapatkan tekstur yang licin dan cantik.
- Adunan ini sepatutnya berwarna hijau hasil daripada daun pandan. Tetapi jika tiada daun pandan, titikkan sedikit pewarna hijau.
- Apabila pulut telah masak, keluarkan dari kukus.
- Dengan menggunakan senduk, tekan-tekan pulut di dalam loyang supaya ia mampat.
- Tuangkan adunan berwarna hijau tadi ke atas pulut dan kukus semula lebih kurang setengah jam atau sehingga masak.
- Jika hendak kuih tahan lama, kukuslah lama sedikit.
- Setelah kuih masak, keluakan dari kukus dan biarkan sejuk sebelum dipotong dan dihidangkan.
Kalau suka, cubalah!
No comments:
Post a Comment