Thursday, 5 October 2023

Jalan-Jalan Hatyai 2019

Assalamualaikum...

Ini cerita lama... empat tahun yang lepas. Lama saya peram sebab hilang minat untuk menulis tentang tajuk ini. Namun akhirnya saya kongsikan juga di sini sekadar untuk hiburan hati.. :)

Kisah saya sekeluarga bercuti ke Hatyai, Thailand. Tujuan utama percutian ialah jalan-jalan cari makan sebab dengar-dengar cerita orang, Hatyai ini syurga makanan murah. Betul ke?

Dan kami juga pertama kali nak mencuba memandu kereta sendiri merentasi sempadan Thailand melalui Bukit Kayu Hitam.

Seperti biasa, sebelum perjalanan, banyaklah maklumat yang kami cari di alam maya ini. Kebanyakan maklumat yang dikongsi mengandungi info yang lebih kurang sama sahaja ~ misalnya tempat makan yang menarik, tempat melawat dan sebagainya. Rata-rata juga kami baca orang kata Hatyai ini syurga makanan dan membeli-belah terutama bagi rakyat Malaysia. Itu yang buatkan kami tertarik nak ke sana. Ada juga macam-macam komen tentang membawa masuk kereta sendiri ke Thailand, antaranya pelbagai kerenah birokrasi di Kastam & Imigresen, jalan raya yang tak serupa seperti di Malaysia, polis Thailand yang suka ambil tindakan ke atas kenderaan Malaysia dan macam-macam lagi komen yang kurang menyenangkan.

Hmmm.... setelah berada di sana selama empat hari tiga malam, pada pendapat saya, kebanyakan info yang kami dapati banyak yang kurang tepat. Tak tahulah.... mungkin pendapat masing-masing berbeza. Jadi, di sini saya nak kongsikan pandangan saya pula. Manalah tahu ada antara pembaca yang sependapat dengan saya, kan?


1) Membawa masuk kereta ke Thailand

Proses membawa masuk kereta ke Thailand tidaklah serumit mana pun. Untuk lebih mudah, semasa dalam perjalanan ke sempadan, singgahlah dahulu ke mana-mana agen insurans yang banyak terdapat di sepanjang jalan mendekati sempadan. Sebagai contoh, kami singgah di agen bernama Ghanimi Agency di Changlun. Di situ, kami beli insurans dan simkad. Agen akan turut menyediakan borang putih bagi pemandu dan setiap penumpang. Simkad untuk lima hari dengan data tanpa had hanyalah RM15. Insurans pula RM36. Proses ini sekejap sahaja. Kalau tak ramai penumpang lagi lah cepat. Segala dokumen yang telah disediakan oleh agen, bawa sahaja ke Imigresen dan InsyaAllah anda dah boleh merentasi sempadan tanpa masalah.

Ada yang kata kena selit duit RM1 atau RM2 dalam pasport semasa di Imigresen. Jangan! Ini tak perlu. Memang ada caj yang dikenakan tetapi hanya sekiranya kita melalui sempadan bukan pada waktu bekerja mereka. Maksudnya, jika kita melalui sempadan pada hari cuti umum, cuti perayaan dan di luar waktu pejabat Thailand, maka kita akan dikenakan bayaran lebih masa (overtime). Caj ini memang tertera dengan jelas di papan tanda di kaunter Imigresen. Selain daripada waktu overtime tersebut, tak perlulah nak bayar apa-apa.

Tempoh masa beratur di Imigresen, Alhamdulillah, kami tidak perlu beratur panjang. Mungkin kebetulan kami keluar masuk bukan waktu puncak, tak pastilah pula. Yang pastinya kami tak perlu beratur berjam-jam lamanya seperti mana keluar masuk Singapura.


2) Jalan raya di Thailand

Kami hanya memandu sehingga ke Hatyai. Daripada pengamatan kami, jalan raya dari sempadan (Danok) hingga ke Hatyai sangat baik. Jalan tidak berlubang-lubang, kenderan tidak sesak, lampu isyarat dalam keadaan baik, pengguna jalan raya juga berhemah. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja tidaklah memenatkan dan pemandangan pun OK sahaja. Atas sebab ini, kami juga telah berulang-alik dari Danok ke Hatyai beberapa kali tanpa masalah.


3) Makanan

Pada saya, makanan di Hatyai TIDAK MURAH! Saya hairan kenapalah ramai yang kata murah tu??? Mungkinlah rakyat Malaysia ni ramai yang kaya-kaya agaknya, sebab tu mereka rasa murah?

Semasa percutian saya itu, kadar tukaran wang ialah lebih kurang 100baht = RM14. Pada pendapat saya, oleh kerana kejatuhan nilai ringgit kita, sebab itulah harga barang di sana tidak lagi murah.

Sepinggan pulut ayam puratanya berharga 60baht. Ini bersamaan lebih kurang RM8.40. Makanan dan minuman di gerai-gerai juga walaupun nampak macam murah, terutamanya di favourite spot orang Malaysia iaitu di Lee Garden; makanan seperti kerabu maggi, udang, sotong, aiskrim kelapa, nasi padkapau dan bermacam-macam lagi adalah berharga di antara 50baht hingga 300baht, iaitu sekitar RM7 - RM42. Sepinggan udang (lebih kurang 8 ekor saiz sederhana) berharga B300 (RM42) bukanlah murah bagi saya.      

Makan di Restoran Salma, seperti yang banyak dicanangkan dalam blog-blog, nasi putih dan lauk pauk biasa seperti tomyam, paprik, ikan, adalah berjumlah B865 iaitu bersamaan RM120. Harga ini lebih kurang sama sahaja (ada yang lebih murah) jika kami makan di Restoran Thai di Malaysia. Namun, tidak dinafikan tomyamnya memang sangat sedap. Rasanya memang tak sama dengan restoran Thai di Malaysia. Tomyamnya mewah dengan udang dan sotong.


4) 7-Eleven

Dalam banyak-banyak benda, cuma ada satu perkara yang paling menarik keluarga saya ~ 7 Eleven! Rangkaian kedai serbanika ini sangat banyak terdapat di Hatyai dan kebanyakannya bersaiz besar dan menjual pelbagai jenis barangan. Sebotol kecil susu pisang jenama Meiji yang menjadi kesukaan keluarga saya hanya berharga 12.50baht iaitu bersamaan RM1.80 sahaja. Susu ini entah kenapa "tidak sampai" ke negara kita (kecuali di sempadan), kalau pun ada harganya jauh lebih mahal dan packaging pun berbeza. 




Kesimpulannya, percutian kali pertama kami membawa kenderaan sendiri ke Hatyai tiga tahun yang lepas, yang kebanyakannya berpandukan maklumat daripada alam maya sahaja, agak kurang menyeronokkan. Tempat-tempat yang dicadangkan seperti Greenway Night Market dan Asean Night Market tidaklah cukup menarik bagi kami. Ranu Kohyo yang kononnya kilang gajus sangat menghampakan. Harganya lebih mahal daripada yang dijual di pasar. Begitu juga Nora Plaza. Sebuah kompleks perniagaan yang agak lama dan tiada apa yang istimewa. 

Sekiranya anda peminat kekacang seperti gajus, macadamia, badam dan lain-lain, dan sekiranya ingin membeli-belah, saya cadangkan adalah lebih baik membeli di Kim Yong Market dan Santisuk Market. Harga lebih berpatutan.


Saya ini orang yang kedekut. Atau pun kalau nak bunyi sedap sikit, ~ I'm a calculative person. Standard murah pada saya ialah jika sepinggan nasi goreng berharga RM3.50, segelas teh ais berharga RM1, sekilo durian berharga RM5 dan sehelai t-shirt berharga RM10. Jika harga yang dijual melebihi harga standard saya, contohnya sepinggan nasi goreng berharga RM7.00, segelas teh ais berharga RM3, sekilo durian berharga RM15 dan sehelai t-shirt berharga RM25, saya tidak akan katakan itu harga yang murah, tetapi itu ialah harga standard pasaran di Malaysia. Ia adalah harga yang boleh diterima tetapi bukanlah harga murah yang disanjung-sanjung.

Jadi, pada saya, jika saya ingin melancong ke Hatyai lagi, alasannya ialah bukan kerana ianya syurga makanan murah, tetapi kerana kita dapat menikmati makanan dengan kesedapan berbeza pada harga yang setara. Tambahan pula, nilai mata wang kita semakin merudum, perkataan murah itu sudah tidak sesuai lagi digunakan.
 

Akhir kata, saya ini tidak gemar kepada yang "viral". Kebanyakan yang viral itu lebih banyak menipu, indah khabar dari rupa. Namun naluri hati manusia memang degil. Apa yang viral itu, mestilah nak dicuba juga. Akibatnya, boleh dikatakan 90% daripada benda viral yang saya cuba, hasilnya mengecewakan. Kadang-kadang sekadar nak memuaskan hati anak-anak. Maklumlah orang muda tak akan lekang dengan pengaruh trending dan viralnya. Apa-apa pun, sedap, seronok, suka, benci, adalah suatu yang subjektif. Saya tak suka, tapi mesti ramai lagi orang lain yang suka. Jadi, ikut sukalah... !    
     




No comments:

Post a Comment