Memiliki aset menjadi kebanggaan seseorang individu, kerana dengan adanya aset, menunjukkan "nilai" diri kita. Namun begitu, "nilai bersih" seseorang itu ialah jumlah asetnya setelah ditolak dengan jumlah tanggungannya / liabiliti.
Untuk mendapatkan aset, kebiasaannya, liabiliti akan terhasil terlebih dahulu. Contohnya, untuk mendapatkan sebiji kereta, kita perlu membuat pinjaman sewa beli; dan untuk mendapatkan rumah, kita perlu membuat pinjaman perumahan.
Nilai aset seperti kereta secara umumnya akan berkurangan akibat susutnilai. Namun, jumlah liabiliti tidak berganjak. Oleh sebab itu, pada suatu tempoh tertentu, harga pasaran kereta yang kita ada adalah kurang daripada jumlah baki pinjaman sewa beli kita. Dalam keadaan ini, sekiranya kita menjual kereta tersebut, wang yang diperolehi tidak akan cukup untuk menyelesaikan baki pinjaman di bank.
Manakala bagi sebuah rumah, kebiasaannya nilai hartanah akan meningkat. Namun begitu, banyak faktor yang menentukan harga pasaran sesebuah rumah seperti lokasi, kondisi rumah itu sendiri, permintaan setempat dan juga pasaran / ekonomi negara. Tidak mustahil harga rumah boleh jatuh lebih rendah daripada harga belian, antara sebabnya seperti lambakan rumah di sesebuah kawasan sehinggakan banyak yang terbengkalai dan tiada permintaan. Rumah yang dilelong juga mempunyai nilai pasaran lebih rendah. Walaupun, nilai aset rumah mungkin melebihi dari jumlah baki pinjaman perumahan, namun proses untuk mencairkan aset rumah adalah melalui proses yang panjang.
Saya suka untuk menyatakan bahawa ianya mudah untuk memiliki aset, namun susah untuk mencairkannya. Bagi orang yang berpendapatan tetap, adalah mudah untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah dan kereta. Apatah lagi bagi orang yang mempunyai tunai yang banyak.
Namun begitu, untuk melupuskan aset tersebut dengan nilai munasabah yang kita kehendaki, bukanlah proses yang mudah. Untuk menjual kereta, bukan sahaja harganya sudah tentu jauh lebih murah daripada harga belian, bukanlah senang untuk kita mendapatkan pembeli yang serius dalam tempoh yang singkat. Jika tidak kisah menjual dengan harga yang lebih murah, menjual kepada syarikat kereta terpakai (used car) adalah salah satu pilihan. Sekarang ini pula, terdapat MyTukar, Carsome dan beberapa lagi syarikat yang berperanan sama.
Kalau nak jual rumah pula, lagi lah lama tempoh yang perlu diambil kira. Proses mengiklan sahaja mungkin memakan masa bertahun-tahun untuk mendapat pembeli. Belum lagi proses dokumentasi, proses kelulusan dari pihak berwajib, proses tukar nama, urusan bank dan macam-macam lagi. Pendek kata, bukan mudah untuk mendapatkan balik wang yang kita telah laburkan.
Kesimpulannya, walau pun nampak macam bukan idea yang bernas, saya tidak akan menggalakkan anak-anak saya untuk memperolehi aset di usia muda. Belilah aset yang benar-benar untuk digunakan sepenuhnya dan tidak perlu beli untuk pelaburan. Ini kata saya lah. Orang muda biasanya bersemangat nak mengumpul harta sebaik sahaja dapat gaji pertama, saya pun begitulah juga dahulu. Namun, dengan pengalaman yang ada, saya suka nak kongsikan dengan mereka kelak bahawa tidak perlu pun mengumpul aset yang banyak sekiranya liabiliti turut sama banyak. Zaman yang mendatang tentunya lebih hebat cabaran dan dugaannya, oleh itu perlulah kita bersiap sedia seadanya. Wallahua'lam.
Sumber : Google
i like your articles. informative and useful. i wish you could also write in english sometime. save the hassle to translate them.
ReplyDeleteThanks for your comment. Glad you like it.
ReplyDelete