Seminggu dua ni rajin pulak lah saya mengadap blog ni....biasanya memang macam tu. Bila rasa nak tulis, saya pun buka. Tapi bila tiba masa sibuk dengan kerja lain, berbulan-bulan tak jenguk sini. Lepas ni mungkin rehat sekejap dari blogging sebab baru datang semangat nak menjahit.
Kain-kain untuk buat baju raya dah lama beli. Tapi tak berusik pun lagi sebab mood belum datang. Biasanya memang saya beli awal, bila-bila terjumpa yang murah-murah tapi cantik. Tak payah nak berebut-rebut masa bulan puasa nanti. Tapi, selalunya sampai bulan puasa juga baru siap! Semuanya sebab ikut mood punya pasal... :(
Sebenarnya tak ada apa sangat nak share hari ni. Cuma pagi tadi terbaca satu artikel menarik di blog the healthy doctor tajuknya "A letter from a Working Mother to a Stay-at-home Mother, and vice versa". Memang menarik artikel tu, kalau ada masa cubalah google dan baca. Saya cuba nak link kan artikel tu tapi tak berjaya. Mungkin sebab traffic jam.
Kesimpulan yang saya dapat daripada artikel itu ialah, semua ibu sama ada berkerjaya atau suri rumah, masing-masing ada peranan dan kepentingan masing-masing. Ibu yang tak bekerja tidak semestinya sebab dia tidak berkebolehan atau tidak diterima di pasaran kerja, dan ibu yang bekerja pula tidak semestinya sebab dia mahu melepaskan tanggungjawab membuat kerja rumah dan mendidik anak. Masing-masing ada sebab tersendiri mengapa memilih jalan tertentu.
Saya sudah melalui kedua-dua pengalaman tersebut dan memang benar apa yang ditulis dalam artikel itu. Bukan mudah untuk membuat keputusan mengundurkan diri dari pasaran kerja, lebih-lebih lagi jika seseorang itu sudah mempunyai kerjaya yang kukuh dan pendapatan yang stabil. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan terutamanya bab kewangan.
Setelah empat tahun berkhidmat sebagai home maker, saya sedar saya tidak lagi dapat menyumbangkan pendapatan kepada keluarga. Tapi, sebaik mungkin saya cuba mengurangkan beban dengan mengurangkan perbelanjaan. Jika pendapatan tidak bertambah tetapi perbelanjaan berkurang, masih ada lagi lebihan untuk simpanan. Betul tak?
Jadi, walaupun kita mungkin tak boleh membantu secara langsung, cubalah jalan yang satu lagi. Misalnya, sejak tidak bekerja, saya boleh menyediakan banyak kelengkapan raya sendiri seperti menjahit baju raya, langsir, sarung kusyen, buat kuih raya, menghantar dan menjemput anak-anak sendiri dan pelbagai perkara lagi. Saya percaya ini juga merupakan sumbangan "pendapatan" kepada keluarga.
Walau apa pun yang kita buat, yang penting niatnya kena betul. InsyaAllah ada jalannya...
Ini linknya
ReplyDeletehttp://carolynee.net/a-letter-from-a-working-mother-to-a-stay-at-home-mother-and-vice-versa/