Pulut kuning biasanya dihidangkan dalam majlis khatam Al-Quran, majlis perkahwinan, majlis sambutan hari lahir dan sebagainya. Ianya satu menu istimewa yang biasanya hanya dijumpai di majlis-majlis tertentu. Pulut kuning sedap dimakan dengan rendang ayam atau daging.
Semasa kecil, mak saya akan membuat pulut kuning untuk dihantar ke tempat mengaji apabila kami adik beradik khatam Al-Quran. Saya masih ingat lagi pulut kuning diletakkan di dalam sepinggan hidang yang bujur, di atasnya diletakkan rendang beralaskan daun pisang yang telah dipotong berbunga-bunga. Di kelilingnya dihiasi dengan timun yang telah diukir cantik, udang galah goreng, ikan tenggiri goreng dan hirisan telur dadar. Waahhh membayangkannya sahaja sudah cukup menyelerakan. Pulut kuning akan dihantar kepada Pak Tuan iaitu guru mengaji kami di Masjid Kg Baru. Bersama-samanya juga kami hadiahkan sepersalinan seperti kain pelikat dan baju sebagai tanda penghargaan kepada guru yang telah berjasa mengajar kami.
Kami berempat beradik semuanya selesai mengaji Al-Quran dengan Pak Tuan. Setiap kali khatam, kami akan menghadiahi Pak Tuan sebegini. Pak Tuan tak pernah minta, malah yuran bulanan pun tidak ditetapkan, bagi sahajalah berapa yang ikhlas katanya. Tak bagi pun tak mengapa. Sungguh besar jasa Allahyarham, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengurniakan syurga buatnya. Jasa Pak Tuan kami tidak pernah lupa.
Berbalik kepada kisah pulut kuning; oleh kerana saya seisi keluarga memang gemar makan pulut kuning, maka saya pun belajarlah dari mak saya cara untuk membuatnya. Tak susah mana pun sebenarnya. Hendak seribu daya!
Berikut ialah cara membuatnya:-
- Rendam pulut dengan air. Letak sedikit kunyit dan beberapa keping asam keping.
- Air hendaklah menenggelami pulut.
- Berapa banyak pulut, ikut suka berapa yang anda nak masak. Kalau untuk saya makan sekeluarga, biasanya saya buat dalam sukatan 2-3 cawan sahaja iaitu lebih kurang setengah kilo.
- Seeloknya rendam semalaman. Misalnya untuk mengukus esok pagi, sebelum tidur malam rendamlah pulut itu. Tetapi jika tidak berkesempatan, rendam sahaja lebih kurang 3-4 jam.
- Panaskan air di kukus. Toskan pulut yang telah direndam tadi. Anda akan nampak pulut itu sudah sedikit mengembang / besar dari saiz asalnya. Buang asam keping.
- Kalau ada kukus khas untuk mengukus pulut lebih baik. Tetapi jika tiada, masukkan pulut ke dalam loyang / mangkuk yang sesuai untuk dikukus. Tidak perlu letak air ke dalam pulut.
- Masukkan loyang dalam kukus dan biarkan lebih kurang 45 minit - 1 jam.
- Selepas 45 minit - 1 jam, keluarkan pulut dan masukkan dalam bekas lain.
- Ambil santan pekat yang telah dicampurkan sedikit garam, curah ke dalam pulut tadi dan gaul rata.
- Masukkan semula pulut ke dalam kukus dan biar selama lebih kurang 15 - 20 minit lagi.
- Angkat kukus, keluarkan pulut dan bolehlah dihidangkan bersama rendang kesukaan anda.
Mudah sahaja kan? Tekstur pulut kuning ini bergantung kepada selera masing-masing. Kalau anda suka pulut yang lembut, lebihkan sedikit santan semasa proses mengukus semula. Tetapi jika anda suka pulut yang lebih berderai dan nampak butirannya, boleh kurangkan santan. Kunyit pula, boleh gunakan serbuk kunyit apa-apa jenama atau kunyit hidup, ikutlah apa yang anda suka. Tapi awas! Warna kuning itu bukan menggunakan pewarna kuning pula ye!
Pulut kuning sekarang bukanlah satu menu yang istimewa lagi bagi keluarga kami. Bila-bila sahaja teragak nak makan, saya akan buat. Asalkan stok pulut masih ada. Namun begitu, tidaklah pula selalu sangat nak makan pulut kuning ni, kata orang tak elok makan pulut banyak-banyak. Ye ke? Tak tahulah...
InsyaAllah di artikel akan datang, saya akan kongsikan satu lagi resepi berasaskan pulut. Nantikan ye...! 😄
No comments:
Post a Comment